Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekumpulan kanak-kanak, guru Busy Bees muntah-muntah terkena keracunan makanan

Satu lagi kes disyaki keracunan makanan berlaku, kali ini membabitkan sebilangan kanak-kanak prasekolah dan guru dari Busy Bees.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekumpulan kanak-kanak, guru Busy Bees muntah-muntah terkena keracunan makanan

(Gambar: Busy Bees Asia/Facebook)

SINGAPURA: Satu lagi kes disyaki keracunan makanan berlaku, kali ini membabitkan sebilangan kanak-kanak prasekolah dan guru dari Busy Bees.

Ini didedahkan pihak sekolah menerusi surat yang dikirimkan kepada ibu bapa oleh Pengarah Operasi Busy Bees, Encik Ronald Kwong. Salinan surat tersebut dikongsi oleh sumber-sumber kepada BERITAmediacorp hari ini (27 Nov).

"Kami mengalami satu insiden malang sekarang ini apabila kami diberitahu bahawa sebilangan kanak-kanak dan guru kami muntah-muntah, serta perlu mendapatkan rawatan doktor selepas mengambil makanan yang ditempah, di sebuah perkhemahan semalam (26 Nov)," menurut surat tersebut.

Perkhemahan untuk kanak-kanak K2 itu juga dibatalkan dengan serta merta.

Menurut surat itu lagi, pihak tadika sudahpun segera melaporkan kejadian tersebut kepada Kementerian Kesihatan (MOH), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA).

Pihak sekolah sedang bekerjasama dengan anak syarikatnya, Learning Horizon dan juga NEA untuk menyiasat puncanya dan sudah diberitahu bahawa "NEA akan melakukan kunjungan ke dapur pembekal makanan dan menjalankan pemeriksaan menyeluruh".

Usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Busy Bees Singapore Pte Ltd tidak berhasil setakat ini. BERITAmediacorp juga sudahpun menghubungi MOH dan NEA untuk mendapatkan perincian lanjut.

Busy Bees dalam suratnya kepada ibu bapa turut menyatakan, pihaknya "mengambil perkara ini dengan sangat serius". Keutamaannya sekarang adalah "memastikan kanak-kanak kami mendapat rawatan perubatan yang baik dan segera pulih".

INSIDEN KERACUNAN MAKANAN KE-3 DALAM 3 MINGGU

Ini merupakan insiden ketiga membabitkan kejadian keracunan makanan yang ditempah dari syarikat pembekal makanan dalam tempoh tiga minggu ini.

Dalam insiden keracunan makanan membabitkan bento yang dibekalkan restoran popular Spize cawangan River Valley pada 7 November lalu, 81 orang menjadi mangsa, dengan seorang daripadanya meninggal dunia.

Khamis lalu (22 Nov) pula, 190 jatuh sakit akibat kes gastroenteritis atau radang perut dan usus - yang menyebabkan cirit-birit dan muntah-muntah - setelah mengambil makanan daripada syarikat katering TungLok Group.

Kedua-dua restoran masih lagi digantung lesen masing-masing oleh NEA.

Bagi Busy Bees pula, ia menyebut dalam pemberitahuan kepada para ibu bapa berkenaan bahawa ia mungkin "mengambil tindakan lanjut terhadap pembekal makanan tersebut bagi sebarang kecuaian dan kebimbangan yang berlaku kepada kanak-kanak, guru dan keluarga mereka". 

TERKINI JAM 7.51 MALAM:

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp menerusi emel, Pengarah Operasi Busy Bees, Ronald Kwong mengesahkan kejadian tersebut.

"Kesemua mereka yang terjejas sudah menerima rawatan perubatan yang diperlukan dan tiada pelajar atau guru kami perlu dimasukkan ke hospital dan sudah dibenarkan pulang pada hari yang sama (26 Nov)," menurut Encik Kwong.

Belkiau juga menambah bahawa syarikat tersebut juga berhubungan dengan ibu bapa kanak-kanak terjejas untuk "menawarkan sebarang sokongan yang mereka perlukan".

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan