Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebilangan peniaga mungkin rugi hingga 50% jika minuman bergula dalam tin diharamkan

BERITAmediacorp turun padang ke premis-premis perniagaan untuk mendapatkan maklum balas para pekedai berhubung idea pengharaman minuman-minuman bergula dalam tin, botol atau paket.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmedicorp: Sebilangan peniaga menyatakan mereka mungkin mengalami kerugian sehingga 50 peratus sekiranya penjualan minuman-minuman bergula dalam tin, botol atau paket, diharamkan.

Pengharaman itu adalah salah satu daripada empat idea yang difikirkan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) baru-baru ini, dalam usaha memerangi kencing manis. Badan-badan tersebut sedang mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai idea tersebut.

BERITAmediacorp turun padang ke premis-premis perniagaan untuk mendapatkan maklum balas para pekedai berhubung idea tersebut.

RAKYAT S’PURA AMBIL 1,500 SUDU THE GULA SETAHUN

Tahukah anda, secara purata setiap rakyat Singapura mengambil lebih 1,500 sudu teh gula setahun daripada minuman-minuman bergula siap diminum.

Secara purata setiap rakyat Singapura mengambil lebih 1,500 sudu teh gula setahun daripada minuman-minuman bergula siap diminum.

Ini termasuk minuman ringan dalam tin, botol atau kotak, minuman isotonik, jus buah-buahan komersil, tairu dan kopi 3-dalam-1. Jumlah pengambilan gula seperti itu agak membimbangkan.

Ini belum lagi termasuk pengambilan gula dalam bentuk-bentuk lain. Itulah juga antara penyumbang kepada angka setengah juta penduduk Singapura yang menghidap kencing manis sekarang ini - lebih tinggi daripada purata global.

Lantaran itulah MOH dan HPB antara lain cuba mendapatkan pandangan orang awam, sama ada minuman bergula tinggi sedemikian patut diharamkan di negara ini.

Khususnya, ini merujuk kepada minuman setiap 250 mililiter air yang mengandungi sekurang-kurangnya 5.5 sudu teh gula seperti air minuman di dalam tin.

(Gambar: Pixabay/igorovsyannykov)

FAKTOR AIR DALAM KEUNTUNGAN NIAGA

Jika pengharaman seperti itu menjadi kenyataan, antara golongan pertama yang terjejas ialah peniaga dan premis niaga yang menjual minuman sedemikian. Berapa hebat mereka mungkin terjejas? Ini kata mereka...

"Kalau air tin, 50 peratus lah terjejas. Kita punya keuntungan ada pada air (minuman). Kalau makan susah nak untung, barang-barang mahal. Kalau air, dia boleh bantu kitalah," kata Pemilik Restoran Sabar Menanti II, Cik Maryulis Marlian kepada BERITAmediacorp.

Pemilik Restoran Sabar Menanti II, Cik Maryulis Marlian.

"Bimbang, agak bimbang sedikit. Kesan dan impaknya mungkin sekitar 40 peratus, kita akan kurang 40 peratuslah kerana 40 peratus adalah minuman kita," luah Pengurus Restoran Rumah Makan Minang pula, Cik Nursyahidah Mohd Zin.

Sekalipun demikian, ada juga peniaga yang kami temui berpandangan bahawa pengharaman penjualan minuman bergula dalam tin tidak terlalu menjejas perniagaan mereka.

Ini kerana mereka percaya, kepelbagaian minuman yang ditawarkan kedai masing-masing masih boleh memenuhi selera pelanggan.

"Bagi kita tak ada terjejaslah walaupun dia haramkan, tak haramkan pun sama juga. Tak ada masalahlah bagi kita," kata Encik Shaik Salim Hassan, jurucakap bagi Kampong Glam Cafe.

Shaik Salim Hassan, jurucakap bagi Kampong Glam Cafe.

Pengurus Warong Nasi Pariaman, Encik Jumrin Isrin pula percaya, kedai-kedai sepertinya masih boleh bertakat dengan pilihan air yang dicadangkannya dan pihaknya masih boleh menyediakan air mengikut cita rasa pelanggan.

"Orang-orang sekarang kan boleh order macam Teh, Teh O Kosong, macam Pemerintah cadangkanlah. Jadi untuk kita tak begitu masalah. Kalau macam mereka haramkan minuman (dalam tin) pun kita ada lain cara yang boleh buat."

Pengurus Warong Nasi Pariaman, Encik Jumrin Isrin.

ADA KEMUNGKINAN TERPAKSA GULUNG TIKAR?

Malah tinjauan kami di kawasan Kampong Gelam mendapati, ada juga peniaga yang menyokong idea pengharaman itu, seperti Pengurus Restoran Mihrimah, Encik Muhammad Annajih Muhammad Johan.

"Saya setuju dengan cadangan ini sebab air tin dan air kotak ini kadar gulanya tinggi dan ia tidak baik untuk kesihatan. Kami tidak (bimbang) kerana jika air manis ini tidak dapat dijual kami boleh tukar kepada air jus atau sebagainyalah selain daripada air tin," kata pengurus restoran yang baru tiga tahun bertapak di North Bridge itu.

Pengurus Restoran Mihrimah, Encik Muhammad Annajih Muhammad Johan.

Yang pasti, pandangan yang diberikan para peniaga agak bercampur-campur dengan ada yang bimbang dengan masa depan perniagaan mereka. Lantaran itu juga ada peniaga yang terus terang membantah idea pengharaman sedemikian.

"Saya tidak setuju kerana itu akan jejas sebahagian daripada kita punya perniagaan. Saranan saya, janganlah haramkan sampai habis, mungkin boleh kurangkan manis. (Jadi) ada lebih banyak pilihan bagi para pelanggan dan bagi kami yang masih menjual air," tambah Cik Nursyahidah.

Pengurus Restoran Rumah Makan Minang pula, Cik Nursyahidah Mohd Zin.

Bagi Cik Maryulis pula, sekiranya pengharaman itu diteruskan dan menjejas teruk perniagaannya, beliau tidak menolak kemungkinan terpaksa gulung tikar.

"Saya tengoklah, kalau tak datangkan faedah, kita tutuplah kedai. Ya lah, sewa kedai mahal, gaji pekerja nak kasi, air lampu nak bayar, barang pasar mahal. Habis kita nak cari untung pada air, sekarang air (tin) tak boleh jual, macam mana? Masalah kan?," luah beliau kepafda BERITAmediacorp.

Orang ramai boleh berkongsi pandangan mereka kepada MOH sehingga 25 Januari ini.

4 IDEA MENGAWAL PENGAMBILAN GULA

Selain idea mengharamkan minuman-minuman bergula (sugar sweetened beverages atau SSB), MOH juga sedang menimbangkan tiga lagi kaedah lain dalam usaha memerangi penyakit kencing manis.

Saranan kedua adalah langkah mengenakan cukai ke atas para pengilang dan pengimport SSB yang siap diminum. Ini bagi menggalak industri tersebut menghasilkan formula baru serta mengurangkan kandungan gula dalam produk mereka.

Ketiga adalah syarat-syarat yang lebih ketat bagi iklan makanan dan minuman kurang sihat dengan harapan ia dapat mengurangkan kadar pengambilannya dalam kalangan kanak-kanak. Ini termasuk mewajibkan peraturan sedia ada dan memperluaskannya meliputi lebih banyak waktu siaran televisyen serta saluran-saluran media atau mengharamkan sama sekali iklan sedemikian.

Satu lagi saranan ialah mewajibkan label khasiat yang dilekatkan secara jelas dan terang pada bahagian depan paket untuk membantu para pelanggan membuat pilihan makanan dan minuman lebih sihat. 

(Gambar: MOH)

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan