Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sejarah Pulau Penyengat boleh dijadikan iktibar; S’pura tetap istimewa di hati orang Riau

Jika hendak mengenal orang berbangsa, Lihatlah kepada budi dan bahasa. Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, Sangat memeliharakan yang sia-sia.

Anggaran Waktu Membaca:
Sejarah Pulau Penyengat boleh dijadikan iktibar; S’pura tetap istimewa di hati orang Riau

Masjid Sultan Riau. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp:

Jika hendak mengenal orang berbangsa,
Lihatlah kepada budi dan bahasa.
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
Sangat memeliharakan yang sia-sia.

Demikian bunyi dua bait pertama yang terkandung dalam fasal kelima Gurindam XII, khazanah warisan kesusasteraan Melayu yang ditulis oleh Raja Ali Haji.

Walau hampir 200 tahun sudah berlalu, karya penuh nasihat itu masih dikaji dan pujangga di sebalik gubahan berkenaan terus disanjung di seluruh Nusantara, terutamanya di Pulau Penyengat.

“Raja Ali Haji adalah seorang tokoh yang penting, yang terkemuka kerana beliau adalah seorang pengarang, ulama dan juga seorang budayawan, banyak menghasilkan karya,” ujar Pengelola Yayasan Kebudayaan Indera Sakti Pulau Penyengat Raja Malik Hafrizal.

Sejak ditubuhkan pada 1982 oleh bapanya, yayasan yang diamanahkan kepada Raja Malik itu kini menyimpan lebih 300 manuskrip. Menurut beliau, pusaka peninggalan zaman lalu itu adalah antara bukti bahawa pulau tersebut pernah berkembang pesat sebagai sebuah hab intelektual suatu ketika dahulu.

“Pulau Penyengat bak taman bagi para penulis Melayu. Jadi, di sini, menulis, menghasilkan karya menjadi kegemaran orang-orang penduduk di pulau ini pada masa lalu. Tidak hanya bangsawan menulis, tapi orang biasa pun menulis,” kongsi jejaka yang berusia 45 tahun itu.

Antara koleksi manuskrip yang terdapat di Pulau Penyengat. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Tambahnya lagi, kegiatan intelektual dipacu oleh status Pulau Penyengat sebagai salah sebuah pusat kerajaan Riau-Lingga pada awal abad ke-19. Bahkan, Raja Ali Haji sendiri adalah daripada keturunan keluarga Yang Dipertuan Muda (YDM).

Menurut Raja Malik, YDM mendapat “tempat istimewa” dalam era pemerintahan kerajaan tersebut, di samping golongan yang digelar Yang Dipertuan Besar.

“Ada dua jabatan penting. Ada Jabatan Yang Dipertuan Besar (YDB) yang dijabat oleh orang-orang Melayu (keluarga Sultan) dan ada Jabatan Yang Dipertuan Muda atau Raja Muda yang dijabat pihak-pihak Bugis. Dan ia turun-temurun kepada anak cucunya. Ia semacam perjanjian, terjadinya sumpah setia antara Melayu dengan Bugis,” jelas beliau.

KALAU TIADA SULTAN, TIADALAH KERAJAAN

Namun, lumrah sejarah, termasuk di Pulau Penyengat, ia terbuka kepada perbincangan dan perbahasan dengan pelbagai pihak yang mengajukan perspektif dan pandangan berbeza.

Jika di satu sisi, Raja Malik memberi gambaran bahawa orang Bugis dan Melayu sama-sama mengongsi takhta, seorang individu dari keturunan YDB yang ditemui BERITAmediacorp di pulau tersebut pula mengemukakan pendapat berlainan.

“Kalau tiada Sultan, tiada kerajaan!” tegas Tengku Fahmi Muhd Yusuf, keturunan Sultan Abdurrahman Muazzam Syah II iaitu Sultan terakhir yang mentadbir Pulau Penyengat sebelum dimakzulkan oleh Belanda pada 1911.

Tengku Fahmi Muhd Yusuf keturunan Sultan Abdurrahman Muazzam Syah II. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

“Mesti dijernihkan lagi sejarah. Terutamanya, mengenai Sultan Abdurrahman Muazzam Syah II. Sebab yang tertulis dalam kepulauan ini, yang ditulis dalam buku, khususnya kitab Tuhfat Al Nafis, bahan teks utama yang dianggap paling sah, penulisnya, Raja Ali Haji meninggal dunia pada 1827 manakala Sultan Abdurrahman Muazzam Syah II pula dilantik pada 1885.

“Maka itu, masa Sultan Abdurrahman Muazzam Syah II memerintah, Raja Ali Haji sudah meninggal dunia, jadi sejarahnya tidak banyak ditulis. Yang menulis (sejarahnya selepas itu) mungkin boleh didapati dalam buku-buku harian, bukan sumber-sumber yang diangkat,” kata beliau.

Salah satu manuskrip yang dikaji Raja Malik. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Selepas lebih 20 tahun menyara hidup di tengah-tengah kesibukan dan hiruk-pikuk bandar Jakarta, Tengku Fahmi, 49 tahun terpanggil untuk pulang ke Pulau Penyengat, tanah tumpah darah beliau di mana persekitarannya yang nyaman ternyata jauh berbeza.

Pakar animasi itu meninggalkan harta dan kerjaya yang sudah bertahun-tahun lama dibina demi memikul tanggungjawab yang dilihat lebih penting iaitu menegakkan sejarah leluhurnya di pulau itu.

“Bila saya balik ke sini, sudah macam hilang sejarah (keluarga) saya. Hanya disebut-sebut saja. Jadi, kita sebagai keluarga (Sultan), wajib kita mengangkat kembali sejarah kita,” luah beliau yang turut ditemani oleh abangnya Tengku Fuad Tengku Muhd Yusuf dalam wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp.

Kini, penggiat sejarah tersebut hidup dalam keadaan serba sederhana di sebuah pondok kecil dalam pekarangan bangunan yang dipercayai adalah bekas tempat beradu Raja Halimah atau dikenali juga sebagai Tengku Bilik.

Menurut Tengku Fahmi, Tengku Bilik adalah adik Sultan Riau-Lingga yang terakhir, Sultan Abdurrahman Muazzam Syah II. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Tengku Sayyid Abdul Kadir Sayyid Syeikh al-Qudsi dan dikurniakan enam orang anak. Salah seorang daripada mereka ialah datuk Tengku Fahmi yang digelar sebagai Tengku Kechik Syed Abdul Kadir al-Qudsi.

“Sebenarnya, saya sedih juga. Keluarga Sultan ini agak kurang diperhatikan. Sebab mungkin banyak orang tidak tahu,” rintih Tengku Fahmi.

SINGAPURA ISTIMEWA DALAM HATI ORANG RIAU

Meski memperjuangkan versi sejarah masing-masing, antara persamaan dalam pengamatan kedua-duanya - Raja Malik dan Tengku Fahmi - adalah bahawa sejarah Singapura berkait rapat dengan Pulau Penyengat, serta kepulauan Riau secara amnya.

Hakikatnya, Singapura adalah salah satu pusat pentadbiran kerajaan Riau-Lingga-Johor-Pahang sehinggalah ke awal abad ke-19. Namun, disebabkan percaturan politik penjajah, perjanjian London pada 1824 meletakkan Riau-Lingga di bawah kuasa Belanda, manakala Johor-Pahang, termasuk Singapura pula di bawah pengaruh British.

“Kita dibatasi oleh satu negara yang berbeza dengan satu negara yang berbeza, antara Singapura dengan Indonesia. Tetapi bagaimana kita ini memutuskan tali persaudaraan, tali darah sedangkan saya berada di sini, ada saya punya saudara, sepupu dan abang saya yang warganegara Singapura dan warganegara dari Malaysia? Hubungan-hubungan seperti itu yang kemudian kalau kita pelajari lagi sejarah itu, kita pelajari lagi silsilahnya adalah dari silsilah yang sama. Silsilah yang sama, budaya yang sama, asal usul yang sama,” kata Raja Malik.

Seperti beliau, Tengku Fahmi juga mendapati bahawa terdapat jalinan persaudaraan antara kedua-kedua kawasan tersebut bahkan pada hari-hari terakhir kerajaan Riau-Lingga, sesetengah penduduk di Pulau Penyengat memilih untuk ke Singapura.

“Dulunya Pulau Penyengat ini, penduduknya 5,000. Setelah Sultan tinggalkan, diikuti pengikutnya juga, tinggallah 500 penduduk. Bererti 4,500 penduduk keluar dari Penyengat, tinggalkan Penyengat, ikut sama Sultan. Ada yang ke Johor, ada yang ke Terengganu dan ada pula yang ke Singapura,” dedah beliau.

Malah, pusat intelektual juga beralih ke Singapura disebabkan ramai cendekiawan turut berpindah setelah Belanda menakluki tanah Melayu itu.

“Saya fikir Singapura adalah tempat yang merupakan istimewa di hati orang-orang Melayu. Kemudian juga, ketika orang-orang Riau menulis, menghasilkan karya di Pulau Penyengat, ketika masalah politik yang tidak menentu, perlawanan terhadap penjajah dan ketika Riau tidak lagi menjadi tempat yang baik untuk menulis. Maka, para intelektual, para penulis mula mencari satu laman baru, satu tempat baru untuk menajamkan mata penanya. Maka, pilihannya adalah Singapura,” tambah Raja Malik.

TERUS GALI SEJARAH

Sehingga ke hari ini, masih lagi terdapat orang Melayu Singapura yang mengunjungi Pulau Penyengat dan pulau-pulau lain di Riau untuk berjumpa sanak saudara di sana.

Bagaimanapun, Tengku Fahmi berharap lebih ramai orang Melayu Singapura akan mengambil masa untuk mengenali asal usul mereka, lebih-lebih lagi sempena Dwiabad Singapura tahun ini.

“Harapan saya sebenarnya bagi keluarga-keluarga kita di Singapura itu yang orang Melayu, mungkin gali lagi sejarah. Sebab daripada sejarah ini baru kita tahu jati diri kita. Kalau kita tidak tahu sejarah, tidak tahu asal usul kita dari mana. Mungkin dengan kita pelajari sejarah, kita mengkaji sejarah, kita dapat tahu aku ini dari mana. Jadi dari situ, sebenarnya pengaruh besar kepada hidup kita,” kata Tengku Fahmi yang turut berkongsi bahawa disebabkan penghijrahan besar-besaran dari Pulau Penyengat beberapa dekad yang lalu itu, bapanya dilahirkan di Geylang Serai manakala ibunya pula dari Jakarta.

Menurut Raja Malik pula, nilai persaudaraan yang dapat dikukuhkan lagi dengan pengetahuan sejarah yang lebih mendalam boleh membantu mengelak daripada pisang berbuah dua kali.

“Raffles mulai menanam kuasanya ketika dia datang situ (ke Singapura), bekerjasama dengan orang-orang yang dulunya adalah bangsawan-bangsawan dari kerajaan Riau-Lingga. Kita tahu di antaranya, Temenggong Ibrahim dan juga Tengku Long Hussein. Tengku Long Hussein adalah bangsawan kerajaan Riau-Lingga yang gagal untuk naik takhta – adiknya (sebaliknya) menjadi Sultan.

“Begitulah kemudian Raffles memainkan peranannya yang begitu luar biasa. Kita ketahui bahawa orang-orang Eropah menanamkan kuasanya di tempat kita ini, dekat kawasan Selat Melaka ini. Dari peristiwa itu, kita mesti mengambil iktibar bahawa persatuan, kerjasama dan siratulrahim (antara kita) harus dijalin kuat. Persaudaraan harus dikuatkan lagi kerana kalau perselisihan-persilisihan terjadi, maka itu akan mudah untuk memecah belah kita!” tegur Raja Malik.  

Sumber : BERITA Mediacorp/SM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan