Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah-sekolah akan tawarkan kelas kesihatan mental mulai 2021

Kesejahteraan mental dan sokongan rakan sebaya akan diberi lebih tumpuan tidak lama lagi, sedang Kementerian Pendidikan menyegarkan kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) bagi tahun 2021.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Mar 2020 04:55PM Dikemas Kini : 04 Mar 2020 09:11PM

SINGAPURA: Kesejahteraan mental dan sokongan rakan sebaya akan diberi lebih tumpuan tidak lama lagi, sedang Kementerian Pendidikan menyegarkan kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) bagi tahun 2021.

"Cabaran utama yang belia kita hadapi hari ini adalah kesejahteraan mental," kata Menteri Kedua bagi Pendidikan Indranee Rajah di Parlimen pada Rabu (4 Mac).

Lantaran itu, kesejahteraan mental akan menjadi sebahagian daripada kurikulum baru CCE di sekolah menengah, "bagi membantu para pelajar memahami isu-isu lumrah kesihatan mental dan simptom-simptomnya, tahu bila dan bagaimana mencari pertolongan untuk diri mereka dan orang lain, dan membangunkan sifat empati dan prihatin kepada mereka yang mengalami isu-isu kesihatan mental," jelas Cik Indranee, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementeriannya.

Sehubungan itu, politeknik-politeknik dan Institut bagi Pendidikan Teknikal (ITE) juga telah bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan bagi membangunkan sumber kesihatan mental bagi para pelajar.

Selain mendidik para pelajar, para guru juga akan mewujudkan "sekitaran pembelajaran sekolah yang positif".

Para guru diajar mewujudkan "budaya bilik darjah positif" sebagai sebahagian daripada latihan mereka, dan "hubungan positif antara guru dengan pelajar amat ditekankan", ulas Cik Indranee. Kementerian tersebut akan membina keupayaan para guru melalui SkillsFuture bagi Para Pendidik.

Tambahan itu, sekolah-sekolah juga perlu mengajar para pelajar bagaimana menghadapi kegagalan.

"Bagi membantu para pelajar menghadapi cabaran dengan yakin, kami akan membantu para pelajar membina minda yang berdaya bingkas," kata Cik Indranee.

Pemikiran ini akan mengajar para pelajar menghargai kekuatan mereka, meningkatkan keyakinan diri, mendapatkan sokongan rakan sebaya dan keluarga serta melengkapi diri mereka dengan kemahiran seperti pengawalan emosi, cara menyelesaikan masalah serta menangani hubungan dan konflik.

Memandangkan sokongan rakan sebaya boleh menyumbang kepada kesejahteraan pelajar, MOE juga akan menubuhkan struktur-struktur sokongan rakan sebaya di setiap sekolah menjelang 2022.

Meskipun wujud langkah-langkah sedemikian, para pelajar yang masih berdepan dengan isu-isu kesihatan mental akan memerlukan lebih banyak sokongan, tambah Cik Indranee.

Para guru di sekolah-sekolah dan para penasihat kelas di Institut-Institut Pengajian Tinggi akan dilatih untuk mengesan tanda-tanda menghadapi tekanan, mendampingi para pelajar tersebut dan merujuk mereka kepada para pakar kesihatan mental jika perlu.

NILAI MORAL DAN PERBINCANGAN BERHUBUNG ISU KONTEMPORARI

Sebagai sebahagian daripada kurikulum baru CCE, sekolah rendah akan memberi penekanan kepada pengajaran nilai-nilai moral, kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan pada Rabu.

Kebanyakan kelas CCE bagi murid Darjah 1 hingga 3 akan menumpukan kepada perwatakan dan nilai-nilai, manakala CCE dan kelas bahasa ibunda bagi semua pelajar sekolah rendah akan lebih diselaraskan, sedang lebih banyak kelas perwatakan dan nilai diajarkan semasa kelas bahasa ibunda, kata beliau.

Pendidikan nasional dan kewarganegaraan yang kini sebahagian daripada kurikulum CCE, akan diajarkan semasa Form Teacher Guidance Period. Ini akan dilaksanakan bagi murid Darjah 4 hingga 6.

MOE juga akan meningkatkan usaha bagi mendampingi para pelajar sekolah menengah berhubung isu kontemporari melalui kelas CCE, meliputi topik seperti perubahan iklim, dasar-dasar pemerintah serta kaum dan agama.

Sedang guru-guru dengan kemahiran khusus mungkin diperlukan bagi memudahkan perbincangan topik-topik kompleks atau sensitif, setiap sekolah menengah akan diperuntukkan guru-guru khusus CCE menjelang 2022.

Di luar bilik darjah, CCE akan disepadukan ke dalam kegiatan seperti Kegiatan Luar Darjah (CCA), perkhemahan, lawatan pembelajaran kohort dan NIlai dalam Tindakan.

Tiga model baru peruntukan CCA akan dirintis di beberapa sekolah rendah pada 2020, yang bertujuan memansuhkan cubaan pemilihan CCA.

Kurikulum baru CCE akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di kesemua sekolah rendah dan menengah mulai 2021, kata Encik Ong.

KENALI ASIA

Bagi membolehkan lebih ramai pelajar mendalami Asia Tenggara, kurikulum kemanusiaan akan memberi lebih tumpuan kepada Asia, kata Encik Ong.

Lebih banyak lawatan ke luar negara juga akan dianjurkan ke negara-negara Asia. Para pelajar Singapura harus merasai pengalaman di Asia, kerana ia "di kawasan berdekatan kita" dan di mana rakyat Singapura memiliki "kelebihan daya saing semula jadi", tambah Encik Ong.

Langkah-langkah ini menuju ke arah matlamat 70-70 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam kenyataan Belanjawannya.

Di bawah matlamat ini, Institut-Institut Pengajian Tinggi akan menyasarkan 70 peratus penuntutnya memiliki pendedahan luar negara, dengan 70 peratus penuntut mempunyai pendedahan kepada ASEAN, China atau India.

MOE juga akan mengajar bahasa pertuturan ASEAN bermula dengan bahasa Vietnam dan Thailand. Ini akan ditawarkan kepada para pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga prauniversiti dan ia bakal menjadi komponen pendedahan bahasa dan budaya selama 10 jam.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan