Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sedang tahap jerebu S'pura semakin teruk, risiko kematian juga meningkat: Kajian

Tahap jerebu yang semakin teruk di Singapura "ada kaitan besar" dengan risiko kematian lebih tinggi. Ini berdasarkan kajian oleh para penyelidik dari beberapa institusi jagaan kesihatan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sedang tahap jerebu S'pura semakin teruk, risiko kematian juga meningkat: Kajian

Pemandangan sekitar kawasan Marina Bay Singapura pada 23 Sep 2019 di tengah-tengah keadaan berjerebu yang berlarutan.

Diterbitkan : 02 Jan 2020 08:50AM Dikemas Kini : 02 Jan 2020 08:52AM

SINGAPURA: Tahap jerebu yang semakin teruk di Singapura "ada kaitan besar" dengan risiko kematian lebih tinggi. Ini berdasarkan kajian oleh para penyelidik dari beberapa institusi jagaan kesihatan.

Kajian itu, diterbitkan dalam jurnal akademik 'Atmosphere', meneliti hubungan antara jumlah kematian dengan purata Indeks Pencemaran Udara (PSI) harian di Singapura dari 2010 hingga 2015.

Pasukan penyelidik tersebut mendapati terdapat risiko kematian lebih tinggi apabila PSI dalam paras sederhana dan tidak sihat, meskipun mereka menekankan bahawa mereka tidak mengenal pasti kaitan penyebab antara jerebu dengan kadar kematian lebih tinggi.

PSI adalah salah satu ukuran utama mutu udara yang digunakan oleh pihak berkuasa Singapura. Mutu udara dianggap baik apabila bacaan PSI adalah antara 0 hingga 50.

Bacaan PSI antara 51 hingga 100 menunjukkan mutu udara sederhana manakala bacaan antara 101 hingga 200 pula diklasifikasikan sebagai tidak sihat. Bacaan PSI dari 201 hingga 300 menandakan mutu udara sangat tidak sihat.

Bacaan PSI di Singapura mencecah paras tidak sihat untuk beberapa hari pada September 2019.

Para penyelidik mengatakan hubungan antara pencemaran udara dengan kematian yang didapati dalam kajian tersebut mungkin disebabkan oleh peningkatan jangkitan saluran pernafasan, reaksi alahan dan kesan kepada pesakit barah dan sakit jantung.

Para pengarang utama kajian yang diterbitkan pada 20 Disember 2019 itu, ialah Dr Andrew Ho Fu Wah; doktor tetap dengan program perubatan kecemasan Singhealth; Prof Marcus Ong dari Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Cik Zheng Huili, seorang ahli biostatistik dari Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Sembilan karyawan jagaan kesihatan lain dan ahli akademik juga membentuk sebahagian daripada pasukan penyelidikan itu, dari pertubuhan-pertubuhan berbeza termasuk Universiti Teknologi dan Rekaan Singapura (SUTD), Hospital Besar Singapura (SGH), Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Kajian itu mendapati bahawa risiko kematian meningkat dalam jangka pendek selepas pendedahan kepada jerebu di tahap sederhana dan tidak sihat.

Para penyelidik mengatakan ini kemungkinan adalah kajian pertama yang mengaitkan jerebu Asia Tenggara dengan kematian di Singapura.

Sesetengah orang dilihat memakai pelitup ketika berjalan-jalan di Orchard Road pada 22 Sep 2019. 

Kajian-kajian di Singapura sebelum ini menunjukkan semasa tempoh jerebu, terdapat kenaikan dalam jumlah pesakit yang mengunjungi hospital bagi keadaan berkaitan jerebu dan juga peningkatan dalam jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, kajian-kajian lain turut menunjukkan hubungan antara tahap jerebu dengan angin ahmar serta serangan jantung.

Meskipun kajian tersebut menunjukkan ada hubungan antara PSI dengan kadar kematian, para penyelidik mengatakan ia tidak membuktikan sebab yang membawa kepada kaitan sedemikian.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan