Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sejarah S'pura kepentingan dan keprihatinan kita bersama, kata Desmond Lee & Janil Puthucheary

Sejarah Singapura adalah perkara yang patut menjadi keprihatinan semua rakyat Singapura dan bukan setakat dibincangkan oleh para ahli sejarah. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sejarah S'pura kepentingan dan keprihatinan kita bersama, kata Desmond Lee & Janil Puthucheary

Gambar fail Dr Janil Puthucheary semasa perbicaraan Jawatankuasa Pilihan.

Diterbitkan : 11 Apr 2018 11:42AM Dikemas Kini : 11 Apr 2018 11:46AM

SINGAPURA: Sejarah Singapura adalah perkara yang patut menjadi keprihatinan semua rakyat Singapura dan bukan setakat dibincangkan oleh para ahli sejarah. Demikian menurut Encik Desmond Lee dan Dr Janil Puthucheary semalam (10 Apr) sebagai respons terhadap rencana dalam akhbar Straits Times oleh penyunting Han Fook Kwang minggu lalu.

Dalam respons yang diterbitkan dengan tajuk "History is not the preserve of historians", kedua-dua pemimpin itu mempertikaikan hujah Encik Han yang menyarankan agar "ahli politik tidak harus memainkan peranan untuk memberi tafsiran sejarah dan sejarah seharusnya menjadi bahan kajian ahli sejarah".

Encik Han berpendapat bahawa pandangan ahli politik sering terpengaruh dengan agenda politik masing-masing. Dalam pada itu, masyarakat boleh bergantung kepada ahli sejarah untuk membentangkan "kebenaran" mengenai sejarah kerana mereka menilai sejarah secara objektif.

"Ini tidak tepat," kata Encik Lee, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, dan Dr Puthucheary, Menteri Negara Kanan Pendidikan merangkap Perhubungan dan Penerangan.

Kedua-dua ahli politik menambah bahawa Encik Han "tidak mengendahkan fakta" bahawa sesetengah ahli sejarah, termasuk Dr Thum Ping Tjin yang baru-baru ini bertikam lidah dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam tentang peristiwa sejarah seperti Operation Coldstore, "juga mempunyai agenda politik tersendiri".

Mereka berkata bahawa Dr Thum merupakan seorang "aktivis dan sarjana", yang memilih untuk "tidak hanya menjalankan kajian sejarah" tetapi juga melakukan "pembentangan di Parlimen yang menuduh Parlimen Singapura dan mendiang Encik Lee Kuan Yew sebagai sumber terbesar maklumat palsu selama lebih 60 tahun".

"Apakah kita perlu berdiam diri dan menerima pandangan ini kerana beliau seorang ahli sejarah, yang tahu tentang 'kebenaran' dan kenyataan kami pula sebagai ahli politik hanya pendapat dan pandangan kami semata-mata?" tanya Encik Lee dan Dr Puthucheary. Mereka juga menarik perhatian kepada pengakuan Dr Thum bahawa beberapa bahagian dalam "kertas kajiannya (tentang Operation Coldstore) mengelirukan".

"Sejarah Singapura relevan dalam kehidupan semua rakyat Singapura kerana ia sebahagian daripada kisah kami - rakyat, wartawan, ahli politik dan ahli sejarah," kata mereka seperti yang ditukil daripada respons bertulis mereka. "Kami tidak boleh hanya menghargai kerja para ahli sejarah, kisah Singapura tidak hanya tanggungjawab dan milik mereka."

Mereka juga mencabar kenyataan Encik Han tentang "kebenaran bukan keutamaan dalam politik, dan kita harus lebih menitikberatkan pendapat berbanding fakta dalam politik, dan ahli politik tidak seharusnya menumpukan perhatian kepada fakta-fakta kerana motif mereka akan selalu dipersoalkan".

"Kami harus tegaskan: Apabila satu pihak memutarbelitkan fakta, para pemimpin politik yang gagal untuk mendedahkan kesalahan mereka, tidak layak menjadi pemimpin, tidak kira apa saja generasi mereka," tegas mereka.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan