Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 100 orang sahut acara 'gunting rambut amal' untuk mangsa gempa Sulawesi

Sekitar 100 orang menyahut satu acara 'gunting rambut amal' demi membantu mangsa-mangsa gempa bumi Sulawesi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 100 orang menyahut satu acara 'gunting rambut amal' demi membantu mangsa-mangsa gempa bumi Sulawesi.

Dipanggil "Bodeiga Gives Back!", acara amal itu merupakan usaha sama antara kedai gunting rambut Bodeiga Barbershop dengan pertubuhan Forum Belia Islam (MYF) dan Back2Basics.

Setiap bayaran $15 bagi mendapatkan potongan rambut itu didermakan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Palu.

Khidmat menggunting pula dilakukan oleh kedai gunting hipster, Bodeiga Barbershop, dan 100 peratus keuntungannya diberikan kepada amal.

Hasilnya, lebih $1,000 berjaya dikutip dalam masa enam jam sahaja.

Acara yang diadakan pada hujung minggu lalu itu merupakan sebahagian daripada kempen #SaveSulawesi yang berakhir kelmarin (31 Jan).

"Harapan kami di Bodeiga ialah untuk memberi semangat dan memupuk minat untuk belia-belia di Singapura untuk melibatkan diri dengan acara-acara amal. Kita dapat memberi sokongan dan semangat kepada keluarga-keluarga terjejas di Palu, Sulawesi," kata Encik Taufiq Yusof, Pengasas Bersama Bodeiga Barbershop.

Sulawesi digoncang oleh gempa kuat berukuran 7.5 pada skala Richter pada 28 September lalu. Kota Palu dan Donggala di Sulawesi turut dilanda tsunami ekoran gempa tersebut.

Gempa-tsunami itu meragut lebih 2,000 nyawa kesemuanya, selain menimpakan pelbagai kerosakan besar.

"Dana yang telah pun kami kumpul akan kami berikan kepada rakan kerja kami di Palu, di mana dana itu akan membiayai segala kos makan minum mangsa dan juga kos pemindahan rumah sementara, dan juga kos perubatan dan juga pemulihan trauma," kata Cik Nabilah Isaman, ketua kumpulan jagaan belia Forum Belia Islam.

Semasa kempen amal itu, terdapat juga gerai-gerai yang menawarkan khidmat lukisan inai dan menjual beraneka juadah serta barangan daripada perniagaan sosial, Be Kollective.

Yang pasti, melalui usaha sebegini, lebih ramai orang daripada pelbagai lapisan masyarakat diharapkan lebih peka akan nasib para mangsa gempa di Sulawesi.

Sejak dilancarkan tiga bulan lalu, kempen #SaveSulawesi berjaya mengumpul dana sebanyak $10,000 melalui pelbagai acara amal anjuran Back2Basics dan wang tersebut sudahpun diserahkan kepada mangsa bencana menerusi badan kemanusiaan Mercy Relief. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan