Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Selepas bidaan warisan UNESCO, siapakah penerus masakan tradisional Melayu?

Jika permohonan Singapura untuk menyenaraikan budaya penjajanya sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO diiktiraf, ini sekali gus meningkatkan status makanan Melayu Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika permohonan Singapura untuk menyenaraikan budaya penjajanya sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO diiktiraf, ini sekali gus meningkatkan status makanan Melayu Singapura.

Bahkan, para peniaga makanan Melayu juga berpotensi meraih untungnya.

Namun persoalannya: Apakah para peniaga Melayu sudah bersedia untuk menyahut cabarannya?

BANYAK YANG KURANG DALAM KALANGAN PENJAJA MELAYU

Masyarakat Melayu memang terkenal dengan makanan yang sedap-sedap seperti nasi lemak, sate, rendang, lauk lemak dan sebagainya.

Warisan tradisi pelbagai kuih-muih tradisional yang kaya dengan 1,001 rasa termasuklah koleh-koleh, lopes, pulut panggang dan beraneka lagi kuih talam atau gorengan.

Namun, apakah para peniaga Melayu benar-benar bersedia meraup sepenuh manfaatnya jika budaya penjaja Singapura - yang termasuk makanan Melayu - diiktiraf sebagai warisan UNESCO?

"Adik saya beli soto. Saya tengok soto itu macam saya kesian. Sebab apa, cuma ada tauge berenang dengan ayam dua tiga helai. Warnanya tidak menarik, rasanya tidak menarik," cerita Cik Aziza Ali, seorang tokoh makanan Melayu.

"Ini yang harus difikirkan, adakah kita bersedia? Pada saya, kita belum lagi bersedia," jawapnya terus terang.

Pendek kata, selain membaiki mutu makanan, banyak lagi kekurangan dalam kalangan peniaga makanan Melayu yang beliau utarakan termasuklah soal-soal promosi, penampilan dan juga perkhidmatan.

"Kalau kita jual mungkin Nasi Padang, taruk dekat dia punya casing mesti kemas-kemas, cantik-cantik. Jangan letak yang lama-lama, tidak ada selera orang nak makan.

"Kalau kita di gerai kita harus ramah-tamah. Kita bukan bercakap pasal lain, pasal makanan. Kita harus buka mulut. Jangan kita diam sahaja kan?" tegur beliau.

BUAT KAJIAN, SESUAIKAN MAKANAN IKUT SELERA ORANG LUAR

Satu lagi keprihatinan, menurut Cik Aziza, adalah sebahagian penjaja Melayu "kadang-kadang selekeh".

Lantaran itulah beliau menyarankan supaya lebih ramai penjaja Melayu menggunakan pakaian seragam kerana tidak semestinya hanya restoran sahaja yang boleh berbuat demikian.

Lebih mustahak lagi, para penjaja harus rajin melakukan kajian dan fahami cita rasa pelancong asing.

"Kita harus fikirkan orang luar tidak suka pedas. Jadi yang mana macam asam pedas itu kita boleh buat dua - satu yang pedas, satu yang tidak pedas. Sebab asam pedas ini satu-satu makanan kebangsaan untuk orang Melayu," tekan Cik Aziza.

APAKAH MUDAH UNTUK MENCARI GENERASI PELAPIS?

Menjelang 2027, Singapura bakal mempunyai sekitar 130 pusat penjaja makanan - naik 13 berbanding jumlah sekarang.

Akan tetapi, ada satu masalah.

Ramai anak muda bukan sahaja enggan menceburi bidang penjajaan makanan, malah enggan menjual makanan Melayu yang dianggap rumit-rumit untuk dibuat atau "banyak remeh-temeh"nya.

"Ramai orang muda yang hendak buat perniagaan, yang hendak jual makanan. Tapi mereka selalu tumpukan kepada kafe. Mereka lupa sebenarnya pusat penjaja pun mereka boleh bikin," kata Cik Norizwani Ismail, 49 tahun.

Beliau bersama suami dan ipar-duainya mengendalikan 'Hani Food Stall' di pusat makanan Clementi West.

Cik Norizwani (dua dari kiri) dan suami serta ipar-duainya bersepakat setiap hari mengenakan "pakaian seragam" ikut tema warna.

Mereka menyandarkan harapan kepada generasi ketiga untuk meneruskan perniagaan yang telah diwarisi oleh ibu bapa mertua Cik Norizwani.

"Anak saya pun dalam bidang F&B (makanan dan minuman). Dia seorang chef dekat Australia tapi kami sedang cuba untuk bawa dia balik ke Singapura dan teruskan legasi datuk nenek. Kalau bukan kita, siapa lagi yang hendak kekalkan tradisi Melayu?," luah Cik Norizwani.

DIKHUATIRI PUSAT PENJAJA HILANG SUNTIKAN ANAK JATI

Bagi Cik Aziza, ini boleh membangkitkan satu lagi masalah pada masa depan jika orang Melayu sendiri enggan menjual makanan-makanan Melayu.

"Orang penjajanya kurang. Satu hari nanti mungkin penjaja datang dari Bangladesh, negeri China, negeri Indonesia, sebab penjaja kita kurang. Bersara," ujar Cik Aziza.

Lantaran itulah, beliau berpendapat bahawa ini bukan masalah penjaja sahaja tetapi juga masalah Pemerintah.

Pemerintah katanya, harus menimbangkan cara-cara melestarikan budaya penjaja kerana dikhuatiri setelah Singapura mendapat status warisan budaya tidak ternilai UNESCO, ia tidak mampan bagi jangka panjang.

Para peniaga Melayu pula, kata Cik Aziza, perlu membuat persiapan untuk mewajarkan pengiktirafan UNESCO dengan terus membetulkan dan meninggikan mutu makanan-makanan Melayu mulai "sekarang". 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan