Images
  • worker
    (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)

Sektor Awam 'berhemat', agih bonus hujung tahun terendah dalam beberapa tahun

SINGAPURA: Keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini, mendorong Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) untuk "mengambil langkah secara berhemat" bagi pembayaran bonus hujung tahun, iaitu yang terendah dalam tempoh beberapa tahun.

Kakitangan awam kanan dalam gred 'superscale' akan menerima bayaran sekali sahaja sebanyak S$400 sebagai pengganti Komponen Berubah-Ubah Tahunan (AVC).

Semua kakitangan awam lain akan menerima AVC hujung tahun sebanyak 0.1 bulan gaji dan bayaran tambahan sekali sahaja antara S$250 hingga S$1,500.

Mereka yang dalam gred gaji lebih rendah akan menerima bayaran bonus seklai sahaja yang lebih tinggi.

Semua kakitangan awam juga akan menerima bayaran bulan ke-13, dipanggil Elaun Tahunan Bukan Pencen - sebanyak sebulan gaji. Ia akan dibayar pada bulan ini bersama AVC dan bayaran sekali sahaja.

Pada Julai lalu, kakitangan awam diberi bayaran AVC pertengahan tahun sebanyak 0.45 bulan gaji berserta bayaran sekali sahaja sebanyak S$200. Kakitangan awam bergaji lebih rendah dalam Gred IV dan V Skim Sokongan Operasi menerima bayaran sekali sahaja lebih tinggi sebanyak S$300 berbanding S$200.

AVC hujung tahun ini adalah lebih rendah berbanding apa yang diberikan sepanjang lima tahun lalu.

Pada 2018 dan 2017, kakitangan awam menerima bonus akhir tahun sebanyak sebulan gaji, dengan para pegawai bergaji rendah mendapat jumlah minimum S$1,800.

Pada 2016, jumlah yang diagihkan bernilai 0.5 bulan gaji, dengan kakitangan awam bergaji rendah menerima sekurang-kurangnya S$900.

Bonus hujung tahun pada 2015 berjumlah 0.65 bulan gaji manakala pada 2014, 0.8 bulan gaji, dengan pegawai bergaji rendah masing-masing menerima sekurang-kurangnya S$1,000 dan S$1,200.

Dalam satu nota kepada kakitangan awam yang didedahkan kepada pihak media, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing menyatakan prestasi ekonomi tahun ini lemah. Jangkaan ekonomi pula kekal tidak menentu dan mencabar dengan risiko keadaan semakin merudum.

"Bagi tahun ini, sedang kita menyesuaikan AVC tahunan bagi semua kakitangan awam, kita akan menghulurkan sokongan lebih banyak bagi pegawai dalam gred rendah. Saya berbesar hati gerakan kesatuan sektor awam menyokong langkah ini," kata beliau.

- TODAY/TQ/tq

Top