Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Satu sahaja permintaan "ibu hebat": Jangan halang mereka kembali bekerja

Hakikatnya, tidak mudah bagi ibu-ibu yang baru melahirkan untuk kembali bekerja. Semuanya juga tidak semestinya berjalan lancar terutama sekali bagi mereka yang tidak mempunyai sokongan keluarga. 

Anggaran Waktu Membaca:
Satu sahaja permintaan "ibu hebat": Jangan halang mereka kembali bekerja

(Gambar hiasan: tung256/Pixabay)

Diterbitkan : 18 Aug 2018 11:57AM Dikemas Kini : 18 Aug 2018 12:04PM

SINGAPURA: Beliau seorang ibu, Anggota Parlimen dan juga rakan kongsi di sebuah firma guaman.

Kisah dan pengalaman AP Rahayu Mahzam mengimbangi masanya sebagai seorang ibu dan wanita berkerjaya, menjadi tajuk perbualan para pembaca minggu lalu.

Sebulan selepas melahirkan anaknya, Ayden, beliau kembali menggalas tugas sebagai wakil rakyat - satu langkah yang dipuji-puji ramai. Malah, ada yang menggelarnya sebagai seorang "ibu hebat".

AP Rahayu mengatakan semua yang dilakukannya berkat pertolongan mereka yang dikasihi.

Namun, hakikatnya, tidak mudah bagi ibu-ibu yang baru melahirkan untuk kembali bekerja. Semuanya juga tidak semestinya berjalan lancar terutama sekali bagi mereka yang tidak mempunyai sokongan keluarga.

Anggota Parlimen Rahayu Mahzam bersama anaknya, Ayden. (Gambar: Rahayu Mahzam)

MENGAPA SUKAR UNTUK KEMBALI BEKERJA?

Ada yang mengatakan, golongan Hawa berhenti bekerja kerana tidak lagi mendapati pekerjaan mereka menarik dan lebih suka meluangkan masa bersama cahaya mata mereka.

Ramai juga kaum ibu yang merasakan mereka sering dilihat sebagai kurang komited oleh majikan dan menumpukan lebih banyak perhatian kepada urusan keluarga. Pandangan dan sikap sedemikian yang membuat mereka berasa kurang dihargai oleh syarikat.

Mereka mungkin tidak ada sebab munasabah untuk mengambil tindakan terhadap majikan seperti pemecatan tidak adil mahupun diskriminasi jelas terhadap wanita hamil atau para ibu.

Namun, kadangkala perkara-perkara yang kecil, sedikit sebanyak menjejas golongan ini. Ini termasuk cara mereka dipandang setiap kali perlu mengambil cuti secara mendadak.

Dilema seperti ini boleh dihuraikan jika golongan ibu sedia berunding, seperti yang dikatakan sesetengah individu. Namun, adakah ibu-ibu yang baru melahirkan tahu apa yang mereka perlukan untuk mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab sebagai seorang ibu? Adakah mereka berunding secara terbuka dengan bos masing-masing tentang apa yang diharapkan?

Sememangnya, tidak dapat dinafikan merekalah yang memikul tanggungjawab utama menjaga anak dan berasa seperti tidak terdaya untuk menuntut kerjasama syarikat bagi memenuhi keperluan mereka sebagai seorang ibu di setiap fasa pembangunan anak mereka.

Norma sosial mungkin antara faktor dalam isu ini. Sepanjang anda bersekolah, misalnya, renung kembali siapa yang sering ditelefon pihak sekolah setiap kali anda sakit atau berdepan dengan masalah - ibu atau ayah?

TIDAK BEKERJA JUGA MEMUDARATKAN 

Wanita yang memutuskan untuk berhenti bekerja, sudah pasti akan sedikit sebanyak terjejas dari segi pendapatan dan peningkatan kerjaya. Ini membimbangkan kerana trend-trend dalam negara menunjukkan kadar penyertaan golongan wanita dalam tenaga kerja Singapura menurun selepas usia 25 tahun. 

Meskipun, keadaan sudah bertambah baik, Pemerintah akur adanya cabaran ini dan kesannya terhadap wanita.

Bakal Menteri Tenaga Kerja Josephine Teo. (Gambar: TODAY) 

Gambar fail TODAY. 

Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo menarik perhatian di Parlimen pada Mac lalu bahawa jumlah wanita yang memenuhi kelayakan selepas persaraan dari segi Jumlah Asas CPF semakin berkurangan jika dibandingkan dengan kaum Adam. Ramai di antaranya disebabkan mereka berhenti bekerja kerana ingin menjaga anak.

Cara terbaik untuk menangani isu seperti ini, kata Cik Teo, adalah untuk memudahkan golongan wanita untuk terus kekal dalam tenaga kerja dan memanjat tangga kerjaya meski sudah bergelar ibu.

SOKONGAN KHIDMAT JAGAAN PENTING

Mengukuhkan lagi sokongan khidmat penjagaan kanak-kanak dapat memberi peluang kepada golongan wanita untuk bekerja tanpa rasa risau kerana mereka akan percaya anak-anak mereka dijaga dengan baik. Ini juga meningkatkan peluang seseorang terus bekerja.

Pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk menambah jumlah tempat kosong sebanyak 40,000 di prasekolah semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu satu langkah untuk meluaskan lagi akses kepada penjagaan kanak-kanak yang bermutu dan termampu. Langkah itu disambut baik orang ramai.

Lima pusat jagaan kanak-kanak mega yang baru kendalian syarikat-syarikat utama akan dibuka di Punggol dan Sengkang menjelang 2020.

Beberapa hari sebelum ini, Persatuan Kajian dan Tindakan Wanita (AWARE) juga mengusulkan beberapa saranan termasuk menyediakan khidmat penjagaan pada waktu malam dan menawarkan lebih banyak pilihan bagi ibu bapa. Ini bagi membantu golongan ibu daripada keluarga berpendapatan rendah yang bekerja mengikut jadual syif.

SESUAIKAN DIRI DI TEMPAT KERJA TIDAK MUDAH

Meskipun khidmat jagaan kanak-kanak kritikal, ia tidak mencukupi untuk membantu para ibu untuk menyesuaikan diri mereka kembali di tempat kerja.

Ini disedari golongan ibu itu sendiri. Sejak tahun lalu, satu program baru oleh kumpulan tempatan Mums@Work membantu memadankan syarikat-syarikat dengan ibu-ibu PMET yang ingin kembali bekerja. Ia juga membantu mereka untuk menyesuaikan diri kepada sekitaran pekerjaan sekali lagi.

Namun adakah syarikat-syarikat yakin dengan pendekatan seperti ini? Hanya separuh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam satu tinjauan mengatakan mereka bersedia menggajikan seorang wanita yang ingin kembali bekerja.

Mungkin cara yang terbaik adalah memastikan mereka tidak berhenti kerja dari awal lagi, kata Cik Teo.

Lantaran itu, adalah tanggungjawab setiap syarikat bagi memastikan mereka dapat membantu golongan ini dengan menjadikan tempat kerja mereka mesra keluarga.

PERLU SOKONGAN PELBAGAI PIHAK BAGI BANTU IBU KEMBALI BEKERJA

Sokongan pelbagai pihak diperlukan untuk membesarkan seorang anak, dan banyak lagi bagi membantu seorang ibu kembali bekerja.

Bagi Cik Rahayu Mahzam, berkat sokongan orang-orang disekelilingnya, beliau dapat kembali bekerja dengan tenang. Jadual anaknya, Ayden juga lebih teratur.

Tetapi, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu "ibu-ibu hebat" di luar sana, dan kita semua harus memainkan peranan.

Teks asal komentar editor eksekutif Channel NewsAsia Lin Suling.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan