Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sejarah Melayu edisi Munshi Abdullah berusia sekitar 180 tahun kini 'pulang' ke S'pura

Bagaikan sirih pulang ke gagang, naskhah buku Sejarah Melayu edisi Munshi Abdullah kini kembali ke tempat asalnya - Singapura - setelah berabad lamanya bermastautin di United Kingdom.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagaikan sirih pulang ke gagang, naskhah buku Sejarah Melayu edisi Munshi Abdullah kini kembali ke tempat asalnya - Singapura - setelah berabad lamanya bermastautin di United Kingdom.

Dicetak sekitar 180 tahun lalu oleh syarikat percetakan Singapura bernama Mission Press (kini Raffles Institution), bapa kepada kesusasteraan Melayu moden Munshi Abdullah merupakan orang pertama menyunting dan mencetak buku itu pada zaman tersebut.

Difahamkan setakat ini naskhah tersebut yang ditempatkan di Perpustakaan Negara itu adalah satu dari hanya empat seumpamanya, yang diketahui masih wujud hari ini.

Dua daripadanya berada di Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat, manakala baki dua lagi terletak di Malaysia dan Indonesia.

Buku setebal 374 muka surat itu merupakan sebahagian daripada pameran Chetakan Pertama: Ceritera dan Lagenda Awal Singapura.

PERI PENTINGNYA SEJARAH MELAYU KEPADA ORANG MELAYU

Mungkin ramai yang hanya mengenali Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin sebagai sebuah buku yang mengisahkan ketatanegaraan Melayu, selain mengandungi kisah penemuan kota Singapura oleh Sang Nila Utama pada 1299.

Namun di sebalik cerita dan kisah tersebut buku asal manuskrip tersebut sebenarnya turut mengisahkan pelbagai cerita dan kisah masyarakat Melayu lain antaranya tentang kisah Badang dan serangan Singapura dilanggar todak.

Tujuan utama Munshi Abdullah mencetak buku tersebut adalah untuk menjadikannya sebagai bahan bacaan utama masyarakat umum dari segi bahasa serta nilai yang terkandung di dalamnya. Contohnya nilai-nilai universal yang mendukung tema keadilan.

Menurut rakaman sejarah, sarjana Melayu itu difahamkan menyusun serta menyunting enam manuskrip dalam usaha membukukan Sejarah Melayu edisi beliau.

Ini dilakukannya selepas diarah oleh seorang sarjana Amerika Syarikat bernama Afred North.

SEJARAH MELAYU & KUASA BERBEZA

Meskipun ditulis pertama kalinya pada 1612 oleh Tun Sri Lanang, Sejarah Melayu merupakan sebuah teks yang sangat berpengaruh, malah dijadikan sebagai 'alat' oleh kuasa dan pemerintahan berbeza sepanjang sejarah Dunia Melayu.

Contohnya, Sejarah Melayu yang diterjemah oleh William Shallebear mengandungi unsur orientalis dijadikan rujukan utama memahami masyarakat Melayu pada zaman kolonial.

Lebih menarik lagi, edisi rumi sejarah Melayu edisi Shellebear itu dicetak semula berulang kali dan digunakan di sekolah-sekolah Melayu di serata negeri Selat.

Selain mempamerkan versi Shellabear itu, pameran yang diterajui oleh pustakawan bersekutu Cik Nadirah Norruddin itu juga mempamerkan versi Sejarah Melayu yang lain bagi menunjukkan kemasyhuran salah satu teks tertua di alam Melayu.

"Kami juga mempamerkan beberapa edisi terjemahan kepada Sejarah Melayu untuk menunjukkan berapa popularnya Sejarah Melayu ini bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tetapi juga di medan kesusasteraan internasional juga.

"Kami juga mempunyai edisi dalam bahasa Mandarin dan juga bahasa Jepun yang telah dicetak pada abad ke-20 dan 21," tambah Cik Nadirah.

Pameran Chetakan Pertama: Ceritera dan Lagenda Awal Singapura yang berlangsung di Perpustakaan Negara, berlangsung sehingga 24 Mac ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan