Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sarkasi Said dan anak tekad memartabatkan seni batik di S'pura

Sebut sahaja seni batik dan nama pelukis tersohor Sarkasi Said pasti dikaitkan dengannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebut sahaja seni batik dan nama pelukis tersohor Sarkasi Said pasti dikaitkan dengannya.

Kini, anak beliau juga, Ika Zahri mahu memartabatkan seni tradisional itu dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Satu acara pameran dan bengkel diadakan semalam (5 Mei), di mana para penggemar batik berpeluang menikmati hasil karya selain belajar dari pasangan pakar batik itu.

Selama lima jam, mereka yang datang ke pameran di bangunan The Gemini ini berpeluang menikmati 20 karya terbaru Encik Sarkasi yang disiapkan dalam beberapa bulan lalu.

Antara peminat beliau termasuk Anggota Parlimen GRC Marine Parade Profesor Madya Fatimah Lateef.

Bahkan, Dr Fatimah tidak melepaskan peluang untuk turut menyertai sekitar 30 lagi peserta lain yang mengikuti bengkel lukisan batik dikendalikan anak Encik Sarkasi, Ika Zahri dan isteri beliau, Cik Zarinah Begum.

Encik Ika sudah bergiat aktif dalam menganjurkan bengkel lukisan batik sejak awal 1990-an.

TIDAK MAHU SENI BATIK TENGGELAM

"Saya rasa bengkel ini penting bagi saya untuk mempelajari daripada ayah saya kerana beliau juga ada pamerkan lukisan-lukisan beliau," kata Encik Ika.

"Mewarisi itu penting kerana kita tidak mahu budaya lukisan batik tenggelam. Itu yang akan saya usahakan supaya orang ramai tahu bahawa kita di Singapura juga membuat batik," tambah beliau.

Wawasan itu turut diperjuangkan Encik Sarkasi yang sudah berkecimpung dalam seni batik selama lebih 50 tahun.

"Budaya Melayu itu begitu halus dalam kehidupan seharian. Sekarang saya cuba mengembalikan nostalgia keanggunan batik itu kepada masyarakat kita," jelas Encik Sarkasi.

Atas usaha beliau untuk mempromosikan dan menaiktaraf seni batik, Encik Sarkasi menerima pengiktirafan Pingat APAD pada 1974. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan