Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sehingga 3,000 pekerja hijrahan dibenar ke Little India, Geylang Serai setiap minggu

Mulai 30 Oktober, sehingga 3,000 pekerja hijrahan yang lengkap divaksin akan dibenarkan pergi ke Little India dan Geylang Serai setiap minggu, sehingga lapan jam setiap lawatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Oct 2021 03:53PM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 09:32PM

SINGAPURA: Mulai 30 Oktober, sehingga 3,000 pekerja hijrahan yang lengkap divaksin akan dibenarkan pergi ke Little India dan Geylang Serai setiap minggu, sehingga lapan jam setiap lawatan.

Ini sedang pihak berkuasa memperluas program perintis lawatan masyarakat bagi para pekerja tersebut.

Langkah itu menyusuli "perkembangan positif dan makum balas menggalakkan" daripada program perintis yang dilancarkan bulan lalu, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataannya hari ini (22 Okt).

Semasa program perintis itu dijalankan, sehingga 500 pekerja hijrahan, yang lengkap divaksin, daripada dormitori-dormitori berbeza dapat mengunjungi Little India setiap minggu sehingga enam jam bagi setiap lawatan.

Sekitar 700 pekerja hijrahan dari 30 dormitori menyertai program perintis sepanjang sebulan itu.

Para pekerja diwajibkan menjalani Ujian Pantas Antigen (ART) COVID-19 sebelum dan selepas lawatan mereka dan sejauh ini tiada seorang pun yang diuji positif virus tersebut, tambah MOM.

"Kebanyakan pekerja yang tinjau...berpuas hati dengan jadual dan aturan lawatan tersebut. Sebahagian daripada mereka memberikan maklum balas bahawa mereka inginkan waktu lawatan yang lebih panjang dan lebih banyak pilihan lokasi," menurut MOM.

Para pekerja yang menginap di blok-blok dormitori tanpa kelompok COVID-19 layak untuk mendaftar bagi lawatan-lawatan masyarakat itu.

Sebelum ini, hanya pekerja di dormitori-dormitori tanpa sebarang kes positif COVID-19 yang layak bagi program perintis tersebut.

Dormitori-dormitori di mana para pekerja itu menetap mesti melaksanakan langkah-langkah keselamatan COVID-19 yang baik dan mencatat kadar tinggi vaksinasi dalam kalangan para penginapnya.

Para pekerja hijrahan yang menyertai lawatan-lawatan masyarakat diperlukan untuk menjalani ujian ART pada hari lawatan.

Menurut MOM, ia akan memantau perkembangan program lawatan masyarakat itu dan menjalankan penilaian untuk terus memperluas skop dan skalanya "pada waktu yang sesuai".

LEBIH BANYAK LAWATAN KE PUSAT-PUSAT REKREASI

Mulai 30 Oktober, semua pekerja hijrahan yang lengkap divaksin juga dibenarkan untuk pergi ke pusat-pusat rekreasi sehingga tiga kali seminggu, naik daripada dua kali seminggu sekarang.

Mereka juga tidak lagi diperlukan untuk menjalani ujian ART sebelum lawatan, tambah MOM.

Terdapat lapan pusat rekreasi di merata negara, dengan para pekerja diberikan kebenaran mengunjungi pusat yang ditetapkan untuk mereka.

Para pekerja hijrahan yang belum divaksin pula boleh melawat pusat-pusat tersebut sehingga tiga kali seminggu, dengan menunjukkan keputusan negatif ujian ART sebelum lawatan.

Sumber : Today/NK/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan