Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Satu daripada 48 kes baru alami simptom 2 minggu sebelum disahkan positif COVID-19

Singapura melaporkan 48 kes baru COVID-19 hari ini (24 Jan), semuanya kes diimport.

Anggaran Waktu Membaca:
Satu daripada 48 kes baru alami simptom 2 minggu sebelum disahkan positif COVID-19

Para penumpang beratur di kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Changi pada 8 Jun 2020. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 24 Jan 2021 11:00PM Dikemas Kini : 24 Jan 2021 11:02PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 48 kes baru COVID-19 hari ini (24 Jan), semuanya kes diimport.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Jumlah kes import itu yang tertinggi di Singapura sejak 23 Mac, apabila 48 kes import dilaporkan ketika itu.

Tiada kes baru dalam kalangan masyarakat dilaporkan mahupun di dormitori pekerja asing.

Semua kes import sudahpun dikenakan notis jangan keluar rumah atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Antaranya adalah empat penduduk tetap Singapura, yang pulang dari India, Indonesia dan Malaysia.

Terdapat juga empat pemegang pas tanggungan yang tiba dari Perancis, India dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) serta pemegang pas jangka panjang dari India.

Lagi dua adalah pemegang pas pelajar yang tiba dari Mesir dan India.

Kes 59569, yang tiba dari Mesir, pertama kali mengalami simptom pada 9 Januari.

Lelaki berusia 29 tahun itu kemudian disahkan dijangkiti COVID-19 pada 23 Januari.

Sebanyak 11 lagi kes import adalah pemegang pas kerja yang tiba dari Bangladesh, Colombia, Perancis, India, Nigeria dan UAE.

Seramai 22 orang adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India, Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Filipina - 10 daripada mereka adalah pembantu rumah asing.

Lagi tiga pula adalah pemegang pas lawatan jangka pendek. Dua daripada mereka tiba dari India untuk melawat anak mereka yang merupakan penduduk tetap di Singapura. Lagi seorang dari Amerika Syarikat datang ke Singapura atas urusan projek kerja.

Baki kes adalah seorang kru kapal yang memegang pas khas yang tiba dengan menaiki kapal dari Malaysia. Namun beliau tidak turun kapal dan dihantar ke hospital apabila mengalami simptom yang kemudian diuji positif COVID-19, menurut MOH.

KESELURUHAN KES DALAM MASYARAKAT MENINGKAT

Menurut MOH, jumlah keseluruhan kes dalam kalangan masyarakat meningkat kepada 15 dalam tempoh seminggu ini berbanding lapan pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tiada kaitan dalam kalangan masyarakat pula berkurangan kepada tiga minggu ini berbanding empat dalam minggu sebelumnya.

Daripada 195 kes positif COVID-19 yang dilaporkan antara 18 Januari dengan 24 Januari, sebanyak 101 kes diuji positif selepas menjalani ujian serologi manakala lagi 36 diuji negatif. Baki 58 ujian serologi masih menunggu keputusannya.

MOH menambah lagi 26 kes dibenarkan pulang dari hospital atau pusat-pusat pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sudah pulih sebanyak 59,041.

Lagi 50 kes masih berada di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih dan tiada pesakit di unit jagaan rapi.

Lagi 188 pula diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Sehingga hari ini, Singapura mencatat 59,308 kes COVID-19.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menerusi catatan di laman Facebooknya semalam (23 Jan) berkata, kes baru dalam kalangan masyarakat adalah satu peringatan bahawa perang melawan COVID-19 "masih selesai".

Langkah-langkah pengurusan selamat lebih ketat bermula 26 Januari "pastinya akan mengecewakan semua orang yang mahu meraikan" Tahun Baru Cina, tulis beliau.

"Tetapi kita harus bersedia dari segi psikologi untuk menyambut (Tahun Baru Cina) dengan cara yang berbeza tahun ini," tulis PM Lee lagi.

"Lihat sahaja negara-negara baik dekat mahupun jauh, berulang kali mengalami jumlah kes melonjak dan anda akan faham mengapa kita perlu terus berwaspada."

PM Lee juga berkata semalam menandakan tempoh setahun sejak Singapura mengesahkan kes pertama COVID-19.

"Setahun itu berlalu begitu pantas sedang kita semua berusaha untuk menangani keadaan huru-hara dan gangguan yang belum pernah dialami sebelum ini dalam hidup kita. Menerusi usaha gigih dan pengorbanan, kita dapat menstabilkan keadaan," tulis beliau.

"Ayuh kita terus lindungi diri kita dan orang-orang yang kita sayangi dengan mematuhi semua langkah-langkah yang ditetapkan," tambah PM Lee. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan