Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SDP kemaskini dasar jagaan kesihatan, pendidikan dalam pendedahan manifesto

Parti Demokratik Singapura (SDP) pada Sabtu (28 Sep) mendedahkan senaskah buku baru - 'The Way Forward' - mengandungi manifestonya yang melakarkan dasar-dasar parti politik itu menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
SDP kemaskini dasar jagaan kesihatan, pendidikan dalam pendedahan manifesto

Dr Chee Soon Juan di pelancaran manifesto SDP pada 28 Sep 2019 (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 29 Sep 2019 07:55PM Dikemas Kini : 29 Sep 2019 07:59PM

SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) pada Sabtu (28 Sep) mendedahkan senaskah buku baru - The Way Forward - mengandungi manifestonya yang melakarkan dasar-dasar parti politik itu menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Pilihan Raya seterusnya perlu diadakan sebelum April 2021.

Menurut SDP, sebahagian dasarnya sudah dikemaskini namun manifesto terbarunya "tidak mempunyai perubahan ketara" berbanding manifesto sebelum ini.

Kemaskini yang dimaksudkan termasuk perubahan pada dasar penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Merujuk kepada pelan penjagaan kesihatan seperti MediShield Hayat dan Careshield Hayat, pengerusi SDP Paul Tambyah menekankan perbezaan antara usulan penjagaan kesihatan SDP dengan sistem sedia ada.

"Adalah penting untuk memperjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara satu pelan penjagaan kesihatan tunggal menyeluruh seperti yang kami sarankan, dengan pelbagai skim yang rumit di bawah MediShield Hayat, Dana MediSave, dibiaya majikan, CareShield dan sebagainya di bawah PAP," kata Dr Tambyah.

Beliau menambah meskipun belanjawan penjagaan kesihatan "hampir" menepati ramalan SDP, ia "hanya bagi memastikan wang digunakan secara berkesan dan sampai kepada para pesakit".

Encik Benjamin Pwee, yang menyertai SDP awal tahun ini, berkata parti itu juga menambah satu "bahagian lebih penting berkaitan perniagaan tuisyen privet" kepada dasar pendidikan mereka.

Di lamannya, SDP menulis bahawa sistem tuisyen privet dan sistem pendidikan sedia ada menyumbang kepada ketidaksamarataan yang semakin meluas di Singapura.

"Akibat sukatan pelajaran yang berat, para guru menghadapi tekanan untuk melengkapkan senarai topik-topik pelajaran tanpa mengambil kira sama ada para pelajar memahami kandungan pelajaran atau tidak," tambahnya lagi.

"Para ibu bapa kemudian mencari kelas tuisyen privet, satu industri bernilai berbilion dolar, untuk membantu anak-anak mereka. Keluarga lebih mewah mampu membayar kelas-kelas mahal sedemikian, menyebabkan keluarga lebih susah ketinggalan di belakang. Ini meluaskan lagi jurang sosio-ekonomi dalam masyarakat kita.

Pada Julai, SDP mendedahkan dasar pendidikan alternatifnya, yang mengusulkan saiz kelas lebih kecil, pengambilalihan sektor prasekolah oleh pemerintah dan memansuhkan PSLE dan ranking sekolah.

Manifesto yang dicetak itu dilancarkan pada Sabtu di satu acara awam di mana tiga anggota SDP - Dr Tambyah, Encik Pwee dan anggota Demokrat Muda Naresh Subramaniam – menyampaikan ucapan menyentuh isu-isu seperti perubahan iklim, kuota kaum bagi presiden dipilih dan penguasaan dua pertiga majoriti Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Parlimen.

Dr Chee Soon Juan juga menjawab soalan-soalan dari orang awam.

Buku 'The Way Forward' menggariskan ringkasan dasar-dasar yang disarankan SDP, yang juga boleh didapati di laman webnya, menurut parti itu. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan