Images
  • mas (2)
    (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Semangat positif warga emas dapat suntikan vaksin COVID-19 wajar dicontohi: Masagos

BERITAmediacorp: Semangat positif dan bersemangat warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 wajar dicontohi.

Demikian menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam satu catatan Facebook pada Selasa (23 Feb).

Encik Masagos berkongsi bahawa beliau kembali ke Polikinik Tampines bersama Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Esa Masood untuk mendapatkan suntikan kedua vaksin COVID-19.

Beliau berkongsi rasa senang hatinya kerana dapat beramah mesra dengan tiga penduduk warga emas Tampines yang ke sana untuk mendapatkan suntikan pertama vaksin mereka.

Encik Masagos menarik perhatian mengenai sikap teliti para doktor di Singapura, sebelum memberikan vaksin kepada penerima.

"Saya gembira ketiga-tiga penduduk ini bersikap positif dan bersemangat untuk lindungi diri mereka dan orang-orang di sekeliling mereka. Mereka tidak berasa ragu apabila menerima surat vaksinasi.

"Mereka sedar bahawa dengan disuntik mereka juga dapat melindungi golongan yang tidak boleh disuntik seperti cucu-cucu mereka di bawah usia 16 tahun serta wanita hamil," tulis Encik Masagos dalam catatan Facebooknya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat Singapura untuk segera mendapatkan vaksin COVID-19 apabila tiba masanya. 

- BERITAmediacorp/na

Top