Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semakin ramai tampil jadi sukarelawan FITRAH walau COVID-19 melanda

Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (FITRAH) menyambut penyertaan 105 sukarelawan baru antara Mei hingga Disember 2020, dedah Majlis Ugama Islam Singapura pada Sabtu (30 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 yang mencabar ternyata tidak melunturkan semangat anggota Melayu/Islam setempat untuk tampil menyumbang bakti kepada masyarakat. Khususnya, satu program sokongan pesalah kini menarik semakin ramai relawan yang mendaftar sebagai pendamping.

Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (FITRAH) menyambut penyertaan 105 sukarelawan baru antara Mei hingga Disember 2020, dedah Majlis Ugama Islam Singapura pada Sabtu (30 Jan).

Ini sekali gus membentuk lebih 25 peratus daripada 401 tenaga sukarelawan yang menyertai pusat khidmat itu sejak ia ditubuhkan pada 2019. Kumpulan sukarelawan itu kini terdiri daripada 143 Kaunselor Agama dan 258 Pendamping Masyarakat.

105 sukarelawan baru yang menyertai FITRAH pada 2020 merangkumi 13 Kaunselor Agama dan 92 Pendamping Masyarakat.

Menurut MUIS, jumlah tinggi itu adalah "bukti dedikasi FITRAH untuk bekerjasama seiring dengan para sukarelawan untuk terus mendampingi keluarga rentan dalam masyarakat serta pemulihan bekas pesalah".

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa mengunjungi sesi pertama latihan Pendamping FITRAH tahun ini pada Sabtu (30 Jan), mengalu-alukan penambahan jumlah relawan itu.

Beliau berkata:

"Kerja-kerja yang dilakukan FITRAH dalam masa genting ini adalah terpuji dan penting. Kesejahteraan pesalah dan jalan pemulihan adalah satu proses yang penting dan perlu berterusan. Saya berbesar hati melihat para Kaunselor Agama dan Pendamping Masyarakat tidak berhenti mendampingi pesalah-pesalah semasa tempoh COVID-19.

(Mereka) mengukuhkan iman dan daya tahan para banduan menerusi sesi sidang video."

Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara, menggesa lebih ramai anggota masyarakat supaya tampil menyumbang tenaga dengan FITRAH.

"Bukan sahaja mendampingi banduan dan bekas pesalah, malah kita perlu terus mendampingi anggota keluarga pesalah supaya mereka tidak ketinggalan atau rasa terpinggir dalam masyarakat sedang kita berusaha menjadi Masyarakat Gemilang."

Sejak ditubuhkan pada April 2019 dengan 36 Pendamping, program FITRAH menawarkan khidmat sokongan dipertingkat kepada pesalah daripada masyarakat Melayu/Islam, selain memberi sokongan kepada keluarga mereka.

Program ini adalah usaha bersama antara MUIS dan masjid-masjid, MHA, Khidmat Penjara Singapura (SPS), rakan kerja M³ serta pelbagai badan masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan