Images
  • kanun jenayah

Semakan undang-undang bagi percubaan bunuh diri, rogol dijangka selesai hujung tahun ini, kata Shanmugam

SINGAPURA: Sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyemak semula Kanun Jenayah Singapura merancang untuk menamatkan tugasnya pada lewat 2018. Demikian menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen hari ini (9 Jan).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Kok Heng Leun mengenai hasil semakan yang dijalankan terhadap usulan untuk menjadikan percubaan bunuh diri dan perbuatan merogol dalam perkahwinan sebagai satu jenayah.

Di Singapura, individu-individu yang cuba bunuh diri boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Di bawah Undang-undang Singapura, seorang suami dikecualikan daripada tuduhan merogol isterinya - kecuali jika isterinya berusia bawah 13 tahun, atau terdapat beberapa faktor yang menunjukkan kepada keretakan rumah tangga.

Isu ini pernah diketengahkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan agensi-agensi lain seawal 2013.

Pada Julai 2016, sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk meneliti isu-isu sedemikian dan perbuatan lain termasuk percubaan bunuh diri, hukuman bagi pesalah seks, dan perlunya membentuk klasifikasi bagi kesalahan jenayah dengan adanya perubahan pada persekitaran jenayah, kata Encik Shanmugam.

"Maklum balas bagi isu-isu ini, daripada anggota Dewan dan luar Dewan, kini sedang dipertimbangkan dalam semakan itu," tambah beliau.

"Tambahan lagi, jawatankuasa itu juga sedang mengkaji semula prinsip-prinsip di undang-undang jenayah, termasuk unsur-unsur hukuman jenayah: Elemen mental yang diperlukan, niat, pengetahuan, skop perlindungan kesihatan mental, serta bahasa yang digunakan dalam Kanun Jenayah."

Selepas semakan itu selesai, MHA kemudian akan mengumpul maklum balas orang ramai berkaitan saranan-saranan yang dikemukakan, kata menteri itu.

Jawatankuasa itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Negara Kanan Undang-Undang Indranee Rajah dan Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin. Ia merangkumi pengamal terkemuka dan para pemimpin pemikir daripada sektor awam, termasuk Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Badan Kehakiman.  

- CNA/AQ/aq

Top