Images

Semburan tekak antiseptik ini boleh kurangkan jangkitan COVID-19 dalam keadaan risiko tinggi

SINGAPURA: Sejenis semburan antiseptik untuk tekak, serta ubat oral yang biasanya digunakan untuk merawat malaria dan artritis (sakit sendi), didapati berkesan dalam mengurangkan penyebaran COVID-19 dalam suasana penjalaran tinggi, kata para penyelidik Singapura pada Ahad (25 Apr).

Penemuan itu dibuat setelah ujian klinikal berskala besar yang dijalankan pada Mei lalu, yang melibatkan lebih 3,000 pekerja hijrahan yang tinggal di asrama Tuas South.

Selama tempoh percubaan enam minggu, pekerja diberi semburan tekak iodin povidon, yang boleh dibeli di farmasi luar, dan hidroksiklorokuin oral, yang memerlukan preskripsi doktor.

Kedua-duanya didapati mengurangkan jangkitan koronavirus, menurut kajian itu.

"Ini adalah kajian pertama yang menunjukkan manfaat terapi profilaktik atau pencegahan dengan semburan hidroksiklorokuin oral atau iodin povidon pada tekak dalam mengurangkan jangkitan SARS-CoV-2 dalam kalangan individu yang dikuarantin yang hidup dalam suasana tertutup dan pendedahan tinggi," kata penulis utama kajian klinikal Profesor Madya Raymond Seet dari Hospital Universiti Nasional (NUH).

Kedua-dua ubat itu dipilih kerana mudah didapati, kata Dr Seet. Beliau juga menyatakan bahawa ubat-ubat tersebut melindungi kerongkong, "pintu masuk utama" untuk virus.

Beliau membentangkan kajian tersebut di Sistem Kesihatan Universiti Nasional dengan ditemani oleh pengkaji bersama Profesor Paul Tambyah, Profesor Madya Mikael Hartman, Profesor Madya Alex Cook dan Penolong Profesor Amy Quek.

Penemuan ini sudah diterbitkan dalam International Journal of Infectious Diseases (Jurnal Antarabangsa bagi Penyakit Berjangkit).


BAGAIMANA KAJIAN DIJALANKAN

Seramai 3,037 lelaki sihat tanpa gejala berusia antara 21 hingga 60 tahun terlibat dalam ujian secara sukarela itu.

Peserta dikecualikan jika mereka mempunyai simptom penyakit pernafasan seperti demam, batuk atau kehilangan deria bau sebulan sebelum permulaan percubaan. Mereka yang pernah dijangkiti COVID-19 sebelumnya juga tidak disertakan.

Pendaftaran dilakukan pada Mei tahun lalu di tengah "peningkatan perlahan tetapi tetap (bilangan COVID-19)", di dormitori, kata Dr Seet.

Ia diumumkan kepada penghuni dormitori dari negara-negara seperti India, Bangladesh, China dan Myanmar.

Para peserta dibahagi kepada empat kelompok mengikut tingkat di mana mereka tinggal. Setiap kelompok secara rambang ditetapkan untuk menerima rejimen enam minggu.

Dua kumpulan masing-masing diberi dua ubat yang sedang diuji itu, sementara kumpulan lain diberi ivermectin, ubat yang biasanya digunakan untuk merawat penyakit parasit.

Kumpulan lain diberi kombinasi zink dan vitamin C. Kumpulan kawalan diberi vitamin C sebagai pengganti plasebo.

Semburan tekak iodin povidon digunakan tiga kali sehari.

HASIL KAJIAN

Setelah enam minggu, hampir separuh peserta didapati positif COVID-19. Namun dalam kalangan mereka yang menggunakan semburan tekak itu, hanya 46 peratus dijangkiti.

Ini berbanding dengan 49 peratus dalam kalangan mereka yang mengambil hidroksiklorokuin dan 70 peratus yang mengambil vitamin C.

"Kami menyimpulkan bahawa semburan iondin povidon pada tekak dikaitkan dengan pengurangan ketara dari segi statistik bagi jangkitan dengan pengurangan risiko mutlak sebanyak 24 peratus. Manakala hidroksiklorokuin oral dikaitkan dengan pengurangan ketara jangkitan dari segi statistik dengan pengurangan 21 peratus risiko mutlak jangkitan," kata Dr Seet.

"Ini adalah intervensi yang sangat mudah dengan kesan sampingan yang hampir minimum di mana kita benar-benar dapat mengurangkan kadar penghantaran dengan ketara," kata Dr Hartman.

IMPLIKASI

Ubat-ubatan tersebut dapat melengkapkan langkah pencegahan lain dalam suasana berisiko tinggi, kata para penyelidik.

"Suasana tersebut termasuk kapal pesiaran, penjara, kem pelarian dan kemudahan memproses daging, di mana mungkin ada keperluan mendesak untuk cara tambahan untuk mencegah penyebaran," kata Dr Seet.

Prof Tambyah memberikan contoh penularan di rumah jagaan.

"Ini bukan sesuatu yang kami sarankan secara amnya ... Jika ada penularan, tentu itu adalah sesuatu yang patut dipertimbangkan," jelas beliau.

Para pengkaji menekankan bahawa ubat-ubatan tersebut tidak bertujuan untuk digunakan untuk pencegahan COVID-19 dalam masyarakat umum jika ia adalah dalam keadaan risiko yang lebih rendah.

- CNA/TQ/tq

Top