Images
  • mental health
    (Petikan video: NCSS)

Semak prasarana kesihatan mental, jadikan kos konsultasi lebih dimampui, gesa Dr Wan Rizal

SINGAPURA: Demi mengutamakan jagaan kesihatan mental dan sokongan bagi rakyat Singapura, prasarana kesihatan mental dan kos konsultasi bagi kesihatan mental harus disemak semula.

Semakan-semakan itu diseru oleh Anggota Parlimen (AP) Wan Rizal Wan Zakariah (PAP - Jalan Besar) di Parlimen pada Isnin (4 Okt).

Bercakap semasa usul penangguhan, Dr Wan Rizal turut menekankan betapa pentingnya untuk mengesan lebih awal individu yang berisiko atau mempunyai gejala masalah kesihatan mental.

Seruan itu dibuat sekitar setahun setelah beliau menyentuh tentang usaha menghapuskan stigma berhubung kesihatan mental semasa usul penangguhan pertamanya pada 15 Oktober 2020.

PENTINGNYA ‘SOFWE’, KEPAKARAN DAN SUMBER

Untuk memperbaiki infrastruktur kesihatan mental Singapura, Dr Wan Rizal menyeru Pemerintah supaya menekankan betapa pentingnya "sofwe" dalam infrastruktur kesihatan mental negara, selain "perkakasan" yang merangkumi sumber-sumber lain.

"Mendiagnosis atau mengesan masalah kesihatan mental memerlukan masa - mengenali pesakit, membina kepercayaan dan menyelami keadaan dengan mendalam boleh membawa perbezaan. Oleh itu, sangat berguna untuk menimbangkan dan mengambil kira masa konsultasi yang lebih lama dalam sistem jagaan kesihatan masa hadapan,” katanya.

Dr Wan Rizal juga menggesa semua poliklinik, klinik am dan agensi khidmat sosial dilengkapkan dengan "kepakaran dan sumber yang diperlukan" untuk menjadikan pemeriksaan kesihatan mental lebih mudah diakses oleh warga Singapura.

Beliau turut menyarankan agar "rangkaian sokongan masyarakat" yang terdiri daripada kakitangan dan sukarelawan terlatih turut dibangunkan. Mereka boleh menjadi titik hubungan pertama untuk menangani "panggilan meminta bantuan dan konsultasi".

NAIKKAN HAD TUNTUTAN MEDISAVE

Dr Wan Rizal juga menggesa semakan dijalankan ke atas kos konsultasi bagi kesihatan mental.

Beban kewangan untuk mendapatkan rawatan, terutama bagi jangka waktu yang panjang, boleh menjadi "hambatan" bagi pesakit kesihatan mental untuk mendapatkan bantuan, katanya.

Sebagai contoh, katanya, had MediSave tahunan adalah S$700 setahun bermula 2022, jumlah ini mungkin habis setelah beberapa sesi konsultasi.

Beliau turut menyarankan subsidi bagi skim Generasi Perintis, Merdeka atau Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) dinaikkan bagi isu kesihatan mental.

Dr Wan Rizal turut menarik perhatian kepada beberapa penyedia polisi insurans yang sudah mula menawarkan polisi insurans yang memberikan perlindungan untuk keadaan kesihatan mental, tetapi masih ada penyedia lain yang belum berbuat demikian.

'PENDAMPINGAN AWAL' UNTUK KESAN PENYAKIT MENTAL

Akhir sekali, Dr Wan Rizal menyeru agar pemeriksaan kesihatan mental untuk semua warga Singapura dijadikan sebagai suatu kebiasaan agar campur tangan lebih awal dan pantas dapat dilakukan setelah masalah kesihatan mental dikesan.

Ini dapat dilaksanakan melalui tempat rujukan utama seperti sekolah dan institusi pengajian tinggi, tempat kerja, hospital, klinik GP, klinik pediatrik, dan klinik sakit puan.

Setelah seorang individu disaring berdasarkan risiko atau gejala masalah kesihatan mental, mereka kemudian dapat segera dirujukkan ke seorang pengamal kesihatan mental, tambahnya.

Pendampingan awal patut dilakukan sebelum isu kesihatan mental "mengganggu kehidupan" mereka, tambahnya.

Seruan Dr Wan Rizal bagi sokongan proaktif kesihatan mental menyusuli kesan pandemik COVID-19, yang menyaksikan "rekod tinggi" pada kadar bunuh diri seramai 452 individu pada tahun lalu. Perangkaan itu 13 peratus lebih tinggi berbanding 2019, dengan kenaikan dicatatkan pada semua peringkat usia, tambahnya. 

- CNA/TQ/tq

Top