Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sejarah warisan, memori sosial 'Urang Banjar' Singapura dipamerkan di Taman Warisan Melayu mulai 28 Nov

Tahukah anda, masyarakat Melayu Singapura pernah mempunyai sekumpulan pedagang dan pakar pencanai intan berlian, sehingga wujud sebuah tempat dipanggil Kampong Intan di kawasan Kampong Gelam?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahukah anda, masyarakat Melayu Singapura pernah mempunyai sekumpulan pedagang dan pakar pencanai intan berlian, sehingga wujud sebuah tempat dipanggil Kampong Intan di kawasan Kampong Gelam?

Kepakaran tersebut ternyata dimonopoli oleh orang Banjar yang berasal dari Selatan Kalimantan, Indonesia.

Sejarah menarik itu dan banyak lagi warisan serta memori sosial masyarakat Banjar Singapura akan diungkap dalam satu pameran terbaru yang dilancarkan pada Jumaat (27 Nov) oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Edwin Tong. Pameran itu diadakan sempena acara tahunan Pesta Kebudayaan Melayu di Taman Warisan Melayu (MHC).

KAMPONG GELAM SEBAGAI HAB DAGANGAN BERLIAN

Antara khazanah yang dapat anda lihat lebih dekat menerusi pameran 'Urang Banjar' MHC itu adalah alat penimbang dan batang pengukur yang pernah digunakan dalam pembuatan perhiasan intan berlian suatu masa dahulu.

Barangan antik ini milik keluarga pasangan adik beradik Cik Fauziah Jamal, 64 tahun dan Cik Faridah Jamal, 58 tahun. Mereka adalah anak kepada tokoh berlian berketurunan Banjar yang tersohor di Singapura, Allahyarham Haji Ahmad Jamal Haji Mohd Hassan.

Antara barangan berharga yang dipinjamkan kepada pameran ini adalah set perhiasan kerongsang dan cucuk sanggul yang diwarisi pasangan adik beradik ini sejak turun temurun.

Bagi Cik Fauziah, anak sulung empat beradik, barangan-barangan lama ini cukup mengembalikan nostalgia buat dirinya.

"Setiap kali saya lihat cucuk sanggul ini masih ingat kalau arwah nenek saya gunakan semasa dia pergi ke jemputan majlis perkahwinan. Perdagangan bapa saya itu saya masih teringat-ingat apa yang dia buat semasa saya kecil melihat dia menimbang berlian," kata Cik Fauziah, seorang penterjemah bebas Bahasa Asing.

(Cik Fauziah Jamal (kiri), Cik Faridah Jamal (kanak))

Adiknya, Cik Faridah pula menambah: "Berlian dan intan adalah keistimewaan masyarakat dan terutama sekali keluarga kami. Kebanyakan dari paman-paman atau bapa saudara kami adalah pedagang atau pencanai berlian ataupun mereka mungkin pereka macam arwah bapa saya."

Walaupun etnik Banjar antara yang terkecil di masyarakat Melayu Singapura, ia kaya dengan sejarah, bahasa dan budaya.

PELBAGAI USAHA UNTUK HIDUPKAN MASYARAKAT BANJAR SINGAPURA

Bagi memastikan warisan ini tidak hilang ditelan zaman guru pesara, Cikgu Abdul Latiff Omar, 74 tahun, merupakan antara anak Banjar yang giat memperjuangkan budayanya.

Selain meminjamkan koleksi barangan dan gambar lama keluarganya yang berusia hampir seabad, salasilah keluarganya melakarkan keturunan keluarganya yang masyhur.

"Moyang saya Haji Usman bin Haji Abu Naim adalah seorang peniaga dan pedagang intan berlian. Sebelum dia meninggal pada tahun 1905, orang sudah beri dia gelaran ‘Orang Kaya’ sebab dia beli rumah jual rumah sampai 102 rumah dan rumah kedai!" kongsi Cikgu Latiff yang mengetuai salah sebuah kumpulan bagi masyarakat Banjar di Singapura.

Antara inisiatif-inisiatif lain yang diusahakan Cikgu Latiff untuk melestarikan masyarakat Banjar adalah menerusi kelas-kelas Bahasa Banjar dan penghasilan barangan-barangan seperti kemeja-T dan dekal kereta. Ini semua antara usahanya bagi mendekati masyarakat Banjar, khususnya golongan muda.

(Cikgu Abdul Latiff Omar)

Seperti kata Cikgu Latiff, "Kalau tak orang Banjar mempromosikan orang Banjar, siapa lagi nak mempromosi?"

Menceritakan lebih lanjut mengenai dekal kereta yang beliau hasilkan, ada tersemat hasrat dan matlamat tertentu, kata beliau.

"Decal untuk kereta - ‘Ulun kulaan Banjar’. Jadi siapa yang Banjar boleh beli daripada saya, jadi lekatkan di kereta. Ini kenapa?

"Sebab ini berguna kalau kita pergi seberang tambak. Kalau terjadi ada apa-apakah yang terjadi pada kereta kita ke apa, dia tengok ‘oh ini orang Banjar. Yuk, mari kita tolong.’ Sebab semangat orang Banjar, keakrabannya kuat," ujar Cikgu Latiff lagi.

Kesetiaan dalam memartabatkan budaya Banjar turut didukung Cik Faridah juga.

Pengarah Muzik Angklung dan mengajar di sekolah-sekolah itu turut mengambil kesempatan mendedahkan anak muda kepada lagu-lagu Banjar seperti lagu rakyat 'Ampar-Ampar Pisang'.

"Orang Melayu muda tak kenal langsung ‘apa itu Banjar?’ Jadi bila kita sebut ‘oh makanlah lepat Banjar’? ‘Huh apa itu?’ Barulah dapat tahu dari situ kami berharap supaya pameran ini dapat mendekatkan kami kepada keluarga kami, orang Melayu di Singapura dan diaspora orang Banjar di seluruh benua," hujah Cik Faridah.

PENGALAMAN INTERAKTIF UNTUK PELAJARI SEJARAH

Daripada sekitar 80 artifak yang dipamerkan di dua galeri pameran Urang Banjar itu, antara barangan paling lama adalah sebuah peta berusia lebih 400 tahun! Peta yang diasaskan oleh seorang pelayar Belanda itu meletakkan kepulauan Banjarmasin di atasnya.

Menurut Kurator Pameran, Cik Suhaili Osman, meskipun proses untuk menjejak dan mengumpulkan artifak-artifak agak mencabar dek pandemik COVID-19, ia memberi pasukannya untuk menggunakan cara-cara kreatif.

"Pasukan saya harus mula-mula sekali menjalinkan hubungan yang mesra, yang rapat kerana kita juga diberi satu amanah. Bukan sahaja untuk menjaga kepunyaan keluarga ini yang sudah berpuluh-puluh tahun dengan keluarga itu, tapi juga untuk memaparkan dengan hormat dan dengan betul juga.

"Kita sangat berbesar hati bahawa masyarakat ini sudi juga walaupun dengan semua kesusahan, kepayahan mencari dalam almari lama, telefon orang-orang lain dengan saudara mara untuk yalah memberi kita peluang untuk kedepankan mengutarakan cerita-cerita mereka," kongsi Cik Suhaili.

Bagi edisi kelima siri 'Se-Nusantara' MHC ini, ia menerapkan beberapa elemen baru bagi menarik minat pengunjung.

"Kelainan untuk pameran kali ini kita akan mengetengahkan juga pengalaman realiti tambahan (AR) di dalam galeri juga. Jadi pengunjung dapat menggunakan telefon bijak mereka dan memetik di antara artifak-artifak yang dipamerkan untuk dapat mengalami dengan lebih mendalam secara digital." jelas Cik Suhaili.

Pameran 'Urang Banjar' dibuka kepada orang ramai mulai Sabtu ini (28 Nov) dan berlangsung selama lapan bulan.

Orang ramai juga diajak mengambil bahagian dalam acara-acara online edisi Pesta Budaya Melayu tahun ini di go.gov.sg/mcf2020

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan