Images
  • sg covid crowd
    (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Sekatan COVID-19 tidak dilonggarkan buat masa ini di tengah lonjakan kes: Lawrence Wong

SINGAPURA: Sekatan COVID-19 sedia ada tidak akan dilonggarkan buat masa ini sedang pihak berkuasa memantau keadaan di tengah-tengah lonjakan kes tempatan COVID-19, menurut pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 Lawrence Wong pada Jumaat (3 Sep).

"Kami tidak merancang untuk membuat sebarang langkah pembukaan semula yang baru buat ini, kerana masa antara munculnya jangkitan hingga ia menjadi teruk mengambil masa, dan kami mahu memantau keadaan," katanya.

"Selain itu, kami baru-baru ini mengumumkan beberapa langkah baru, sama ada laluan perjalanan bagi penumpang sudah divaksin atau membenarkan pekerja dalam dormitori untuk menyertai masyarakat. Jadi kami mahu membolehkan program ini diteruskan selama beberapa hari dan minggu akan datang sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya."

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jumlah kes tempatan COVID-19 di Singapura yang mencecah 216 pada Jumaat, dan kelompok-kelompok jangkitan besar yang muncul di pusat pertukaran bas dan Bugis Junction.

Pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan Kenneth Mak berkata pada Jumaat bahawa kenaikan kes "bukan sesuatu yang tidak dijangkakan" sedang Singapura menyambung semula lebih banyak kegiatan.

Meskipun demikian, Profesor Madya Mak berkata tidak ada kenaikan ketara dalam jumlah kes yang memerlukan rawatan rapi dan tiada pesakit baru dimasukkan ke unit jagaan rapi sejak 21 Ogos.

Encik Wong berkata langkah sekatan juga tidak perlu diketatkan kerana Singapura kini mempunyai tahap perlindungan vaksin yang tinggi dan sudah mula meneruskan kehidupan dengan pandemik COVID-19.

"Sebelum ini, apabila kita melihat situasi dengan kes harian yang tinggi, kami akan mempertimbangkan langkah-langkah seperti kewaspadaan dipertingkat atau mungkin langkah pemutus jangkitan bagi membendung jangkitan," kata Encik Wong.

"Namun kita kini berada di fasa baru, di mana kita mempunyai tahap perlindungan vaksin yang tinggi untuk melindungi rakyat Singapura dan kita beralih ke fasa meneruskan kehidupan bersama COVID-19 dan berdaya tahan terhadap COVID.

"Oleh itu kami merasakan tidak perlu untuk melaksanakan sekatan lebih ketat. Malah, kami akan hanya beralih ke kedudukan lebih ketat sebagai langkah terakhir bagi mengelakkan sistem hospital daripada dibebani."

Encik Wong berkata pihak berkuasa akan terus menjalankan ujian dan penjejakan konta secara agresif bagi membendung penularan dan mengelakkan lonjakan kes tidak terkawal yang dengan mudah boleh membebankan sistem hospital.

Pemerintah turut sedang mengkaji sama ada untuk menambah lebih banyak pusat ujian pantas di merata Singapura bagi membolehkan orang ramai mengambil ujian dengan lebih mudah, katanya.

Encik Wong berkata langkah pengurusan selamat seperti jarak selamat "sangat berkesan"dalam memperlahankan penularan virus.

"Pegawai penguatkuasaan kami akan terus melakukan rondaan. Mereka memeriksa tempat-tempat yang berlainan dan mereka akan menguatkuasa peraturan secara adil dan tegas," katanya.

"Jika terdapat kesalahan kecil, mereka mungkin akan memberi amaran, mereka mungkin mengenakan denda. Namun jika terdapat kesalahan besar, misalnya beberapa pelanggaran peraturan jarak selamat satu meter di sesebuah tempat tertentu, atau mereka melakukan pemeriksaan dan terdapat percubaan untuk menghalang pegawai penguatkuasaan daripada menjalankan tugas mereka, kesalahan besar sedemikian boleh menyebabkan tempat itu ditutup serta-merta."

Selain daripada bergantung pada langkah-langkah penguatkuasaan, Encik Wong menyeru orang ramai supaya mengamalkan tanggungjawab sosial dan mematuhi peraturan.

"Jadi dengan ujian kerap dan langkah pengurusan selamat yang berkesan, kami dapat memastikan keadaan terkawal dan meneruskan perjalanan ke arah pembukaan semula dengan selamat," katanya.

- CNA/HA/ha

Top