Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua 3,700 kambing korban Australia selamat 'mendarat' di S'pura; persiapan jalan lancar

Kesemua bekalan kambing itu juga sudah dipindahkan ke 26 pusat ibadah korban yang sudah diluluskan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semua 3,700 ekor kambing korban dari Australia untuk Hari Raya Haji, sudah selamat mendarat di Singapura. Kambing-kambing tersebut diterbangkan ke negara ini menggunakan dua pesawat semalam (20 Ogos).

Malah, kesemua bekalan kambing itu juga sudah dipindahkan ke 26 pusat ibadah korban yang sudah diluluskan. Pusat-pusat tersebut mematuhi syarat-syarat Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (ESCAS) bagi eksport haiwan ternakan.

Sejauh ini semua persiapan ibadah korban sempena Hari Raya Haji esok (22 Ogos) berjalan lancar.

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) hari ini (21 Ogos).

MASAGOS LAHIR RASA SYUKUR KIRIMAN SELAMAT

Mengulas tentang ketibaan kambing-kambing korban itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, melahirkan penghargaannya terhadap kerjasama antara Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), JKMS, Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) serta para sukarelawan.

"Saya bersyukur semua kambing korban sudah tiba dengan selamat tanpa sebarang insiden. Ini dapat dilakukan dengan adanya kerja keras oleh semua pihak, termasuk rangkaian kukuh sukarelawan bagi memastikan ibadah korban boleh dijalankan di Singapura," kata Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

"Ibadah yang amat bermakna ini mencerminkan semangat pengorbanan dan kerja-kerja amal yang menyatukan umat Islam di Singapura dan juga seluruh dunia," tambah beliau, sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Haji kepada semua umat Islam.

LATIHAN PENTING SUPAYA SUKARELAWAN BERPENGALAMAN BANTU YANG BARU

Menjelang ibadah korban, kakitangan masjid dan para sukarelawan juga sudah dilatih dan bersedia untuk menjalankan ibadah tersebut.

Langkah-langkah turut diambil bagi memastikan kambing-kambing korban dijaga dan dikendalikan dengan baik.

Pengerusi JKMS, Sharifuddin Mohammed Ali, berkata: "Seperti tahun-tahun sebelumnya, JKMS dan Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) mengadakan latihan bersama berkaitan pelbagai aspek jagaan haiwan dan cara-cara mengendalikannya untuk para sukarelawan korban kami."

Beliau menambah, langkah itu penting memandangkan lebih ramai belia yang menawarkan khidmat untuk sama-sama menyingsing lengan bagi menjalankan ibadah korban.

Lantaran itu para sukarelawan mapan akan berkongsi pengalaman dan memberikan panduan kepada yang masih baru.

"Sesi-sesi latihan ini penting bagi memastikan semua pusat mengamalkan piawai-piwai tinggi yang sama dan supaya ibadah korban dapat dijalankan dengan lancar," kata Encik Sharifuddin.

JKMS KOMITED PASTIKAN GARIS PANDUAN ANTARABANGSA DIPATUHI

Encik Sharifuddin berkata JKMS komited untuk memastikan semua pihak mematuhi sepenuhnya garis panduan antarabangsa berhubung kebajikan haiwan, yang juga sejajar dengan ajaran-ajaran Islam.

Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, para wakil dari MUIS, JKMS dan juga AVA akan turun padang ke setiap pusat ibadah korban. Ibadah korban di semua 26 pusat akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kebajikan haiwan dan tahap kebersihan dijaga.

Sebagai sebahagian daripada syarat di bawah ESCAS, ibadah korban akan diaudit oleh juruaudit antarabangsa.

HANYA YANG TEMPAH KAMBING SAJA BOLEH SAKSIKAN PENYEMBELIHAN

Bagi memastikan ibadah korban dapat dilaksanakan dengan lancar, masyarakat diingatkan bahawa hanya individu-individu yang menempah kambing korban sahaja dibenarkan menyaksikan proses penyembelihan. Individu-individu tersebut juga dibenarkan membawa anggota keluarga mereka.

Selain itu, hanya pegawai yang sudah dilatih sahaja yang boleh memasuki kawasan penyembelihan.

Sungguhpun demikian, mereka tidak dibenarkan menyembelih sendiri kambing-kambing yang ditempah.

Petikan gambar dan rakaman video juga tidak dibenarkan di mana-mana bahagian kawasan ibadah korban dijalankan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan