Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sarjana NUS: Wanita Melayu Aceh cemerlang pimpin negara selaku Ketua Negara pada abad ke-17

Alam Melayu sudah mempunyai wanita yang berperanan sebagai Ketua Negara, ratusan tahun dahulu, dengan Aceh misalnya mempunyai empat orang raja perempuan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Alam Melayu sudah mempunyai wanita yang berperanan sebagai Ketua Negara, ratusan tahun dahulu, dengan Aceh misalnya mempunyai empat orang raja perempuan.

Ini membuktikan bahawa dalam tradisi Melayu, kaum wanita lebih daripada sekadar pengikut sahaja, dan sebenarnya ada tradisi menjadikan wanita berkaliber sebagai pemimpin negara.

Itulah antara yang mahu ditekankan sarjana di Jabatan Pengajian Melayu NUS, Dr Sher Banu, menerusi sebuah buku terbaru kajiannya yang baru dilancarkan.

Buku tersebut bertajuk “Wanita Berdaulat di dalam Kerajaan Islam: Sultanah Aceh 1641-1699”.

Buku “Wanita Berdaulat di dalam Kerajaan Islam: Sultanah Aceh 1641-1699”, hasil karangan profesor Jabatan Pengajian Melayu NUS, Dr Sher Banu. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

(Kajian buku ini mengambil masa selama 8 tahun)

KAJIAN 4 SULTANAH ACEH TANGKIS TANGGAPAN SALAH HISTORIOGRAFI

Sultanah Safiatuddin, Naqiyatuddin, Zakiatuddin, dan Kamalat Shah. Pernahkan anda mendengar nama-nama ini?

Mereka ini sebenarnya merupakan Sultanah atau Raja perempuan yang memerintah Aceh selama setengah abad lamanya, pada abad ke-17.

Bermakna sudah muncul ketua negara wanita di Asia Tenggara ini jauh sebelum munculnya tokoh-tokoh yang menjadi Presiden seperti Megawati Sukarnoputri, Corazon Aquino dan Halimah Yacob.

Menerusi buku itu, sejarawan Dr Sher Banu, menangkis tanggapan salah historiografi, yang menggambarkan keempat-empat Sultanah ini sebagai ‘permaisuri lemah yang gagal membangunkan negara’.

Malah menurutnya, keempat-empat wanita ini mempunyai kuasa mutlak dan bijak dalam pentadbiran negara, khususnya apabila berdepan dengan cabaran-cabaran dari luar yang mendesak.

"Jadi apa yang ingin saya menengahkan adalah wanita-wanita yang telah ditakhtakan atas kerajaan bukanlah permaisuri hiasan dan kuasa mereka itu ialah mutlak dan mereka mendasarkan kerajaan mereka dengan sifat bertolak ansur dengan elit lelaki.

"Sultanah ini turut mengetengahkan konsep seperti muafakah, musyawarah, dan juga kepimpinan Islam di mana sifat-sifat kepimpinan seperti toleransi, sifat humanis dan juga pentingkan rakyat dipertengahkan," kata Dr Sher Banu.

Dr Sher Banu menambah bahawa Sultanah Aceh sangat aktif dalam bidang diplomatik walaupun mereka berdepan dengan kuasa besar dari Inggeris dan Belanda.

KAJIAN MAHU PERBETUL TANGGAPAN KEPIMPINAN WANITA DARI PERSPEKTIF ISLAM

Dr Sher Banu berharap kajiannya ini dapat memperbetulkan tanggapan terhadap kepimpinan wanita hari ini.

"Yang pertama ialah tanggapan (bahawa) agama Islam tidak membenarkan seorang wanita ditakhtakan sebagai raja ataupun sebagai pemimpin. Ulama-ulama di Aceh dan juga di Nusantara ulama besar seperti Nuruddin al-Raniri, dan juga Abdul Rauf al Singkili menganggap bahawa kriteria sesuai untuk mengangkat seseorang itu sebagai pemimpin tidaklah berdasarkan jantinanya tetapi berdasarkan kebolehan, kepandaian, dan juga tingkah laku yang baik," tekan beliau.

CONTOH DARI SULTANAH SAFIATUDDIN

Dr Banu turut berharap kajiannya itu dapat memperbetulkan tanggapan patriarki yang menganggap bahawa jikalau seseorang wanita itu kalau dirajakan, pemimpin wanita tersebut tidak akan memimpin sehebat kaum lelaki.

"Dalam kajian yang telah saya bukukan ini, Sultanah Safiatuddin sangat aktif dalam bidang perdagangan. Beliau memiliki kapal-kapal yang berdagang perak, dan juga gajah, dan kapal-kapalnya itu berdagang sejauh India.

"Juga Sultanah Safiatuddin sangat aktif dalam bidang pengadilan, sebagai contoh, beliau lebih cenderung untuk memaafkan pesalah-pesalah yang telah ditangkap, daripada menggunakan hukuman keras seperti pancung kepala, atau cara potong tangan yang lebih kerap dilakukan raja-raja sebelumnya seperti bapanya Sultan Iskandar Muda, dan juga suaminya Sultan Iskandar Thani," kongsi beliau.

BAGAIMANA KAJIAN SULTANAH ACEH MASIH RELEVAN DALAM KONTEKS HARI INI?

Walaupun kajiannya melihat kepada sejarah lampau, iaitu pada zaman prakolonial, Dr Sher Banu berkongsi dapatannya masih relevan, dan berharap ia dapat dijadikan pengajaran bagi masyarakat Melayu/Islam.

Contohnya, bagaimana kepelbagaian peranan wanita dalam kajiannya itu dapat menukar kefahaman dan penerimaan masyarakat Melayu/Islam, bahawa peranan wanita itu tidak statik.

"Peranan kaum-kaum wanita lebih daripada sahaja pengikut, tetapi mereka juga mana yang tentunya berkaliber, boleh dijadikan pemimpin walaupun di dalam politik ataupun kenegaraan," ujarnya.

Keduanya, Dr Sher Banu juga berkongsi bagaimana sifat-sifat kepimpinan Sultanah Aceh terdahulu turut dapat dijadikan contoh apabila seorang pemimpin mentadbir sebuah negara.

"Saya lihat raja-raja wanita, mereka selalu menerapkan kepimpinan yang transformatif, kepimpinan yang lebih tidak menggunakan kuasa keras, tapi 'soft power' (kuasa lembut) dan juga mereka banyak mendasarkan kepimpinan mereka atas modal moral dan sosial, jadi saya anggap sifat-sifat ini yang paling penting untuk pucuk kepimpinan masa kini," tambah Dr Sher Banu.

Akhir sekali, beliau menekankan bagaimana kepimpinan Sultanah Aceh lebih egalitar dan humanis, dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat Islam tempatan dan sejagatnya. Ini menurutnya hanya akan dapat dicapai apabila seseorang itu memahami tradisi dan fahaman Islam dengan lebih mendalam.

Memandang ke hadapan, Dr Sher Banu bercadang menjalankan lebih banyak kajian perbandingan tentang kepimpinan wanita di dunia Melayu, memandangkan ia merupakan satu bidang yang jarang diberi perhatian.

Buku setebal 318 muka surat dijual di kedai-kedai buku Wardah dan Kinokuniya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan