Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebilangan rakyat S'pura beli ivermectin online rawat COVID-19 meski tidak terbukti berkesan malah berbahaya

Sebilangan rakyat Singapura yang memilih untuk mendapatkan rawatan sendiri melawan COVID-19 mencerminkan trend membimbangkan di beberapa negara merata dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan rakyat S'pura beli ivermectin online rawat COVID-19 meski tidak terbukti berkesan malah berbahaya

Sebuah kedai di Amerika Syarikat yang mengeluarkan amaran ivermectin hanya digunakan untuk haiwan sahaja. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 07 Sep 2021 02:39PM Dikemas Kini : 07 Sep 2021 02:43PM

SINGAPURA: Sebilangan rakyat Singapura yang memilih untuk mendapatkan rawatan sendiri melawan COVID-19 mencerminkan trend membimbangkan di beberapa negara merata dunia.

Antaranya ada yang menggunakan ubat antiparasit ivermectin, dengan beberapa individu dilaporkan tidak menghiraukan nasihat penguasa kesihatan daripada mengambil ubat tersebut.

Ivermectin digunakan untuk merawat berbagai jenis parasit, seperti kutu kepala dan kudis selain masalah cacing bagi haiwan seperti anjing dan kuda.

Oleh kerana ia tidak boleh dibeli di kaunter farmasi, ramai yang menempahnya secara online.

Di Indonesia misalnya, harga ivermectin dilaporkan melonjak setelah ramai penduduk di negara yang bergelut dengan COVID-19 itu menyifatkannya sebagai "ubat ajaib".

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mac tahun lalu memberi amaran bahawa ivermectin hanya boleh digunakan untuk merawat COVID-19 dalam ujian klinikal dan bukti tentang keberkesanannya melawan koronavirus "belum menghasilkan keputusan jelas".

Namun, amaran tersebut tidak menghalang pengguna seperti Encik Tan yang enggan memberi nama penuhnya. Beliau belum mendapatkan vaksinasi kerana tidak yakin dengan vaksin yang ada kerana ia agak baru.

Seorang lagi pengguna ivermectin di sini, yang tidak mahu mendedahkan namanya, memanfaatkan Telegram untuk bergabung dengan orang lain bagi membeli ubat itu secara lambak.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa "puluhan orang" membuat tempahan bersamanya.

Mediacorp mendapati sekurang-kurangnya tiga kumpulan sembang di Telegram dengan pengguna membeli atau mengumpul tempahan bagi ivermectin.

Seorang lagi bakal pengguna ivermectin di negara ini, Encik Ng Syn Jae berkata meskipun ubat itu boleh digunakan untuk haiwan, terdapat dos dan bungkusan ivermectin dikhaskan untuk penggunaan manusia.

Lelaki berusia 27 tahun itu belum divaksinasi dan antara sebab beliau yakin dengan ivermectin adalah kerana ia memang sudah digunakan sejak 1981 dan beliau percaya ia selamat digunakan pada dos yang disarankan.

Tinjauan Mediacorp di beberapa farmasi mendapati bahawa ivermection tidak boleh dibeli tanpa preskripsi.

Para pakar di Singapura bersetuju dengan WHO bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan ubat itu rawatan berkesan dalam melawan COVID-19 bahkan ia mungkin berbahaya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Profesor Madya Sophia Archuleta, ketua divisyen penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH) berkata hospital itu tidak menggunakan ivermectin bagi rawatan COVID-19 dan ia belum menerima pesakit yang meminta ubat itu mahupun dimasukkan ke hospital disebabkan kesan buruk berhubung penggunaannya.

"Amat berbahaya untuk mengambil uba tyang belum dibuktikan faedahnya bagi sebarang keadaan perubatan terutama sekali kerana kini kami ada rawatan COVID-19 yang terbukti berkesan (seperti) remdesivir atau dexamethasone," kata beliau.

"Vaksinasi kekal sebagai cara pencegahan jangkitan paling berkesan."

Pada Jun lalu, Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) menyatakan dalam garis panduan rawatan COVID-19 bahawa penggunaan ivermection sebagai rawatan "tidak disyorkan" kerana "kurangnya data kukuh".

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan