Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekatan COVID-19 di tempat kerja dilonggarkan, pekerja mula kembali ke pejabat

Dengan keadaan COVID-19 di Singapura bertambah stabil dan kadar vaksinasi meningkat, syarikat-syarikat di sini bersiap sedia untuk menyambut pekerja mereka kembali ke pejabat dengan ada juga yang akan meneruskan aturan bekerja fleksibel.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan keadaan COVID-19 di Singapura bertambah stabil dan kadar vaksinasi meningkat, syarikat-syarikat di sini bersiap sedia untuk menyambut pekerja mereka kembali ke pejabat dengan ada juga yang akan meneruskan aturan bekerja fleksibel.

Mulai Khamis (19 Ogos), sehingga 50 peratus pekerja dibenarkan kembali ke tempat kerja, seperti yang diumumkan pihak berkuasa sebelum ini.

Meskipun beberapa langkah pengurusan selamat dilonggarkan mulai September tahun lalu - termasuk membenarkan sebahagian pekerja kembali ke pejabat - Singapura kembali melaksanakan aturan bekerja dari rumah sejak Mei lalu apabila kes COVID-19 yang meningkat menyebabkan langkah sekatan lebih ketat dilaksanakan.

Menjelang Khamis, tempat-tempat kerja akan dibuka semula secara bertahap-tahap. Sejumlah syarikat pula memberitahu Mediacorp bahawa mereka akan melakukan penyesuaian terhadap aturan bekerja hibrid.

Misalnya, pekerja StarHub yang bekerja dari rumah akan melaporkan diri di pejabat dua kali seminggu, dengan bekerja tiga hari di rumah.

"Kami percaya aturan bekerja hibrid ini adalah huraian terbaik di masa depan kerana ia menawarkan pekerja kami keseimbangan yang baik dari segi fleksibiliti, kerjasama dan interaksi secara bertemu muka dan perlindungan jarak selamat yang sesuai," menurut seorang jurucakap.

Pejabat Singapura bagi syarikat berbilang negara NEC dari Jepun menyatakan buat masa ini, 80 peratus daripada 700 pekerjanya bekerja dari rumah.

Mulai 19 Ogos, syarikat itu akan mengamalkan aturan bekerja hibrid supaya 50 peratus pekerjanya boleh kembali ke pejabat, di samping memberikan pilihan kepada unit perniagaan masing-masing untuk memutuskan bagaimana untuk melaksanakan aturan itu.

KEMBALI BERANSUR-ANSUR KE PEJABAT

Namun, tidak semua syarikat yang merancang untuk segera meminta pekerja mereka kembali ke pejabat.

Mastercard menyatakan kakitangannya boleh kembali ke pejabat jika mereka mahu, mulai 23 Ogos. Mereka boleh mendaftarkan hari yang mereka ingin pulang ke pejabat melalui sebuah wadah online, yang akan membataskan kakitangan lain daripada kembali ke pejabat apabila kuota harian dipenuhi.

"Beberapa pejabat kami di negara-negara lain, bergantung pada pelonggaran langkah-langkah keselamatan, sudah pun beralih ke aturan bekerja hibrid di mana pekerja kembali ke pejabat, dua atau tiga hari seminggu.

"Kami rancang pendekatan serupa bagi pejabat di Singapura dengan keadaan beransur pulih," kata Encik Shafi Shaikh, naib presiden eksekutif bagi khidmat pelanggan, bahagian Asia Pasifik, Mastercard.

Agensi PR Golin pula mengambil pendekatan beransur-ansur. Pekerja boleh memilih sehingga hujung tahun ini sama ada untuk terus bekerja dari rumah atau kembali ke pejabat.

"Saya rasa ia memberi kami masa untuk merancang untuk tahun baru dan bagaimana untuk mengendalikan pejabat ini pada masa depan," kata Encik Darren Burns, presiden Golin bagi Asia Pasifik.

"Saya rasa pekerja sudah terbiasa dengan kebebasan dalam aturan bekerja sekarang, iaitu sesuatu yang baik. Jadi kami mula memikirkan tentang apakah keadaan di tempat kerja pada masa akan datang."

MODEL KERJA HIBRID

Encik Burns berkata "sentuhan manusia" tetap pilihan lebih baik untuk pekerja baru, mesyuarat fizikal juga lebih baik untuk menggalakkan kerjasama. Justeru, aturan bekerja yang fleksibel, hibrid adalah ideal.

"Saya rasa ramai orang mempunyai keperluan sosial, terutama sekali bagi golongan muda di dalam pejabat kami. Mereka benar-benar ingin berada di pejabat setiap hari atau beberapa kali dalam seminggu untuk berjumpa dengan teman untuk bertanya khabar, makan tengah hari bersama-sama, emuanya tidak boleh dilakukan jika anda bekerja dari rumah," katanya.

TIADA KEPERLUAN UNTUK DIVAKSIN

Satu kajian yang dijalankan Mac lalu oleh syarikat perundingan sumber manusia Randstad mendapati bahawa tujuh daripada 10 responden di Singapura mahu kembali ke tempat kerja dalam sekitaran pasca COVID-19.

Hasil kajian itu mencerminkan dapatan tinjauan lain yang dijalankan pada tahun lalu.

Tinjauan terkini yang dijalankan bulan ini oleh anggota EGN, sebuah rangkaian karyawan dan pemimpin perniagaan, mendapati dalam kalangan pekerja dalam bidang pengetahuan, 35.5 peratus akan kembali ke tempat kerja selepas 18 Ogos sementara 22.5 peratus tidak akan berbuat demikian.

Lagi 28.3 peratus pula mengatakan bahawa mereka tidak pasti dan menjawab "mungkin".

Tinjauan itu yang dijalankan terhadap sekitar 140 responden, tertumpu terhadap pekerja bidang itu kerana mereka merupakan kumpulan utama yang boleh bekerja dari rumah.

Tinjauan itu juga mendapati sejumlah kecil responden (8 peratus) mempunyai majikan yang menetapkan kakitangannya sudah menjalani vaksinasi sebelum dapat kembali ke pejabat. Kebanyakannya (83.3 peratus), bagaimanapun, tidak mempunyai keperluan sedemikian.

Semua syarikat yang dihubungi Mediacorp tidak menetapkan keperluan bagi pekerja mereka divaksinasi sebelum boleh kembali ke pejabat. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan