Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah-sekolah keluarkan notis minta ibu bapa isytihar pelan perjalanan cuti Tahun Baru Cina

Sekolah-sekolah di Singapura hari ini (23 Jan) mengeluarkan satu notis kepada ibu bapa yang mengumumkan langkah berjaga-jaga untuk melindungi kebajikan para pelajar menyusuli penularan virus Wuhan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah-sekolah keluarkan notis minta ibu bapa isytihar pelan perjalanan cuti Tahun Baru Cina
Diterbitkan : 23 Jan 2020 07:24PM Dikemas Kini : 07 Feb 2020 04:54PM

SINGAPURA: Sekolah-sekolah di Singapura hari ini (23 Jan) mengeluarkan satu notis kepada ibu bapa yang mengumumkan langkah berjaga-jaga untuk melindungi kebajikan para pelajar menyusuli penularan virus Wuhan.

Dalam makluman yang dihantar menerusi aplikasi Parents Gateway, yang membenarkan pihak sekolah mengemas kini ibu bapa dengan maklumat program dan kegiatan, antara langkah-langkah yang disebut pihak sekolah adalah mendapatkan "perisytiharan perjalanan anak anda pada hujung minggu Tahun Baru Cina ini" pada 24 hingga 28 Januari.

"Butiran yang diserahkan hanya boleh diakses kakitangan yang diberi kebenaran dan akan memudahkan langkah-langkah kesihatan yang akan diambil jika tahap waspada dipertingkat setelah musim cuti," menurut nota itu.

Dalam catatan di laman Facebook pada Rabu, Menteri Pendidikan Ong Ye Kung berkata kementeriannya, sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi sudah mempunyai langkah-langkah tersedia untuk memastikan keselamatan para pelajar dan kakitagan sejak penularan SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk) pada 2003.

"Kita bersedia untuk mengaktifkan langkah-langkah ini jika diperlukan," tulis Encik Ong.

Beliau menambah bahawa pihak kementeriannya bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain sebagai "respons seluruh pemerintah" terhadap penularan virus Wuhan.

Beliau menggesa para ibu bapa memantau dengan teliti kesihatan anak-anak mereka dan mendapatkan nasihat perubatan segera jika mereka kurang sihat dan memastikan mereka sudah benar-benar sembuh sebelum kembali ke sekolah.

"ANAK KECIL LEBIH MUDAH TERDEDAH"

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Rabu mendedahkan pihaknya sudah memaklumkan pusat-pusat prasekolah dan penjagaan pelajar tentang langkah-langkah berwaspada "untuk memastikan kesejahteraan kanak-kanak dan para kakitangan".

Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) juga mengingatkan prasekolah untuk berwaspada dalam menjalani pemeriksaan kesihatan dan memantau kesihatan kanak-kanak dan kakitangannya.

"Oleh kerana bayi dan anak kecil lebih mudah terdedah kepada penyakit berjangkit, kakitangan prasekolah dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan tidak penting ke Wuhan semasa tempoh ini," menurut kementerian tersebut dalam kenyataan media.

MSF juga menambah pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan badan-badan masyarakat dan kemudahan penduduk di bawah jagaannya untuk memastikan "langkah berjaga-jaga dilaksanakan".

Tiga lagi kes yang disyaki sudah dikenal pasti di Singapura dan sedang diuji. Jumlah kes yang disahkan di China kini tercatat pada 571 dengan sekurang-kurangnya 17 orang terkorban.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan