Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Satu strategi nasional dibentuk bagi tangani isu-isu kesihatan mental

Sebuah pasukan bertindak tempatan yang mengkaji mengenai kesihatan mental semasa pandemik COVID-19, kini menyarakankan bahawa satu strategi nasional dibentuk demi meningkatkan kesihatan mental penduduk Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah pasukan bertindak tempatan yang mengkaji mengenai kesihatan mental semasa pandemik COVID-19, kini menyarakankan bahawa satu strategi nasional dibentuk demi meningkatkan kesihatan mental penduduk Singapura.

Pasukan Bertindak bagi Kesejahteraan Mental COVID-19 itu juga akan meluaskan peranannya menjangkaui tempoh pandemik dan menjadi suatu wadah berbilang agensi.

Dipanggil Pasukan Bertindak Antara Agensi mengenai Kesejahteraan dan Kesihatan Mental, ia akan membangun satu strategi 'seluruh pemerintah' bagi bidang kesejahteraan dan kesihatan mental.

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Langkah itu diambil menyusuli satu kajian Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi menilai kesejahteraan mental penduduk Singapura semasa pandemik COVID-19. Kajian itu mendapati, 13% daripada responden mengalami simptom-simptom kemurungan atau keresahan.

IMH juga menyaksikan jumlah mereka yang memanfaatkan Talian Bantuan Kesihatan Mentalnya meningkat 50% pada tahun lalu berbanding 2019, dengan jumlah panggilan tertinggi dicatatkan pada April 2020 semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun menjelang hujung tahun lalu, jumlah panggilan merosot kepada paras sebelum pandemik.

Antara keprihatinan yang disuarakan termasuk perasaan resah kerana perlu menyesuaikan diri kepada aturan bekerja di rumah atau pembelajaran dari rumah dan berasa terasing.

Sehingga Mei 2021 pula, panggilan kepada Talian CARE Nasional yang dilancarkan pada April 2020, menerima lebih 45,000 panggilan.

Tiga keprihatinan utama yang disuarakan pemanggil adalah perlunya sokongan emosi, isu berkaitan kesihatan mental dan isu berkaitan keluarga dan sosial.

Dalam satu tinjauan berbeza yang dijalankan Majlis Belia Kebangsaan bagi tempoh semasa pandemik pula mendapati 52% golongan belia yang ditinjau menyifatkan kesejahteraan mental sebagai satu cabaran.

Berasa resah terhadap masa depan, tekanan terhadap masalah kewangan dan kebimbangan tentang kelakonan akademik serta kerja merupakan tekanan utama yang menjejas kesejahteraan mental golongan belia.

PASUKAN BERTINDAK BENTANG 3 SARANAN, PERBAIKI STRATEGI KESIHATAN MENTAL NEGARA

Bagi membantu penduduk Singapura mengharungi masa-masa sukar semasa pandemik, Pasukan Bertindak bagi Kesejahteraan Mental COVID-19 membentangkan tiga saranan utama.

Pertama, ia menyarankan agar satu strategi menyeluruh dibangunkan untuk menyelaras usaha pelbagai agensi pemerintah dalam bidang kesejahteraan dan kesihatan mental.

Strategi itu antara lain akan bertindak sebagai panduan kepada usaha-usaha yang dilakukan agensi-agensi dan memantau kemajuan yang dilakukan agensi-agensi tersebut.

Pemerintah akan mendapatkan maklum balas tentang pembangunan strategi itu menerusi satu konsultasi awam tahun depan.

Kedua, Pasukan Bertindak itu menyarankan agar didirikan satu rangka kerja latihan keupayaan bagi kesihatan mental.

Rangka kerja tersebut akan menyelaras garis pandu latihan para karyawan dalam bidang tersebut serta tahap keupayaan yang dijangkakan daripada mereka.

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) pula sedang membangunkan sebuah portal sehenti yang memuatkan pelbagai kandungan mengenai kesihatan dan kesejahteraan mental.

Kandungan-kandungan tersebut dihasilkan oleh pakar dalam bidang tersebut.

Ia disasarkan kepada individu-individu yang mahu mendapatkan maklumat sahih berkenaan kesihatan dan kesejahteraan mental.

PERANAN PASUKAN BERTINDAK DIPERLUAS MENJANGKAUI TEMPOH PANDEMIK

Bagi meluaskan lagi penekanan tentang pentingnya kesihatan mental menjangkaui tempoh pandemik, Pasukan Bertindak bagi Kesihatan dan Kesejahteraan Mental Antara Agensi akan dibentuk.

Pasukan Bertindak baru itu akan menyelia semua usaha kesihatan dan kesejahteraan mental dan akan memberi tumpuan kepada isu-isu terkini yang memerlukan kerjasama berbilang agensi.

Ia akan dipengerusikan Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan Dr Janil Puthucheary dengan pelibatan wakil dari pelbagai agensi berbeza.

Sementara Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pula selaku penasihat bagi pasukan bertindak tersebut.

Menurut Dr Janil, pasukan bertindak baru itu sudah pun memulakan kerja.

"Kami bertemu baru-baru ini untuk membincangkan beberapa bidang tumpuan dalam bulan-bulan mendatang. Terutama sekali tentang bagaimana membina daya tahan mental para penduduk," kata Dr Janil.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan