Images
  • sasa file
    (Gambar: Facebook Sasa)

Sasa gulung tikar di S'pura, kesemua 22 kedai ditutup

SINGAPURA: Syarikat peruncit kosmetik Sasa International mengumumkan pada Isnin (2 Dis) ia akan menutup kesemua 22 kedainya di Singapura.

Sekitar 170 pekerja akan terjejas oleh keputusan itu, menurut kenyataan oleh syarikat itu, sambil menambah kesemua pekerja akan "diberi pampasan sepenuhnya" menurut peraturan dan undang-undang pekerjaan tempatan.

"Kelakonan syarikat ini di Singapura kurang memuaskan selama beberapa tahun dan mencatatkan kerugian selama enam tahun berturut-turut," Sasa menyatakan.

Sepanjang enam bulan berakhir 30 Sep, pusing ganti bagi operasi syarikat itu di Singapura adalah S$17.36 juta, merosot 4.6 peratus.

"Kumpulan syarikat ini mengambil langkah sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menyusun semula pasukan pengurusan tempatan dan mempertingkatkan pameran kedai dan tawaran produk dengan matlamat meningkatkan penjualan. Kami kesal, keputusannya jauh dari memuaskan," tambahnya lagi.

Sasa menyatakan ia memutuskan untuk menumpukan sumbernya kepada pasaran di Hong Kong, Macau, China dan Malaysia serta perniagaan e-komersilnya.

Syarikat peruncit itu juga menyatakan pasaran utamanya di Hong Kong terjejas oleh "jumlah kedatangan pelancong dari China yang merosot secara ketara."

"Selepas menimbangkannya dengan teliti, syarikat ini percaya penutupan operasi di Singapura akan membantu meningkatkan prestasi dan keuntungan perniagaan selebihnya dan adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan para pemegang saham secara keseluruhan," kata syarikat itu.

Ia juga menambah tempoh pajakan yang sudah tamat di Singapura dijangka tidak membawa sebarang kesan besar kepada operasi syarikat itu, memandangkan syarikat itu mengendalikan 265 kedai secara keseluruhan.

Pasukan pengurusan syarikat itu di Singapura akan memulakan rundingan bersama pemilik hartanah kedai-kedai dengan matlamat menamatkan operasi "seawal mungkin", menurut Sasa.

Nilai wang tunai dan baki bank adalah S$137.71 juta pada 30 Sep, yang menurutnya cukup bagi keperluan operasinya.

- CNA/HA/ha

Top