Images
  • preschool
    Kanak-kanak di My First Skool NTUC di Edgefield Plains. (Gambar: MCI)

'Sedikit kesaksamaan' boleh selaraskan yuran prasekolah di S’pura, kata Josephine Teo

SINGAPURA: Dalam ulasannya mengenai bagaimana 330 pusat jagaan kanak-kanak di Singapura akan menaikkan yuran bagi program sepanjang harinya pada tahun depan, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata bahawa terdapat "sedikit kesaksamaan" apabila berbuat sedemikian.

Ini kerana yuran dalam kalangan pusat jagaan kanak-kanak, sekalipun yang turut berada di bawah pengendali yang sama, boleh menjadi "berbeza sedikit" meskipun mempunyai sumber yang serupa.

"Kadangkala atas sebab sejarah, yuran agak berbeza sedangkan guru-guru sama berkelayakan dan pusat-pusat itu mempunyai sumber yang serupa," jelas Cik Teo semasa diwawancara dalam rancangan Asia First bersama stesen radio CNA938.

Sekitar 20 peratus pusat jagaan kanak-kanak di Singapura akan mengenakan yuran lebih tinggi tahun depan dengan median dinaikkan "sekitar 5 peratus yuran", menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) kepada Mediacorp minggu ini.

Ini dilakukan menyusuli pengumuman Pemerintah bulan lalu mengenai subsidi tambahan bagi prasekolah.

Subsidi tersebut, yang diumumkan pada 28 Ogos, bertujuan menyediakan lebih banyak sokongan kepada para ibu bapa bergaji rendah hingga pertengahan. Misalnya, keluarga dengan pendapatan bulanan kasar S$3,000 akan membayar S$3 sebulan, merosot daripada S$70, bagi setiap anak di prasekolah pengendali utama.

Ketka ditanya jika beliau akan memantau dengan teliti semakan yuran itu kerana ia berpotensi menjejaskan atau menafikan subsidi, Cik Teo menjawab bahawa rancangan kenaikan yuran oleh sebilangan besar pusat tajaka berkenaan disokong pemerintah dan yuran mereka akan kekal di bawah had yang ditetapkan.

Pemerintah menyediakan pembiayaan dana kepada para pengendali utama dan rakan kongi yang kemudian perlu memastikan yuran mereka dimampui dengan mematuhi had yuran bulanan.
Yuran jagaan kanak-kanak sepanjang hari, tidak termasuk GST, dihadkan pada S$720 sebulan bagi pengendali utama dan S$800 bagi pengendali rakan kongsi.

Had yuran itu kekal tidak berganjak sepanjang tiga hingga lima tahun lalu, tekan Cik Teo.
Selain itu, tajaka yang disokong pemerintah hanya boleh membuat penyesuaian yuran "kecil" tidak melebihi lima peratus setiap kali.

PERUBAHAN DASAR IVF

Cik Teo juga ditanya tentang perubahan dasar baru-baru ini yang melibatkan pemansuhan had usia bagi rawatan persenyawaan in virto (IVF).

Sebagai sebahagian daripada langkah-langkah diumumkan bulan lalu untuk menyokong perkahwinan dan keibubapaan, had usia 45 tahun bagi kaum wanita yang menjalani prosedur menggunakan teknologi untuk merangsang kehamilan (ART) - yang termasuk rawatan IVF - akan dimansuhkan mulai 1 Januari 2020.

Had ke atas bilangan kitaran IVF yang boleh dijalani seseorang wanita, buat masa itu ditetapkan pada 10 kitaran untuk wanita berusia 40 tahun dan ke bawah manakala lima bagi yang berumur melebihi 40 tahun, juga akan dimansuhkan.

Bagaimanapun, sesetengah pakar perubatan meluahkan keprihatinan bahawa pemansuhan had usia itu boleh membawa tanggapan yang salah bahawa menangguhkan fasa keibubapaan itu adalah sesuatu yang boleh diterima.

Menteri itu berkata keprihatinan sedemikian adalah wajar kerana meskipun risiko rawatan perubatan seumpama itu sudah merosot, kadar kejayaannya "mungkin belum berganjak".

Namun, perubahan pada dasar sedia ada dilaksanakan untuk memberi peluang kepada rakyat Singapura untuk mengakses rawatan tersebut tanpa perlu melakukannya di luar negara.

- CNA/FZ/fz

Top