Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SDP sasar pengundi milenial; ketengahkan isu golongan muda

 Parti Demokratik Singapura (SDP) menyasarkan para pengundi golongan milenial bagi membantu mempertingkatkan peluang parti pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum (GE) akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
SDP sasar pengundi milenial; ketengahkan isu golongan muda

(Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 04 Nov 2019 09:13AM Dikemas Kini : 04 Nov 2019 09:28AM

SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) menyasarkan para pengundi golongan milenial bagi membantu mempertingkatkan peluang parti pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum (GE) akan datang.

Bercakap kepada para wartawan semasa lawatan bertemu penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Ghim Moh pada Ahad (3 Nov), pengerusi SDP Paul Tambyah berkata terdapat "generasi pengundi baru di Singapura, iaitu golongan milenial yang merasakan sebilangan keprihatinan mereka tidak ditangani."

"Terdapat gesaan untuk rakyat terus bekerja dan salah satu isu yang timbul daripada usaha untuk mengekalkan tenaga pekerja lanjut usia dalam tenaga kerja adalah kekurangan peluang untuk golongan muda.

"Corak pekerjaan sudah berubah dan kos sara hidup meningkat, kos sara anak-anak, kos membeli rumah pertama - ini adalah isu-isu yang dihadapi oleh golongan muda.

"Saya rasa mereka akan menghargai individu yang akan bersuara untuk mereka di parlimen," kata Dr Tambyah.

Sebelum ini, semasa sesi lawatan bertemu penduduk di Yuhua pada Ogos, setiausaha agung SDP Chee Soon Juan berkata parti itu "menimbangkan secara serius" untuk membariskan calon-calon muda bagi Pilihan Raya Umum akan datang.

Apabila ditanya pada Ahad sama ada SDP akan menampilkan sebilangan besar calon muda semasa pilihan raya umum akan datang, Dr Tambyah tidak memberikan jawapan yang jelas. Sebaliknya, beliau mengatakan usia purata bagi calon-calon SDP barangkali " turun sekurang-kurangnya satu atau dua tahun."

Sesi lawatan bertemu penduduk pada Ahad di Ghim Moh mungkin adalah sesi terbesar dianjurkan oleh SDP untuk tahun ini sekiranya Perdana Menteri Lee Hsien Loong memutuskan untuk mengadakan pilihan raya sebelum hujung tahun ini.

Sejak melancarkan kempen pilihan rayanya pada Februari lalu, Dr Tambyah berkata parti itu melakukan lawatan dari rumah ke rumah setiap minggu di lima kawasan undi yang akan ditandingi SDP dalam pilihan raya akan datang.

Lima kawasan undi itu adalah Marsiling-Yew Tee, Holland-Bukit Timah, Bukit Batok, Bukit Panjang dan Yuhua.

Ini adalah lima kawasan undi yang ditandingi SDP semasa pilihan raya umum pada 2015.

Pilihan raya umum harus diadakan selewat-lewatnya sebelum April 2021. Pakar-pakar politik sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa pilihan raya mungkin diadakan pada suku keempat tahun ini atau tempoh antara April hingga Jun tahun depan.

Anggota SDP yang turut dilihat semasa sesi lawatan bertemu penduduk pada Ahad termasuk Dr Chee dan naib pengerusi SDP John Tan.

Seorang anggota baru SDP yang ditemui ialah Encik Robin Low, seorang usahawan berusia 44 tahun.

Encik Low menyertai SDP pada Mac lalu bersama Encik Benjamin Pwee. Mereka berdua sebelum ini menganggotai Parti Progresif Demokratik.

Encik Low menyertai SDP kerana ia adalah sebuah parti di mana anggotanya “bukan sahaja bersemangat tetapi mempunyai tujuan (membawa) demokrasi kepada Singapura.”

Sebelum ini, beliau pernah menjadi sukarelawan bersama parti-parti politik lain termasuk Parti Pekerja dan Parti Rakyat Singapura.

Apabila ditanya tentang apakah isu-isu yang ingin dibangkitkannya, Encik Low berkata: "Saya ingin Singapura menjadi masyarakat lebih inklusif, tidak hanya bergantung kepada penyelesaian mudah seperti derma untuk membantu golongan terpinggir tetapi penyelesaian yang benar-benar menangani dasar-dasar yang merupakan punca utama berlaku ketidaksamarataan." 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan