Sekolah Rendah Clementi gondol juara Penterjemah Pintar 2019, penterjemah terbaik
Majlis Bahasa Melayu Singapura bekerjasama dengan Sekolah Rendah Oasis untuk menganjurkan satu peraduan penterjemahan dalam usaha memupuk penguasaan dwibahasa dalam kalangan duta-duta cilik Bahasa.
SINGAPURA: Majlis Bahasa Melayu Singapura bekerjasama dengan Sekolah Rendah Oasis untuk menganjurkan satu peraduan penterjemahan dalam usaha memupuk penguasaan dwibahasa dalam kalangan duta-duta cilik Bahasa.
Penterjemah Pintar diadakan buat julung-julung kalinya bagi Rakan-Rakan Bahasa dari sekolah rendah. Kali ini, seramai 28 pelajar dari 14 sekolah bersaing dalam peraduan yang diadakan pada 17 Mei.
Menariknya, pusingan saringan bagi acara tersebut melibatkan penggunaan aplikasi Kahoot! yang memudahkan pemilihan lima pasukan terbaik. Kedengaran mudah tetapi bagi pusingan saringan sahaja, para peserta perlu menterjemah 20 perkataan, frasa nama, kata adjektif dan kerja secara berkumpulan. Hanya lima pasukan dengan markah tertinggi yang mara ke pusingan akhir.
Semasa peraduan tersebut, para pelajar kelihatan seronok dapat melibatkan diri secara aktif. Bahkan, mereka gembira dapat menggunakan iPad dan aplikasi yang interaktif - melihat jawapan mereka 'disemak' dengan pantas sekali.
TERJEMAH PERKATAAN IKUT TEMA MENCABAR MINDA
Lima pasukan terbaik yang mara ke pusingan akhir pula perlu menterjemah perkataan-perkataan dan frasa mengikut tema yang ditetapkan. Antara temanya termasuk perubatan, makanan, pengangkutan, cuaca dan haiwan. Pada pusingan inilah, para pelajar mempelajari kosa kata baru seperti penterjemahan bagi 'Chickenpox' yang awalnya diterjemah sebagai 'pox ayam'.
Setiap pasukan diberi lima saat untuk membuat penterjemahan. Bagi satu pusingan khusus bagi kategori Penterjemah Terbaik pula, setiap finalis diberi 10 saat untuk menterjemahkan ayat.
Pasukan dari Sekolah Rendah Clementi muncul sebagai juara bagi Penterjemah Pintar 2019 manakala penterjemah terbaik ialah Aniqah Sahruddin dari sekolah yang sama.
"Keupayaan berdwibahasa penting bagi saya kerana kadang-kala ada yang tidak memahami satu pekertaan dalam Bahasa Melayu atau Inggeris. Jadi mereka yang mahir dapat menjelaskan kepada mereka," kata Aniqah Sahruddin.
KEUPAYAAN BERDWIBAHASA PENTING BAGI S'PURA
Turut hadir menyaksikan kebolehan para Rakan Bahasa kita ialah Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2019, Cik Rahayu Mahzam.
"Kemahiran berdwibahasa amat baik untuk kita terutama sekali sebagai penduduk sesebuah negara yang dikelilingi negara-negara yang berbahasa Melayu. Peraduan ini menjadi satu wadah untuk menggalak penggunaan dan penghayatan terhadap Bahasa Melayu dengan cara yang lebih berseronok," kata Cik Rahayu.
Ditanya jika peraduan itu akan diperluaskan dan terus diadakan setiap tahun, penyelaras dari Sekolah Rendah Oasis Cik Nurmah tidak menolak kemungkinan itu.
"Kita melihat bahawa sambutan bagi peraduan ini sangat menggalakkan. Murid-murid sangat teruja semasa menjawab soalan-soalan ini. Pastinya dalam perancangan untuk masa hadapan, faktor-faktor ini akan kita pertimbangkan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.