Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sektor awam tertakluk pada piawai tadbir urus data serupa atau lebih tinggi berbanding sektor privet

Sektor awam tertakluk pada piawai tadbir urus data yang sama atau lebih tinggi berbanding sektor swasta, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran di Parlimen pada Selasa (12 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Sektor awam tertakluk pada piawai tadbir urus data serupa atau lebih tinggi berbanding sektor privet

Menteri S Iswaran di Parlimen pada 12 Feb (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 12 Feb 2019 08:21PM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 08:23PM

SINGAPURA: Sektor awam tertakluk pada piawai tadbir urus data yang sama atau lebih tinggi berbanding sektor swasta, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran di Parlimen pada Selasa (12 Feb).

"Kita perlu melakukan demikian," menurut Encik Iswaran. "Jika kita tidak melakukannya, banyak usaha lain dari segi usaha menuju ke arah visi Negara Bijak atau memanfaatkan teknologi digital untuk menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik akan gagal."

"Itulah sebabnya kami amat memandang serius perkara ini."

Encik Iswaran berkata demikian semasa menjawab soalan AP GRC Aljunied Sylvia Lim. Cik Lim bertanya sama ada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) perlu dipinda untuk memansuhkan pengecualian bagi agensi-agensi awam menyusuli pencerobohan ke atas data-data sektor awam.

PDPA, yang berkuat kuasa pada 2012, menetapkan piawai asas bagi perlindungan data dalam sektor swasta, yang diimbangi dengan keperluan untuk menggunakan data peribadi bagi tujuan yang munasabah.

Encik Iswaran turut menjelaskan bahawa pada 2018, Akta (Tadbir Urus) Sektor Awam (PSGA) memperkenalkan perlindungan tambahan bagi data peribadi dalam sektor awam, termasuk menjadikan penyalahgunaan data oleh pegawai awam sebagai satu kesalahan jenayah. Piawai perlindungan data, menurut beliau, sejajar dengan PDPA.

Beliau menambah bahawa data yang dikumpulkan oleh sektor awam juga dilindungi oleh undang-undang tertentu seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Cukai Pendapatan, Akta Penyakit Berjangkit dan Akta Statistik.

"Terdapat kesedaran jelas mengenai operasi dan jangkaan tentang bagaimana data digunakan untuk menyediakan perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan dan ini memberikan gambaran bahawa kita memerlukan metodologi yang berbeza dalam cara kita mentadbir data sektor awam," katanya. "Sebab itu kami mempunyai pendekatan yang berbeza."

PSGA, menurut Encik Isawaran, membolehkan data peribadi diurus sebagai sumber bersama yang dikongsi dalam sektor awam untuk menggubal dasar dan perkhidmatan yang lebih responsif. Ini berbeza bagi sektor swasta di mana setiap pertubuhan dalam sektor swasta dipertanggungjawabkan untuk melindungi data peribadi yang dimilikinya, dan mereka tidak diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan yang serupa bagi pelbagai pertubuhan komersil.

Semasa menjawab beberapa soalan tambahan, Encik Iswaran turut mendedahkan bahawa terdapat jalan keluar bagi individu yang merasakan bahawa data peribadi mereka disalah urus dalam sektor awam. Misalnya, mereka boleh membuat aduan kepada kementerian atau agensi yang relevan atau membuat aduan polis jika mereka merasakan ada jenayah yang berlaku.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan