Images

Satu-satunya upacara korban dan penyembelihan kambing di S'pura berjalan lancar

SINGAPURA: Satu-satunya upacara korban di Singapura sempena Aidiladha berjalan lancar pada Selasa (20 Jul) dengan 50 ekor kambing dikorbankan dan disaksikan 100 pelanggan. Lagi 50 ekor kambing akan dikorbankan esok (21 Jul).

Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan usaha yang berlangsung di Hay Dairies itu adalah kali pertama dalam lebih 20 tahun di mana penyembelihan oleh penternak kambing atau lembu dijalankan di Singapura. Pusat penyembelihan lembu dan kambing terakhir Singapura sebelum ini ditutup pada 1998.

Upacara korban pula sebelum ini dilakukan di pekarangan masjid-masjid tempatan.

Semasa BERITAmediacorp tiba di ladang kambing itu pada sekitar 8.45 pagi tadi, upacara korban sudahpun bermula. Jumlah pengunjung di ladang itu dihadkan kepada 50 orang sahaja dan Jumlah ini termasuk mereka yang terdahulu mendapat slot kerana menempah kambing korban.

Pemilik Hay Dairies, Encik Leon Hay, dilihat beberapa kali memohon maaf kepada para pengunjung yang tidak dapat dibenarkan masuk kerana jumlah pengunjung di dalam ladangnya penuh pada setiap masa.


"Ia satu langkah yang perlu dijalankan pada saat-saat akhir (kerana lonjakan kes yang dilaporkan pada hari sebelumnya). Kita terpaksa menutup laluan masuk di Lim Chu Kang Lane 4 dan memeriksa identiti mereka yang menempah kambing korban," kata Encik Hay.

Sungguhpun demikian, upacara korban begitu teratur. Jumlah pengunjung tidak melebihi tempat duduk yang disediakan. Semua tempat duduk juga dijarakkan.


Apabila tiba giliran masing-masing, sohibul korban dibawa ke satu ruang di luar khemah untuk melihat penyembelihan kambing. Hanya dua orang dibenarkan di ruang tersebut bagi setiap ekor kambing dan pada satu-satu masa, cuma sehingga dua ekor kambing boleh disembelih.

Ini antara lain disebabkan langkah-langkah pengurusan selamat yang perlu dipatuhi. Seluruh tempat bagi ibadah korban di Hay Dairies perlu dibahagikan kepada beberapa ruang - seperti ruang penyembelihan, pemotongan dan bungkus daging, serta tempat pengambilan daging.

Jadi jumlah kakitangan di setiap ruang juga dihadkan kepada antara enam hingga lapan kakitangan sahaja.


Sungguhpun semua itu perlu dilaksanakan, pengendalinya - Aaliyah's Pte Ltd - berkata seluruh acara berjalan licin.

"Proses yang dijalankan hari ini sangat lancar - ia satu operasi yang baik. Mungkin kerana kita sudah rancang prosedurnya dan kita juga sudah menjalankan percubaan yang disaksikan pihak SFA dan Lembaga Taman Negara (NParks)," kata Ketua Pegawai Operasi Aaliyah's, Encik Rafee Eunos.


Kesemua 100 ekor kambing yang ditawarkan di Hay Dairies habis ditempah walaupun harganya cukup tinggi - antara S$1,400 hingga S$2,000 seekor. 15 ekor kambing bahkan ditempah pada saat-saat akhir sepanjang empat hari lalu.


Ternyata juga, ada keluarga yang menempah bilangan ekor kambing cukup banyak bagi ibadah korban seisi keluarga. Mereka termasuklah keluarga Encik Jainudin ini.


"Kita Syukur! Kalau kita buat korban secara online, kita tidak tahu apa yang berlaku di sana. Kita cuma tunggu sampai daging itu sampai di sini. Pengalamannya berbaloi. Tidak ada harga yang dapat dinilaikan dengan pengalaman di sini," kata Encik Jainudin.

Menariknya sekumpulan pekerja hijrahan juga tampil membuat tempahan. Encik Selim Khan misalnya, seorang pekerja hijrahan yang sudah tujuh tahun bekerja di Singapura, ditemui di Hay Dairies semasa sedang menunggu daging korbannya. 


"Biasanya di negara kita, ibu bapa kami membeli lembu atau kambing. Di Singapura, ini pengalaman pertama. Kami berkongsi kos dengan lebih 20 rakan. Kami kongsi duit kerana Kami ingin menikmati sambutan ini dengan cara tersendiri," kata Encik Khan, 35 tahun.

Bagi setiap kambing korban ditempah, pembelinya dapat membawa pulang sekurang-kurangnya 35 kilo daging. Cukup banyak!


Namun lebih penting lagi, amalan korban dapat dihidupkan kembali setelah ia lebih setahun tidak dapat dilaksanakan dek pandemik yang melanda.

"Selalu kita buat dekat masjid. Kalau macam dekat sini, kita boleh saksikan ibadah itu, macam lagi dekat," luah seorang pembeli, Cik Hafizbee. Beliau menempah seekor kambing buat dirinya dan berada di Hay Dairies pada sekitar 11.00 pagi tadi (20 Jul). Ibunya juga menempah seekor kambing.


HAY DAIRIES, AALIYAH'S INGIN TAWAR AQIQAH

Kini, Hay Dairies merancang menawarkan antara 10 hingga 20 kambing bagi aqiqah pula setiap bulan. Namun ini perlu mendapat kelulusan Pemerintah terlebih dahulu.

"Juga kerana Hay Dairies akan membina ladang baru, kami akan menyediakan satu ruang untuk penyembelihan. Bukan tempat sementara seperti tadi, tetapi ruang tetap dengan kemudahan lebih bersih. 


"Jadi untuk keperluan aqiqah, kita akan bekerjasama dengan SFA dan NParks untuk mengatur langkah dan SOP bagi aqiqah," kata Encik Hay.

Menurut Hay Dairies, perniagaan dan operasi utamanya adalah penghasilan susu kambing. Namun ia mengetepikan sebahagian ternakannya untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam.

Kemudahan barunya nanti pula mampu mengendalikan sekitar 2,000 ekor kambing berbanding 1,000 sekarang ini.   

- BERITAmediacorp/aq

Top