Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 400 sukarelawan terima anugerah kerana bantu tahanan penjara dan bekas banduan

Hampir 400 sukarelawan individu dan agensi-agensi khidmat sosial menerima pengiktirafan dari Jabatan Penjara Singapura (SPS) bagi dedikasi mereka kepada pemulihan golongan pesalah dalam penjara dan bekas-bekas banduan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 400 sukarelawan individu dan agensi-agensi khidmat sosial menerima pengiktirafan dari Jabatan Penjara Singapura (SPS) bagi dedikasi mereka kepada pemulihan golongan pesalah dalam penjara dan bekas-bekas banduan.

Anugerah tersebut disampaikan kepada para penerima oleh Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri (MHA), Amrin Amin, dalam satu majlis pada Jumaat (11 Okt).

Acara yang bertempat di Star Vista itu menyaksikan lebih 260 sukarelawan yang menyumbang tenaga antara 3 hingga 5 tahun, manakala 86 diiktiraf kerana menyumbang lebih 10 atau 15 tahun kepada SPS, diberikan anugerah.

45 agensi-agensi khidmat sosial terutama badan Melayu/Islam seperti PERGAS dan PPIS turut diberi penghargaan SPS.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Encik Amrin memuji sokongan rakan kongsi masyarakat yang bekerjasama dengan pihak penjara menerusi penjagaan berterusan.

Ini termasuklah program FITRAH, di mana para sukarelawan menyambut tahanan penjara pada hari mereka dibebaskan demi membantu mereka pulih dan kembali kepada pangkuan masyarakat.

Usaha murni itu adalah kerjasama antara MHA, SPS, MUIS dan masjid-masjid.

SELAMA 15 TAHUN USTAZ ACHIK JADI SUKARELAWAN PENJARA

Jasanya selama 15 tahun sebagai sukarelawan turut diiktiraf apabila Ustaz Achik Ithnin, 70 tahun diberi Anugerah Emas di atas bimbingan agama serta kaunseling yang beliau berikan kepada golongan banduan.

Beliau yang pernah menjadi khatib di penjara Tampines suatu masa dahulu, tidak lokek memberikan kata-kata perangsang bagi golongan yang tersasar.

"Saya beri bimbingan agama Islam. Kemudian saya ajak banduan-banduan itu supaya mereka belajar agama dengan cara yang baik. Maksudnya dia selalu berfikiran positif dan saya galakkan mereka untuk ikut program-program yang ada di penjara," kata Ustaz Achik, yang turut memegang jawatan Kaunselor Agama Kanan di bawah program FITRAH.

Dengan pengiktirafan yang diberikan SPS, ia membakar lagi semangat Ustaz Achik untuk lebih berbakti, bahkan mengalu-alukan sokongan masyarakat.

"Saya harapkan mereka tadi jangan mengulang lagi perbuatan yang salah itu. Jadi rasa insaf dengan apa yang dia buat. Jadi mudah-mudahan kita harapkan tadi dia mendapat bimbingan yang berterusan apabila mereka keluar dari penjara," ujar Ustaz Achik lagi.

SOKONGAN MASYARAKAT SANGAT PENTING KERANA...

Kerjasama yang dijalinkan bersama 2,000 sukarelawan dan 45 pertubuhan rakan kongsi masyarakat, membuka peluang yang luas bagi pihak penjara mengendalikan pelbagai program untuk membantu golongan banduan. Ia termasuk sesi keagamaan, motivasi serta kelas-kelas akademik bagi mereka yang ingin kembali ke sekolah.

Namun, SPS masih mengalu-alukan sokongan padu daripada masyarakat kerana impak yang positif yang boleh dikecapi.

"Kami berseru kepada masyarakat untuk tampil kehadapan untuk menjadi sukarelawan dengan penjara ataupun dengan rakan kongsi kami seperti pejabat FITRAH.

"Terdapat pelbagai sebab mengapa seseorang itu kembali ke penjara. Mengikut kajian, salah satu sebab itu adalah kekurangannya sokongan ‘pro-social’ ataupun pengaruh positif," jelas ASP 2 Muhd Ali Mochtar. Beliau ialah Pegawai Staf, Cawangan Komuniti & Keluarga, Pemulihan dan Pemulihan Semula, di SPS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan