Images
  • NEHR
    Dr Ajith Damodaran di kliniknya di Serangoon Central. (Gambar: Chan Luo Er)

Semua institusi jagaan kesihatan mungkin perlu sumbang kepada data nasional

SINGAPURA: Semua institusi penjagaan kesihatan mungkin diminta menyumbang data kepada Rekod Kesihatan Elektronik Nasional atau NEHR.

Langkah itu bertujuan menyediakan penjagaan bersepadu lebih baik bagi para pesakit.

Undang-undang mengenainya dijangka diperkenalkan tahun depan.

Rancangan itu diumumkan Menteri Kesihatan Gan Kim Yong yang turut melancarkan Peta Transformasi Industri Penjagaan Kesihatan di satu persidangan hari ini (8 Nov).

880 GP PUNYA AKSES PANGKALAN DATA NEHR

Tanpa sistem IT, Dr Damodaran, 63 tahun, misalnya tidak dapat memasukkan data para pesakitnya ke Rekod Kesihatan Elektronik Nasional atau NEHR.

Namun beliau menggunakan pangkalan data nasional itu untuk mendapatkan maklumat.

Dr Damodaran adalah salah seorang daripada 880 doktor keluarga (GP) yang mempunyai akses kepada pangkalan data tersebut iaitu lebih separuh daripada GP di negara ini.

Namun, kurang 70 GP memberikan rekod para pesakit mereka kepada NEHR.

Selain GP, banyak juga penyedia penjagaan kesihatan swasta tidak menyertakan rekod para pesakit masing-masing ke pangkalan data itu.

Sebaliknya hampir semua penyedia penjagaan kesihatan awam sudahpun melakukannya.

DEMI DATA MENYELURUH UNTUK PESAKIT

Maka itu, Kementerian Kesihatan bercadang untuk mengambil langkah penting seterusnya untuk NEHR dengan mewajibkan sumbangan data oleh semua pemegang lesen seperti penyedia penjagaan kesihatan dan makmal. Ini bagi mengadakan data yang menyeluruh untuk penjagaan pesakit dengan lebih baik.

Namun, usaha itu menghadapi beberapa cabaran termasuk menggalakkan penggunaan IT.

Bagi pihak yang sudah siap secara digital, ada dana baru berjumlah $20 juta untuk membiayai kos naik taraf untuk memastikan sistem IT mereka serasi dengan NEHR.

Sokongan teknikal dan klinikal juga akan disediakan.

Pihak berkuasa akan mengadakan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan dalam beberapa bulan akan datang.

Mereka juga akan meninjau cara untuk para pesakit mengetahui siapa yang boleh mendapatkan maklumat mereka.

Ini boleh dilakukan menerusi portal pemerintah HealthHub.

Pendigitalan rekod perubatan adalah sebahagian daripada usaha untuk menggalak inovasi dalam sektor itu di bawah Peta Transformasi Industri Penjagaan Kesihatan.

Bidang-bidang lain termasuk meningkatkan produktiviti untuk menyelaraskan proses kerja dan menggalak peningkatan kemahiran.  

- CNA/NU/sm

Top