Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Saya tidak mengkritik pencinta haiwan', kata Lee Bee Wah tentang ucapannya di Parlimen

Anggota Parlimen (MP) Lee Bee Wah memberi respons terhadap kritikan berhubung ucapannya di Parlimen minggu ini tentang pengurusan haiwan di estet-estet HDB.

Anggaran Waktu Membaca:
'Saya tidak mengkritik pencinta haiwan', kata Lee Bee Wah tentang ucapannya di Parlimen

Anggota Parlimen Lee Bee Wah.

Diterbitkan : 16 Feb 2019 12:19AM Dikemas Kini : 16 Feb 2019 12:22AM

SINGAPURA: Anggota Parlimen (MP) Lee Bee Wah memberi respons terhadap kritikan berhubung ucapannya di Parlimen minggu ini tentang pengurusan haiwan di estet-estet HDB.

"Saya menerima maklum balas bahawa sesetengah pencinta haiwan dan aktivis mungkin salah faham terhadap ucapan saya tentang pengurusan haiwan di estet-estet HDB," tulis Cik Lee menerusi catatan Facebook. "Ada yang berfikir saya menentang para aktivis dan haiwan. Itu tidak benar."

"Saya tidak sesekali mengkritik sesiapa - kecuali mereka yang tidak bersikap bertanggungjawab bila memberi makanan kepada kucing dan mereka yang memancing secara haram sehingga membahayakan memerang."

Dalam ucapannya bagi menyokong (Pindaan Rang Undang-Undang) Lembaga Taman Negara, Cik Lee menarik perhatian kepada masalah yang ditimbulkan "sebahagian orang yang memberi makanan kucing terhadap masyarakat kita", sambil mengatakan bahawa para penduduk mengadu tentang tikus-tikus di beberapa kawasan.

"Saya turun pada satu malam untuk melihat. Memang benar terdapat banyak tikus berkeliaran sana sini," kata Cik Lee. Kata-katanya itu membuat para AP lain dalam dewan tertawa.

"Kami mendapati punca utamanya adalah makanan yang ditinggalkan orang-orang yang memberi makanan kepada kucing."

Beliau menambah, apabila beliau meminta Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mengambil tindakan, agensi tersebut menjelaskan bahawa ia tidak dapat melakukan sedemikian kerana perjanjian di antara Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) dengan para sukarelawan kebajikan kucing untuk membolehkan makanan bagi haiwan itu dibiarkan selama dua jam.

"Dengan begitu ramai yang meninggalkan makanan selama dua jam, bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah tikus ini? Tikus membiak dengan begitu cepat," katanya.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merayu agensi-agensi berkaitan supaya tidak lagi membenarkan tempoh dua jam bagi memberi kucing-kucing makanan di kawasan-kawasan dengan masalah tikus. Kesihatan para penduduk lebih penting," tambahnya.

Gesaannya itu dikritik Persatuan Kebajikan Kucing.

Mengongsi video ucapan AP itu, persatuan itu menyatakan dalam catatan Facebooknya pada Rabu (13 Feb) bahawa: "Para penduduk yang menjaga kucing-kucing tidak seharusnya dipersendakan atau ditertawakan.

"Mereka juga tidak seharusnya ditakutkan dengan kemungkinan kucing-kucing dimatikan."

Pertubuhan itu bagaimanapun menyatakan ia menyokong "sikap bertanggungjawab dalam memberi penjagaan", iaitu membersihkan makanan "dalam tempoh dua jam selepas diletakkan di atas lantai" dan menukar mangkuk air setiap hari.

"Kami juga tidak menyokong perbuatan tidak bertanggungjawab dalam panjagaan dan bekerjasama dengan NEA untuk mencari dan menghukum mereka yang tidak bertanggungjawab," tambahnya.

Dalam responsnya, Cik Lee berkata bahawa beliau menggesa tindakan diambil ke atas "pemberi makanan tidak bertanggungjawab yang membiarkan makanan kucing terbiar selama lebih dua jam di kawasan-kawasan tikus membiak."

"Dengan membiarkan makanan terlalu lama, mereka yang tidak bertanggungjawab menimbulkan masalah kebersihan kepada para penduduk," katanya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan