Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 600 kes disyaki penginapan sewa jangka pendek haram disiasat setahun

Sepanjang lima tahun lalu, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menyiasat, secara purata, kira-kira 600 kes disyaki penginapan jangka pendek secara haram setiap tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 600 kes disyaki penginapan sewa jangka pendek haram disiasat setahun

Pemandangan perumahan di Singapura. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 02 Sep 2019 11:45PM Dikemas Kini : 02 Sep 2019 11:47PM

SINGAPURA: Sepanjang lima tahun lalu, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menyiasat, secara purata, kira-kira 600 kes disyaki penginapan jangka pendek secara haram setiap tahun.

Demikian menurut Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Isnin (2 Sep).

Dalam kes-kes yang disiasat, tambah beliau, 10 pesalah berulang sudahpun didakwa di mahkamah manakala lagi 14 orang dikenakan denda komposisi sejak Mei.

Encik Wong memberikan perangkaan tersebut sebagai respons kepada soalan daripada Anggota Parlimen (AP) Joan Pereira yang bertanyakan tentang jumlah pemilik yang sudahpun diberi amaran dan didakwa atas kesalahan menawarkan penginapan sewa jangka pendek selain angka pesalah berulang.

Cik Pereira, yang juga seorang AP Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Tanjong Pagar, juga meminta demografi - usia, kewarganegaraan dan bilangan hartanah yang dimiliki - para pemilik hartanah yang menawarkan sewa jangka pendek tersebut.

Pesalah-pesalah itu meliputi kedua-dua pemilik serta penyewa hartanah, kata Encik Wong, sambil menambah bahawa mereka merangkumi pelbagai golongan usia dan kebanyakan di antara mereka adalah rakyat Singapura.

Meskipun sesetengah pesalah itu bertanggungjawab ke atas jumlah besar senarai sewa jangka pendek itu, URA mendapati mereka biasanya tidak memiliki hartanah-hartanah tersebut. Tetapi sebaliknya, jelas Encin Wong, menyewa daripada para pemilik sebelum menyewakannya secara haram kepada penghuni jangka pendek.

Dalam kes-kes ini, kata Encik Wong, para pemilik hartanah juga "bertanggungjawab terhadap pelanggaran yang berlaku ke atas hartanah mereka".

Denda komposisi sehingga S$5,000 akan dikenakan ke atas pesalah kali pertama yang menyewakan rumah mereka secara suka-suka.

"Bagi pesalah berulang dan mereka yang menjalankan operasi STA (penginapan jangka pendek) secara suka-suka, URA akan mendakwa mereka di mahkamah dan mengenakan denda yang jauh lebih tinggi," kata Encik Wong.

Empat daripada 10 pesalah serius sudahpun didenda antara S$13,000 hingga S$70,000 oleh mahkamah.

Baki enam pesalah lain menghadapi jumlah lebih 80 tuduhan dan kes mereka sedang diteliti oleh mahkamah. Mereka meliputi rakyat tempatan dan orang warga asing dengan permit kerja dan kesemuanya dalam lingkungan usia antara 28 tahun hingga 62 tahun.

Menurut URA, kes paling teruk melibatkan lelaki Singapura berusia 62 tahun yang menghadapi 55 tuduhan berhubung penginapan jangka pendek haram bagi hartanah di, antara lain, kawasan-kawasan Beach Road, Whampoa dan Gopeng Street.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan