Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua kakitangan Jetstar Asia wajib disuntik vaksin COVID-19

Semua kakitangan Jetstar Asia perlu mendapatkan vaksinasi COVID-19, umum syarikat penerbangan itu pada Rabu (18 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:
Semua kakitangan Jetstar Asia wajib disuntik vaksin COVID-19

Gambar fail pesawat Jetstar dipetik pada Mei 2014 (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 18 Aug 2021 02:15PM Dikemas Kini : 18 Aug 2021 02:17PM

SINGAPURA: Semua kakitangan Jetstar Asia perlu mendapatkan vaksinasi COVID-19, umum syarikat penerbangan itu pada Rabu (18 Ogos).

Kakitangan mesti lengkap divaksin menjelang 1 Oktober sebagai sebahagian daripada komitmen keselamatan Jetstar Asia, menurut syarikat tersebut.

Syarikat penerbangan itu menyatakan dalam kenyataan medianya bahawa peraturan itu "sejajar dengan panduan oleh pemerintah Singapura".

"Dengan hampir 100 peratus anggota pasukan Jetstar Asia sudahpun divaksin, sebahagian besar mereka menyokong idea untuk menjadikan vaksinasi COVID-19 sebagai syarat untuk bekerja kerana ia menawarkan perlindungan daripada virus itu serta juga melindungi keluarga dan masyarakat setempat mereka," tambah syarikat penerbangan tersebut.

Dalam satu makluman yang dikeluarkan pada 2 Julai, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan majikan tidak seharusnya mewajibkan vaksinasi COVID-19 sejajar dengan dasar vaksinasi negara.

Majikan boleh "menggalak dan membantu" semua pekerja mereka yang layak dari segi perubatan untuk mendapatkan vaksinasi seperti memberikan cuti bergaji untuk berbuat demikian, menurut MOM.

"Pekerja yang menolak untuk divaksin tidak seharusnya didenda seperti diberhentikan kerja atas alasan enggan divaksin," tambah MOM.

Dalam makluman yang sama, MOM menyatakan terdapat "persekitaran kerja yang kecil dan luar biasa" di mana sesetengah pekerja mungkin terdedah kepada risiko lebih tinggi dijangkiti COVID-19.

Contoh bagi pekerjaan atau persekitaran seumpama itu termasuk anak kapal, pekerja makmal yang bertugas berhubung COVID-19 dan kakitangan maritim barisan hadapan.

Para majikan boleh mensyaratkan vaksinasi COVID-19 sebagai satu dasar syarikat bagi "persekitaran pekerjaan berisiko lebih tinggi", menurut MOM.

Kementerian itu menambah pertimbangan utama adalah para individu yang bekerja di persekitaran yang mendedahkan mereka kepada "risiko yang jauh lebih tinggi" dijangkiti COVID-19 berbanding masyarakat umum.

Jika seorang pekerja menolak untuk divaksin, MOM menyatakan majikan seharusnya mengerahkan semula pekerja itu "untuk tugasan lain dengan risiko jangkitan COVID-19 yang lebih rendah".

Pekerjaan itu mestilah setanding dengan pengalaman dan kemahiran pekerja berkenaan, sebagaimana dasar-dasar pengerahan semula sedia ada dalam pertubuhan tersebut.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Jetstar Asia berkata kakitangan korporat syarikat penerbangan itu, yang berpangkalan di Lapangan Terbang Changi, bekerja rapat dengan yang lain di pejabat.

Jika pekerja tidak boleh mendapatkan vaksin kerana mereka mengalami masalah perubatan yang memerlukan rawatan tertentu, Jetstar Asia akan "meninjau sama ada terdapat langkah alternatif yang boleh dilaksanakan untuk membolehkan mereka terus bekerja dengan selamat".

"Jika pekerja mempunyai keprihatinan tentang mendapatkan vaksin bagi alasan perubatan lain, mereka boleh diuruskan berdasarkan kes, seiring dengan garis panduan Kementerian Tenaga Manusia," tambah jurucakap berkenaan.

Jetstar Asia bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan tentang apa yang akan berlaku kepada anggota kakitangan yang membuat keputusan untuk tidak mengambil vaksin atas sebab-sebab bukan berkaitan perubatan.

Jetstar Asia adalah cabang tambang lebih rendah syarikat penerbangan Australia, Qantas. Pada Rabu, Qantas juga mengumumkan ia akan mewajibkan vaksinasi COVID-19 ke atas semua kakitangannya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan