Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sembcorp Marine mohon maaf kepada pekerja dormitori Jalan Tukang atas aduan makanan

Sembcorp Marine pada Jumaat (15 Ok) memohon maaf kepada sekitar 1,400 pekerjanya di dormitori Westlite Jalan Tukang yang mengadu tentang kurangnya kebersihan dalam persiapan dan mutu makanan yang diberikan oleh sebuah syarikat katering luar.

Anggaran Waktu Membaca:
Sembcorp Marine mohon maaf kepada pekerja dormitori Jalan Tukang atas aduan makanan

Dormitori Westlite di Jalan Tukang. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 16 Oct 2021 08:08AM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 08:11AM

SINGAPURA: Sembcorp Marine pada Jumaat (15 Ok) memohon maaf kepada sekitar 1,400 pekerjanya di dormitori Westlite Jalan Tukang yang mengadu tentang kurangnya kebersihan dalam persiapan dan mutu makanan yang diberikan oleh sebuah syarikat katering luar.

"Syarikat sudah mengambil tindakan ke atas syarikat katering itu dan menegaskan bahawa ia mematuhi piawaian kebersihan dengan ketat serta menghantar makanan tepat pada masanya.

"Ia akan terus memantau keadaan untuk memastikan tahap tinggi dan konsisten dalam kebersihan serta mutu makanan," jamin Sembcorp Marine dalam satu kemas kini media tentang situasi di dormitori berkenaan.

Ia juga menambah bahawa kesemua pekerja yang diuji positif COVID-19 sudahpun dibawa ke kemudahan jagaan atau pemulihan setakat Khamis malam.

Dalam satu rencana online pada Selasa, para pekerja yang tidak puas hati mengongsi gambar-gambar serangga dan rambut yang dijumpai dalam makanan mereka. Pada Khamis, Sembcorp Marine menyatakan ia "maklum tentang maklum balas itu".

Rencana yang diterbitkan di Weixin iaitu versi WeChat yang digunakan di China juga melaporkan bahawa sesetengah pekerja tidur di lantai di luar bilik mereka untuk mengelak daripada menjangkiti para penghuni lain di bilik mereka dan terpaksa menunggu lama sebelum mendapat rawatan perubatan.

Pengendali dormitori Centurion Corporation pada Khamis menyatakan bahawa kelengahan tersebut adalah disebabkan "lonjakan" jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja Sembcorp Marine yang tinggal di situ.

Pada Jumaat, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan ia mengerahkan "sumber tidak mencukupi" untuk COVID-19 yang naik "tanpa dijangkakan" di dormitori Westlite Jalan Tukang, lantas menyebabkan kelengahan dalam memindahkan kes-kes tersebut ke kemudahan jagaan atau pemulihan.

Dalam satu kemas kini pada Jumaat, Sembcorp Marine menyatakan kelengahan itu "menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja yang positif COVID-19 serta mereka yang diuji negatif juga".

Syarikat bekerjasama dengan kumpulan Jaminan, Jagaan dan Pendampingan (ACE) serta pengendali domitori untuk mengatasi cabaran logistik dan menangani sentimen pekerja, tambahnya.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan