Images

Sekatan pelawat diperketat di Hospital Tan Tock Seng setelah jururawat diuji positif COVID-19

SINGAPURA: Sekatan pelawat di Hospital Tan Tock Seng diperketat setelah seorang jururawat diuji positif COVID-19.

Dalam catatan di Facebook pada lewat Rabu (28 Apr), hospital itu menyatakan pihaknya akan mengetatkan dasar lawatan wadnya sehingga pemberitahuan lanjut, dengan hanya dua pelawat yang berdaftar lebih awal dibenarkan sepanjang tempoh seorang pesakit berada di hospital.

Kedua-dua pelawat ini tidak boleh diganti sepanjang tempoh pesakit berada di hospital, menurut Hospital Tan Tock Seng di laman webnya.

Sebelum ini, hospital itu membenarkan dua pelawat pada satu-satu masa selama waktu lawatan, dengan sehingga lapan orang berbeza dibenarkan setiap hari.

"Kami akan memantau keadaan dan mengemas kini dasar kami sewajarnya," kata hospital itu dalam catatan Facebook.

Semua kakitangan di blok wad utama hospital juga akan menjalani ujian swab COVID-19.

Jururawat terbabit, seorang warga Filipina berusia 46 tahun, ialah antara tiga jangkitan masyarakat yang dilaporkan pada Rabu. Beliau ditugaskan di Ward 9D, sebuah wad umum.

Beliau mengalami batuk, sakit tekak dan sengal-sengal badan pada Selasa dan mendapatkan rawatan di hospital. Beliau diuji positif COVID-19 pada hari yang sama dan dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

Jururawat tersebut menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 26 Januari, dan dos kedua pada 18 Februari. Seorang doktor dan tiga pesakit yang dirawat di wad yang sama didapati "positif dalam ujian awal", kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Doktor itu juga telah dimasukkan ke NCID, menurut hospital itu dalam catatan Facebook.

Langkah-langkah segera telah diambil untuk menutup wad itu dan pelawat tidak dibenarkan mengunjungi wad itu sehingga pemberitahuan lanjut, menurut pihak hospital.

"Kontak rapat kakitangan sudah diuji dan diberi cuti ketidakhadiran sementara menunggu siasatan lebih lanjut," tambah TTSH.

Semua pesakit di wad itu akan menjalani ujian swab dan diasingkan.

"Kami seikhlasnya meminta maaf di atas kesulitan yang ditimbulkan oleh langkah-langkah ini tetapi ia perlu untuk mengawal keadaan dan melindungi pesakit dan kakitangan kami," tambah hospital itu.

- CNA/TQ/tq

Top