Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sejarah Geylang Serai dan kaitannya dengan kaum Melayu S'pura

Tahukah anda bagaimana Geylang Serai mendapat namanya dan mengapa ia tempat yang begitu dikait rapat dengan kaum Melayu Singapura?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahukah anda bagaimana Geylang Serai mendapat namanya dan mengapa ia tempat yang begitu dikait rapat dengan kaum Melayu Singapura?

Semua jawapannya akan disorot dalam sebuah galeri warisan masyarakat terbaru oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) yang bertempat di Wisma Geylang Serai.

GEYLANG SERAI DAHULU SEBUAH TAPAK PERTANIAN

Selumbat milik Encik Arif. (Gambar: NHB)

Jika anda kurang tahu, ini selumbat namanya - sejenis peralatan yang biasa digunakan zaman dahulu untuk mengupas sabut kelapa daripada tempurungnya.

Kesemua alat-alat pertanian ini dimiliki Encik Arif Zahari, seorang penduduk warga emas di Eunos Crescent, dan beliau meminjamkannya kepada Galeri Warisan Geylang Serai.

Pengalaman Encik Arif membesar di kawasan Geylang Serai dikongsikan dalam bentuk artifak-artifak tersebut buat tatapan dan fahaman ramai mengenai warisan lama kawasan tersebut.

Mentelah lagi, ia sesuai dengan sejarah Geylang Serai yang pernah menjadi sebuah tapak perusahaan pertanian antara tahun 1830-an hingga awal 1900.

"Itu ada yang turun-temurun, ada yang saya beli dan kemudian ada juga yang saya kutip. Saya fikir biarlah ramai orang dapat melihat kerana ramai orang yang mungkin tak tahu. Dia nampak benda itu, tahu, tetapi untuk apa dia tak tahu," kata Encik Arif.

HOBI KUMPUL BARANG-BARANG LAMA DIKONGSI BUAT PENGAJARAN

Encik Arif Zahari. 

Sebenarnya, semua artifak yang Encik Arif pinjamkan kepada galeri tersebut hanyalah sebahagian daripada 'khazanah' beliau yang dipamerkan di Koleksi Muzium Balai Rakyat Kampong Ubi kendalian Persatuan Rakyat.

Namun, kalau hendak diikutkan, ada banyak lagi peralatan dan barangan tradisional nan 'usang' seperti batu giling dan ketipung yang beliau simpan di rumahnya.

Menurut Encik Arif, kadang-kala beliau rajin menukar artifak-artifak di muzium tersebut agar khazanah yang dimilikinya mendapat giliran untuk ditonjolkan kepada khalayak ramai.

"Tujuannya adalah untuk memberikan pelajaran, pengetahuan kepada anak-anak di luar selain daripada anak-anak saya sendiri dan cucu-cucu saya sendiri. Kita dapat tunjukkan yang benda-benda ini masih ada lagi tetapi tidak digunakan," menurut Encik Arif.

NHB RANCANG OLAH KANDUNGAN GALERI DALAM BENTUK PROGRAM INTERAKTIF

Artifak-artifak serta cerita-cerita yang dipamerkan di galeri ini terkumpul hasil daripada perbincangan kumpulan fokus NHB bersama para penduduk Geylang Serai dahulu dan sekarang.

"Kami ingin memaparkan kisah-kisah daripada masyarakat supaya kenangan-kenangan mengenai Geylang Serai dapat dikongsi bersama generasi yang akan datang. Di samping itu, kami merasakan memori-memori tentang Geylang Serai amat penting untuk memaparkan sejarah kawasan ini dari sudut pandangan masyarakat sendiri," terang Cik Norsaleen Salleh, Timbalan Pengarah, Pendidikan dan Mendekati Masyarakat, NHB.

NHB sedang bekerjasama dengan beberapa pihak tertentu untuk menganjurkan program-program yang selaras dan berkaitan dengan kandungan di dalam galeri tersebut sebagai usaha 'menghidupkan' warisan Geylang Serai.

Selain mengadakan lawatan berdarmawisata dan juga bengkel-bengkel kraf budaya, NHB juga merancang untuk menyediakan kertas-kertas kegiatan yang boleh digunakan para pengunjung untuk meningkatkan pengalaman mereka ketika menyusuri pameran galeri itu nanti.

Galeri Warisan Geylang Serai akan membuka pintunya kepada umum mulai 26 Januari ini bersamaan dengan perasmian WGS oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Pelbagai kegiatan menanti anda sepanjang acara tiga hari sempena majlis perasmian itu mulai Jumaat ini.

Para pengunjung juga berpeluang menyelami kekayaan adat, budaya dan warisan dalam rumpun Melayu sendiri.

"Kami juga akan mengadakan satu pameran yang tidak selalu dikunjungi oleh orang ramai iaitu pameran oleh kumpulan-kumpulan Melayu di Singapura seperti Persatuan Minangkabau, Persatuan Boyan dan sebagainya," kongsi Encik Muhammad Yunus Haroon, Penolong Pengarah, Program Bersepadu WGS.

Semua itu sebahagian daripada usaha WGS memaparkan gambaran masyarakat Melayu Singapura dahulu, sekarang dan masa depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan