Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua mahasiswa SMU dalam nahas bas Vietnam selamat pulang ke S'pura

Sekumpulan mahasiswa Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang terlibat dalam kemalangan bas di Vietnam pada Sabtu (11 Mei) selamat pulang ke Singapura, menurut universiti itu pada Selasa (14 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Semua mahasiswa SMU dalam nahas bas Vietnam selamat pulang ke S'pura

Mahasiswa-mahasiswa Universiti Pengurusan Singapura (SMU) cedera dalam nahas bas ketika dalam perjalanan ke Taman Negara Bach Ma, Vietnam. (Gambar: Tuoi Tre News)

Diterbitkan : 14 May 2019 08:29PM Dikemas Kini : 14 May 2019 08:36PM

SINGAPURA: Sekumpulan mahasiswa Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang terlibat dalam kemalangan bas di Vietnam pada Sabtu (11 Mei) selamat pulang ke Singapura, menurut universiti itu pada Selasa (14 Mei).

Kemalangan itu menyebabkan 20 mahasiswa yang berada dalam bas berkenaan cedera, sementara lagi 10 yang berada dalam bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kumpulan mahasiswa itu baru selesai melakukan projek khidmat masyarakat luar negara di bandar Hue, dan sedang dalam perjalanan ke Taman Negara Bach Ma apabila kemalangan tersebut berlaku.

Empat daripada para mahasiswa yang cedera dihantar pulang ke Singapura menaiki ambulans udara - dua mahasiswa pada petang Isnin dan dua lagi pada pagi Selasa, menurut SMU dalam kenyataan terbarunya. Mereka sedang menerima rawatan di hospital bagi pelbagai kecederaan termasuk sakit leher dan keretakan tulang kaki dan pinggul.

Seorang mahasiswa rakyat Vietnam, yang juga cedera, pulang ke rumahnya dari Hue dengan ibu bapanya sementara baki 22 mahasiswa - 15 cedera dan tujuh tidak cedera - pulang ke Singapura menaiki penerbangan komersil pada petang Selasa, menurut kenyataan SMU.

Sebelum ini, SMU menyatakan tiga mahasiswa yang tidak cedera sudah kembali ke Singapura pada petang Ahad, sementara yang lain melanjutkan penginapan mereka di Vietnam untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang cedera.

Provos SMU Timothy Clark, yang menemui para mahasiswa dan ibu bapa di lapangan terbang berkata, keutamaan unversiti buat masa ini adalah untuk membantu pemulihan para pelajar secepat mungkin.

"Kami juga prihatin bahawa beberapa mahasiswa akan mengalami trauma akibat pengalaman itu ... lantaran itu kami menawarkan sokongan dalam bentuk khidmat kaunseling," menurut Profesor Clark.

Sedang pihak universiti menunggu hasil siasatan rasmi oleh pihak berkuasa tempatan, SMU menyatakan pihaknya mengingatkan kesemua kumpulan mahasiswa ke luar negara mengenai pentingnya mematuhi protokol keselamatan ketika berada di luar negara.

"Pada masa yang sesuai, kami juga akan menyemak prosedur-prosedur keselamatan kami untuk menentukan sama ada terdapat perkara-perkara yang boleh diperhalusi lagi," menurut kenyataan SMU.

Profesor Clark berkata universiti itu melaksanakan analisis risiko sebelum para mahasiswa menjalankan projek-projek luar negara.

Profesor Clark juga melahirkan penghargaan kepada kakitangan Kedutaan Singapura dan para pekerja hospital di Vietnam serta para mahasiswa yang melanjutkan penginapan mereka untuk membantu rakan-rakan mereka.

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan