Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sektor pelancongan S'pura diramal 'terjejas teruk' tahun ini akibat virus korona; jumlah pelawat mungkin jatuh hingga 30%

Sektor pelancongan akan "merudum dengan ketara" dengan ketibaan pelancong yang dianggarkan merosot 25 hingga 30 peratus tahun ini disebabkan oleh wabak virus korona baru. Demikian menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Selasa (11 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Sektor pelancongan S'pura diramal 'terjejas teruk' tahun ini akibat virus korona; jumlah pelawat mungkin jatuh hingga 30%

Para pelawat memaki pelitup di Marina Bay pada 26 January 2020. (Gambar: Roslan RAHMAN/AFP)

Diterbitkan : 11 Feb 2020 12:10PM Dikemas Kini : 11 Feb 2020 12:13PM

SINGAPURA: Sektor pelancongan akan "merudum dengan ketara" dengan ketibaan pelancong yang dianggarkan merosot 25 hingga 30 peratus tahun ini disebabkan oleh wabak virus korona baru. Demikian menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Selasa (11 Feb).

Penularan virus korona tersebut menjejas dengan ketara ketibaan pengunjung, terutamanya dari China, yang membentuk sekitar 20 peratus ketibaan pelawat antarabangsa di sini, menurut STB dalam kenyataan medianya.

Terdapat sekitar 3.6 juta pengunjung dari China pada 2019 berbanding 2018. Terdapat peningkatan 12 peratus pada jumlah pelawat dari Kelompok 2 bandar-bandar China seperti Jinan, Ningbo dan Xiamen.

China juga merupakan pasaran hasil utama Singapura dalam tiga suku pertama tahun 2019, menyumbang S$3.2 bilion pada hasil pelancongan kecuali segmen wisata, perjudian dan hiburan, yang naik 2 peratus daripada 2018.

Menurut lembaga itu: "Ketibaan pengujung dari pasaran sumber utama STB yang lain juga dijangka merosot akibat keyakinan perjalanan lebih rendah di peringkat sejagat".

Singapura kehilangan purata 18,000 hingga 20,000 pelawat antarabangsa setiap hari dan sebahagian besar ketibaan pelancong yang hilang adalah warga China yang disebabkan oleh sekatan perjalanan di kedua-dua belah pihak, ketua eksekutif STB Keith Tan memberitahu media pada Selasa.

Beliau menarik perhatian anggaran kejatuhan pada ketibaan pengunjung boleh berubah bergantung kepada berapa lama keadaan di China akan berlarutan, berapa lama keadaan di Singapura dan ekonomi serantau akan berterusan dan berapa lama masa akan diambil untuk permintaan perjalanan kembali rancak.

"Kami percaya bahawa keadaan tahun ini akan setidak-tidaknya teruk seperti keadaan yang kita hadapi pada tahun 2003 semasa SARS (sindrom pernafasan akut teruk), bahkan mungkin lebih buruk."

Bagaimanapun, selepas mencatat pertumbuhan empat tahun berturut-turut, pihak berkuasa pelancongan menyatakan sektor itu menyasarkan untuk mendapatkan kebangkitan yang kukuh, dengan pelaburan dalam pelancongan dan usaha untuk membina keupayaan baru.

Pemerintah juga akan menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Tindakan Pemulihan Pelancongan (TRAC) awam-privet untuk melakar rancangan bagi pemulihan serta pertumbuhan masa hadapan, menurut STB.

Pasukan bertindak itu akan meliputi para pemimpin pelancongan daripada sektor-sektor awam dan privet dan akan bekerjasama untuk mengenal pasti peluang yang terbit daripada wabak virus korona, meningkatkan keyakinan terhadap daya tarikan pelancongan selain mencipta rancangan pemulihan.

Lembaga berkanun itu mengumumkan pada 2 Februari lalu bahawa yuran lesen untuk hotel, ejen pelancongan dan pemandu pelancong akan dikecualikan untuk membantu mencergaskan semula sektor pelancongan Singapura yang "terjejas secara langsung" oleh wabak virus korona.

STB juga akan membiayai kos pembersihan hotel yang menyediakan penginapan kepada kes-kes virus korona yang disahkan dan disyaki. Butiran penuh pakej bantuan menyeluruh akan diumumkan dalam Belanjawan 2020 pada 18 Februari.

Memandangkan keadaan virus korona dijangka berterusan, lembaga pelancongan akan terus mengenal pasti "cara yang lebih tertumpu dan berkesan" untuk menyokong industri serta para pekerja mereka, tambahnya.

STB juga akan mengekalkan rancangannya untuk meningkatkan daya tarikan destinasi Singapura, dengan kemajuan kerja di Daerah Semula Jadi Mandai, Daerah Tasik Jurong, pelan induk Sentosa-Brani, penambahbaikan Orchard Road dan peluasan Resorts Bersepadu.

KETIBAAN PENGUNJUNG, HASIL PELANCONGAN TUMBUH PADA 2019

Singapura menyaksikan pertumbuhan pada ketibaan pelancong dan hasil pelancongan untuk empat tahun berturut-turut pada 2019. Ketibaan pelancong meningkat 3.3 peratus kepada sejumlah 19.1 juta pelawat dan mereka membelanjakan sebanyak S$27.1 bilion dalam resit pelancongan, 0.5 peratus lebih tinggi daripada 2018.

Selepas China, Indonesia dan India menyumbang kepada jumlah pelawat kedua dan ketiga tertinggi bagi Singapura, masing-masing seramai 3.1 juta dan 1.4 juta pelawat.

Singapura juga menyaksikan peningkatan 13 peratus pengunjung dan kenaikan 14 peratus pada hasil pelancongan dari Amerika Syarikat. Ini boleh dikaitkan dengan penyambungan penerbangan yang lebih besar antara Singapura dengan Amerika Syarikat, dengan penerbangan tanpa henti yang baru dilancarkan pada 2019. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan