Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 70 daripada lebih 90 kucing di flat 3 bilik ini berjaya diselamatkan

Sekitar 70 ekor kucing sudah dapat diselamatkan sejauh ini daripada sebuah flat HDB di Bedok South. Flat tiga bilik itu sebelum ini mempunyai lebih 90 ekor kucing.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 70 ekor kucing sudah dapat diselamatkan sejauh ini daripada sebuah flat HDB di Bedok South. Flat tiga bilik itu sebelum ini mempunyai lebih 90 ekor kucing.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sudahpun memberikan tempoh sehingga 30 Jun 2021 untuk pemilik rumah itu memindahkan kesemua kucing tersebut.

(Gambar: Annamia Zazali Mazlan)

Sehingga awal April 2021, ada lebih 90 ekor kucing di dalam unit flat tersebut kebanyakannya hidup terkurung dalam sangkar-sangkar besi.

Haiwan-haiwan itu juga diletakkan dalam salah sebuah bilik di flat itu tanpa sistem peredaran udara yang betul.

(Gambar: Wati Samad)

Gambar-gambar dan video yang dapat dilihat BERITAmediacorp jelas menunjukkan bahawa haiwan-haiwan tersebut dalam keadaan sugul dan kurang bermaya.

Kami juga dimaklumkan bahawa jumlah kucing yang banyak itu berlaku disebabkan pembiakan kerana kucing-kucing itu tidak dikembirikan.

(Gambar: Wati Samad)

BAU, BISING, KEADAAN TERUK ANTARA ADUAN YANG DITERIMA HDB

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp HDB mengesahkan bahawa memang ada aduan dibuat terhadap rumah yang dihuni keluarga lima orang itu. Namun ia enggan menyatakan berapa aduan dibuat.

Bagaimanapun kami dimaklumkan bahawa ia ekoran pelbagai aduan termasuk bau busuk dari flat tersebut, bunyi bising dari kucing-kucing itu serta keadaan kehidupan kucing-kucing itu yang cukup teruk.

(Gambar: Annamia Zazali Mazlan)

KUMPULAN PENCINTA HAIWAN BANTU SELAMATKAN KUCING

Nasib kucing-kucing itu akhirnya mendapat perhatian kumpulan-kumpulan dan individu pencinta haiwan dan kucing.

Kumpulan Haus Of Furries adalah yang pertama memuat naik catatan di Facebook meminta bantuan dana bagi mengembirikan dan membeli barangan keperluan kucing ini.

Kumpulan Sayang Our Singapore's Community Cats pula kemudian merayu agar orang ramai mengambil kucing-kucing ini.

Rayuan-rayuan tersebut membuahkan hasil dan pada awal bulan Mei tinggal 60 kucing sahaja yang masih berada di flat itu - bermakna sekitar 30 ekor sudah diselamatkan.

Setakat 30 Mei pula, kesemua kucing sudahpun dapat dikembirikan.

Individu yang aktif sebagai 'penyelamat kucing' bernama Cik Wati Samad adalah salah seorang yang membantu. Beliau secara individu sudah menyelamatkan lebih 20 ekor kucing dari flat tersebut.

(Gambar: Wati Samad)

Bertugas sebagai seorang konsultan pendidikan, beliau kini merupakan satu-satunya orang yang diberi kepercayaan untuk menempatkan semula kucing-kucing tersebut.

(Gambar: Wati Samad)

Kini tinggal sekitar 20 ekor kucing sahaja yang belum dikeluarkan dari flat berkenaan.

KES INI BUKAN YANG PALING TERUK...

Semasa wawancara secara langsung dalam siaran berita jam 8.00 malam di SURIA, Cik Wati berkongsi bahawa sebab utama yang menyebabkan berlakunya situasi di flat Bedok South itu menjadi tidak terkawal adalah isu pengembirian kucing.

“Terus terang, pemilik kucing-kucing ini tidak kembirikan kucing-kucing itu. Jadi kucing-kucing terus membiak," kata Cik Wati.

Dengan lebih 10 tahun pengalaman menjalankan kerja-kerja menyelamat, Cik Wati memang sudah 'masak' dengan kes-kes seperti itu.

“Ini bukan yang paling teruk, ada lagi yang lebih teruk.

"Saya kira daripada 2017, kita sudah (menyaksikan) lebih 30 kes 'hoarding' (menyimpan terlalu banyak kucing).

"Itu pun (kes) yang sudah dilaporkan. Masih ada yang belum dilaporkan,“ ujar Cik Wati.

(Gambar: Wati Samad)

Walaupun hampir 70 ekor kucing sudahpun terselamat dan berpindah ke tangan orang lain, Cik Wati Samad berkata pertanyaan yang diterimanya semakin berkurangan berhubung bagi baki kucing yang belum diselamatkan. Beliau kini tinggal ada tiga minggu saja untuk menyelamatkan kucing-kucing ini.

(Gambar: Wati Samad)

Dengan masa yang semakin suntuk, harapan Cik Wati hanya satu - mengharapkan pencinta haiwan di luar sana akan membuka hati dan rumah mereka kepada kucing-kucing itu.

Orang ramai yang berminat mengambil kucing-kucing itu boleh menghantar pesanan melalui Facebook Cik Wati di akaun 'WatsIn Sal'.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan