Images
  • PAP SDP
    Marsiling-Yew Tee: PAP bersaing dengan SDP buat kali kedua. (Gambar: Ray Yeh)

SDP, PAP berentap kali kedua di GRC Marsiling-Yew Tee

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) akan berentap sekali lagi di GRC empat anggota Marsiling-Yew Tee.

Mewakili PAP ialah Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong, Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara Zaqy Mohamad, Encik Alex Yam dan wajah baru Hany Soh.

Encik Zaqy, yang sebelum ini mewakili GRC Chua Chu Kang, menggantikan Puan Halimah Yacob, yang melepaskan jawatannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Encik Zaqy sudah berkhidmat sebagai penasihat akar umbi Marsiling sejak Presiden Halimah melepaskan jawatannya sebagai Anggota Parlimen.

Cik Soh, seorang pengarah firma guaman, menggantikan Encik Ong Teng Koon, yang tidak bertanding dalam GE kali ini selepas berkhidmat sebagai AP selama dua penggal.

SDP juga berjaya memfailkan kertas penamaan calon hari ini (30 Jun), di Sekolah Chongfu.

Pasukannya terdiri daripada Encik Bryan Lim Boon Heng, Encik Damanhuri Abas, Encik Benjamin Pwee dan Encik Khung Wai Yeen.

Encik Lim dan Encik Damanhuri pernah bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee dalam GE2015 manakala Encik Khung bertanding di SMC Bukit Panjang ketika itu.

Kesemua mereka adalah ahli jawatankuasa eksekutif pusat SDP.

Dalam GE2015, PAP menang 68.7 peratus undi di GRC tersebut. Terdapat 117,176 pengundi di sana.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/NK/nk

Top