Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Selepas kejayaan #15AgainstCancer, kini Halal Goods Do Goods cadang anjur 1 lagi acara amal

Pertama kali dianjurkan, ia mendapat sokongan Puan Noor Aishah, balu Presiden Yusof Ishak, yang membuka pintu rumah beliau bagi acara tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih $5,600 berjaya dikumpulkan demi membantu para pesakit barah payu dara hari ini (15 Okt) menerusi jualan makanan amal #15AgainstCancer.

Pertama kali dianjurkan, ia mendapat sokongan Puan Noor Aishah, balu Presiden Yusof Ishak, yang membuka pintu rumah beliau bagi acara tersebut.

Acara itu dianjurkan 'Halal Goods Do Good' dengan kerjasama badan-badan kebajikan “Free Food For All” dan “Project Goodwill Aid”.

RUMAH DIBANJIRI PENGUNJUNG PELBAGAI KAUM

Selama enam jam, pekarangan rumah Puan Noor Aishah berubah menjadi seakan sebuah kafe antarabangsa.

Para pelanggan pula terdiri daripada penduduk pelbagai kaum.

Namun, mereka bukan hanya datang untuk menjamu sajian-sajian menarik yang ditawarkan 15 usahawan makanan halal tempatan.

Para pembeli membanjiri rumah balu Presiden Yusof Ishak ini bagi menyokong inisiatif #15AgainstCancer.

Hasilnya, lebih S$5,600 - iaitu mewakili 50 peratus daripada hasil penjualan hari ini - disumbangkan untuk membantu pesakit barah payu dara.

Sambutannya begitu menggalakkan dengan semua barangan habis dijual sebelum 6.00 petang.

WANG TERKUMPUL BAGI BANTU KOS SARA HIDUP PESAKIT BARAH

"Kami sekeluarga amat menyokong segala usaha untuk membantu golongan yang memerlukan dan terpinggir. Harapan kami untuk masyarakat umum agar mereka mengambil sikap berkolaborasi antara satu sama lain untuk menjalankan usaha dan kerja amal," kata cucu kepada Allahyarham Presiden Yusof Ishak, Cik Fatimah Imran.

Para pegerai juga rata-rata berpuas hati dengan acara hari ini.

"Kami amat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk menyertai acara yang murni ini dan kami berharap kami akan terus diberi peluang untuk berbuat demikian pada masa hadapan," kata Cik Haryati Jufri, pemilik Wowburg.

Halal Goods Do Good menyatakan wang yang terkumpul itu dapat membantu para pesakit barah payu dara menyara kos sara hidup serta membiayai perubatan barah mereka.

BAKAL ANJURKAN SATU LAGI ACARA AMAL

"Acara ini sangat baik untuk pendedahan peniaga-peniaga online dan matlamat penting adalah untuk membantu pesakit-pesakit barah. Dan pada saya, acara ini juga dapat mengeratkan silaturrahim," ujar Cik Suzlynn Mohamed, pengunjung acara #15AgainstCancer

Halal Goods Do Goods turut bercadang menganjurkan satu lagi acara amal pada hujung tahun ini bagi membantu keluarga yang menghadapi kesulitan dalam persiapan persekolahan anak mereka. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan