Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SDP kemuka rayuan terhadap keputusan kes POFMA Mahkamah Tinggi

Parti Demokratik Singapura (SDP) mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak rayuannya terhadap arahan pembetulan yang dikeluarkan terhadap parti itu di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA).

Anggaran Waktu Membaca:
SDP kemuka rayuan terhadap keputusan kes POFMA Mahkamah Tinggi

(Gambar: Janice Lim/TODAY)

Diterbitkan : 16 Sep 2020 06:47PM Dikemas Kini : 16 Sep 2020 06:48PM

SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak rayuannya terhadap arahan pembetulan yang dikeluarkan terhadap parti itu di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA).

SDP, dalam kenyataannya pada Rabu (16 Sep), menyatakan rayuan terkininya itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 10.00 pagi Khamis. Ini kali pertama kes POFMA dibawa sampai ke mahkamah tertinggi Singapura.

Sebuah panel lima anggota terdiri daripada Ketua Hakim Sundaresh Menon dan hakim-hakim rayuan Phang Boon Leong, Judith Prakash, Tay Yong Kwang dan Steven Chong akan mendengar sebutan kes itu, tambahnya.

“Kami mengharapkan keputusan yang baik bagi kes ini. Butiran kes kami akan disediakan apabila dibenarkan kelak."

Satu lagi kes rayuan POFMA juga akan didengar oleh panel lima hakim yang sama itu pada hari yang sama. Ini melibatkan arahan pembetulan yang dikeluarkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam terhadap lelaman sosio-politik The Online Citizen (TOC) berhubung kenyataan palsu mengenai kaedah pelaksanaannya.

KES SDP

Kes SDP melibatkan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh parti itu berhubung statistik pengambilan pekerja bagi golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) warga Singapura dalam dua catatan Facebook dan sebuah rencana di laman webnya pada Jun tahun lalu.

Disember lalu, tiga arahan pembetulan POFMA dikeluarkan oleh Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo terhadap dakwaan-dakwaan SDP bahawa pemberhentian pekerja dalam kalangan rakyat Singapura meningkat dan pengambilan pekerja PMET pula merosot.

Infografik yang digunakan oleh SDP, menunjukkan kemerosotan pada pengambilan pekerja PMET dalam kalangan warga Singapura, yang juga dianggap mengelirukan oleh MOM.

Dalam responsnya, SDP memfailkan satu permohonan pada Januari kepada MOM untuk membatalkan arahan tersebut dalam cabaran pertama terhadap arahan POFMA. Permohonan itu ditolak.

Parti itu kemudian memfailkan satu rayuan kepada Mahkamah Tinggi pada bulan yang sama.

Semasa rayuan didengar, kedua-dua pihak bergantung kepada statistik pasaran buruh untuk menghujahkan kes mereka. SDP berpendapat bahawa MOM menggunakan undang-undang anti berita palsu secara tidak betul dan ia tidak seharusnya digunakan untuk mempertikaikan tafsiran statistik oleh parti itu.

Cik Teo diwakili Timbalan Peguam Negara Hri Kumar Nair dalam rayuan itu. Menggariskan hujah pihaknya, Encik Nair berkata POFMA juga meliputi perkara berhubung tafsiran.

Akhirnya, kes itu ditolak oleh Hakim Ang Cheng Hock yang berkata bahawa maksud bahan yang diterbitkan harus ditentukan berdasarkan pemahaman yang masuk akal oleh anggota masyarakat.

Beliau menyimpulkan dalam penghakimannya bahawa tuntutan parti pembangkang itu mengenai pengambilan pekerja PMET "sebenarnya palsu dalam menghadapi bukti statistik terhadap mereka".

Rayuan pada Januari itu didengarkan secara tertutup dan bukannya secara terbuka di mahkamah kerana rayuan itu diajukan melalui saman asal.

Kedua-dua SDP dan TOC diwakili oleh peguam Eugene Thuraisingam. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan