Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Selepas 8 tahun Naib Juara, Nurul 'Izzah muncul Johan Musabaqah Tilawah Al Quran kali ini

Setelah lapan tahun berturut-turut menjadi Naib Johan, Cik Nurul 'Izzah Khamsani akhirnya berjaya menjadi Johan Qariah Musabaqah Tilawah Al Quran peringkat Kebangsaan tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mencuba terus mencuba tanpa berputus asa.

Setelah lapan tahun berturut-turut menjadi Naib Johan, Cik Nurul 'Izzah Khamsani akhirnya berjaya menjadi Johan Qariah Musabaqah Tilawah Al Quran peringkat Kebangsaan tahun ini.

Johan Qari, Encik Ahmad Daniyal Mohd Rizal, juga merupakan pemenang kali pertama setelah tiga kali menjadi Naib Johan.

PERJUANGAN DAN DUGAAN DIHADAPI NURUL IZZAH KHAMSANI

Mendengarkan alunan suara bacaan beliau secara bertarannum, siapa sangka Cik Nurul 'Izzah yang berusia 30 tahun, sebenarnya mengalami dugaan besar sejak beberapa minggu lalu.

Suara serak sejak tiga minggu yang lalu, dan beliau mengaku terasa bahawa tiada harapan untuk suara itu kembali bagi tilawah tersebut, semasa bacaan peringkat akhir dari 23-24 April.

Berkat semangat tidak berputus asa dan penggunaan kaedah yang bijak, Cik Nurul 'Izzah yang bertugas selaku seorang Pegawai Agama di sebuah masjid tempatan, berjaya mengatasi kegenjotan tersebut.

"Alhamdulillah pertama sekali saya kembalikan kepada Allah sebab beliau yang mengembalikan suara saya setelah serak tiga minggu. Dan saya gunakan teknik tahsin al sawud, di mana saya tidak gunakan suara dari tekak tapi saya pakai fungsi suara. Jadi saya lepasi tekak saya. Dia ada caralah, tapi maksudnya di situ di mana ilmu mencantikkan suara itu memainkan peranan," Cik Nurul 'Izzah memberitahu BERITAMediacorp.

Akhirnya, Cik Nurul 'Izzah, muncul juara, dan nikmat yang beliau rasakan begitu bermakna dan jelas terpancar menerusi kata-kata beliau.

"Setelah lapan tahun saya menunggu sebagai Naib Johan, lapan tahun berturut-turut, ini adalah kejayaan yang manis bagi saya," kata beliau penuh gembira.

AHMAD DANIYAL SAHUT CABARAN ANTARABANGSA

Johan bahagian Qari juga mempunyai ciri-ciri yang sama.

Encik Ahmad Daniyal sebelum ini sudah empat atau lima kali mencuba dalam Tilawah Al Quran.

Beliau juga berjaya menjadi Naib Johan sebanyak dua tiga kali sejauh ini.

Namun tahun 2016 menjadi tahun tuah baginya kerana dinobatkan sebagai Johan Qari Kebangsaan, yang diadakan untuk kali ke 49 tahun ini.

"Saya selalu mengikuti rancangan TV untuk Tilawah Al Quran Antarabangsa, dan saya dapati qari-qari di sana lebih hebat, jadi saya perlu lebih kreatif, lebih inovatif, lebih bersemangat dan lebih berani untuk mencuba sesuatu yang baru di sana," kata pelajar berusia 23 tahun itu kepada BERITAMediacorp.

Kedua-dua johan menerima piala kemenangan daripada Speaker Parlimen Halimah Yacob.

Mereka akan mewakili Singapura dalam tilawah peringkat antarabangsa di Malaysia bulan depan, dan berazam membuat persembahan terbaik demi mengharumkan nama negara.

Bagi Cik Nurul 'Izzah, beliau akan terus melakukan pelbagai usaha untuk memastikan kondisi fizikalnya baik bagi menghadapi para pesaing antarabangsa nanti:

"Yang pertama sekali ialah persiapan latihan secara intensif. Hari-hari saya cuba luangkan masa. Contohnya kalau di pejabat itu saya sempat juga dengarkan Al Quran sambil saya buat kerja - 'multi-tasking'. Keduanya persiapan dari segi fizikal. Alhamdulillah saya pergi berenang. jadi itu membantu dari sudut pernafasan dan stamina."

PESERTA MUDA BAWAH 25 TAHUN SEMAKIN BERTAMBAH

Dalam pada itu, pihak penganjur menyatakan, tilawah tahun ini juga menyaksikan perkembangan baik.

Iaitu peningkatan dalam penyertaan peserta muda.

Daripada purata 30 peserta di bawah 25 tahun dalam tahun 2000, bilangannya kini melonjak kepada purata 60 peserta sedemikian setiap tahun.

MUIS menyatakan, peningkatan ini membuktikan wujudnya sokongan masyarakat untuk menggalakkan golongan muda mempelajari dan menghayati bacaan Al Quran 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan