Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekolah Pathlight buka kampus baru pada 2023

Sekolah Pathlight, sebuah institusi tertumpu kepada autisme, akan membuka kampus tetap keduanya pada 2023, kata Menteri Kedua Pendidikan, Indranee Rajah, pada Jumaat (26 Jul). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Jul 2019 07:57AM Dikemas Kini : 27 Jul 2019 11:59PM

SINGAPURA: Sekolah Pathlight, sebuah institusi tertumpu kepada autisme, akan membuka kampus tetap keduanya pada 2023, kata Menteri Kedua Pendidikan, Indranee Rajah, pada Jumaat (26 Jul).

Kampus baru di Tampines Street 91 itu akan dapat menampung 500 pelajar sekolah rendah, sekali gus membantu Kementerian Pendidikan (MOE), memenuhi permintaan bagi tempat-tempat di sekolah-sekolah pendidikan khas.

Pathlight, yang mula beroperasi pada 2004 dengan hanya 41 pelajar, kini mempunyai 1,400 pelajar sekolah rendah, menengah dan pelajar laluan vokasional.

Pada masa ini, Pathlight mempunyai sebuah kampus tetap di Ang Mo Kio Ave 10, bagi para pelajar Darjah 1 dan 2, manakala kampus sementaranya di Ang Mo Kio Street 44 adalah bagi pelajar Darjah 3 hingga 6.

Cik Indranee berkata tempat kampus baru itu - yang dahulunya menempatkan Sekolah Rendah East View - dipilih berdasarkan permintaan Pathlight buat masa ini dan jaraknya yang dekat kepada sekolah-sekolah aliran utama seperti Sekolah Rendah Junyuan dan Sekolah Rendah St Hilda's.

"Dalam menentukan tapak sekolah dan kampus pendidikan khas, kami perlu mempertimbangkan sama ada lokasi itu akan memudahkan interaksi dengan sekolah-sekolah aliran utama" kata CIk Indranee.

"Hal Ini penting kerana interaksi dan integrasi sedemikian akan memberi belia pemahaman lebih baik terhadap keperluan khusus dan mereka dapat berinteraksi dengan lebih baik antara satu sama lain," tambah Cik Indranee.

Kampus baru itu bakal menyediakan dewan sukan tertutup, makmal komputer dan kemudahan khusus untuk memenuhi keperluan pelajar, termasuk bilik kemahiran kehidupan seharian dan bilik terapi.

PELANCARAN CAFE PROFESSOR BRAWN

Bercakap di pelancaran Cafe Professor Brawn, tempat kerja inklusif pertama Pathlight, Cik Indranee menarik perhatian kepada satu kajian oleh Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan yang menyatakan orang-orang kurang upaya yang bekerja, mempunyai mutu kehidupan lebih baik.

"Hal ini benar bagi sesiapa, tetapi lebih bermakna bagi seorang kurang upaya seperti mereka yang menghadapi autisme, kerana mereka mungkin sering disalahfaham atau dipulaukan," tambah Cik Indranee.

Pengetua Pathlight, Linda Koh, berkata bahawa kafe itu bertujuan menyediakan pengalaman bekerja sebenar kepada para pelajar.

"Tenaga kerja kafe itu yang terdiri daripada kakitangan golongan autisme adalah bukti kepercayaan kami bahawa dengan latihan dan sokongan, ramai daripada golongan autisme dan kurang upaya boleh bekerja."

Kafe itu akan menyediakan latihan untuk seramai 50 orang pelajar setiap tahun. Latihan sambil bekerja di kafe itu akan disertakan ke dalam kurikulum sekolah untuk pelajar laluan vokasional tahun akhir.

Dalam pada itu, terdapat juga rancangan untuk memperluaskan kurikulum itu kepada pelajar-pelajar Menengah 3 dan 4 yang mengambil peperiksaan O-Level di Pathlight.

Tempat kerja inklusif yang serupa dan ruang-ruang masyarakat terbuka juga akan dibangunkan di kampus yang baru. 

Sumber : Today/HK/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan